VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 15/09/2010

Hukum wad'i

Sebelum ini penulis telah mengupas berkenaan dengan hukum taklifi. Hukum taklifi ini boleh diumpamakan sebagai garis panduan yang perlu kita patuhi untuk sampai ke sesebuah destinasi.

Sekiranya kita gagal mematuhinya, maka perjalanan kita akan terkandas dan pastinya tidak akan sampai ke destinasi dituju.

Namun begitu, hukum-hukum taklifi ini sangat bergantung kepada kewujudan hukum wad'i. Dengan kata lain, hukum wad'i menjadi faktor kewujudan dan ketiadaan hukum taklifi.

Hukum wad'i bukanlah bermaksud untuk menuntut atau melarang atau memberi pilihan kepada kita untuk melakukan sesuatu, sebaliknya ia adalah permulaan kepada terjadinya sesuatu hukum.

Sebagai contoh, hukum melakukan solat adalah wajib. Namun, solat tidak sah sekiranya dilakukan tanpa wuduk. Ini bermakna, wuduk adalah syarat bagi sah solat.

Untuk melakukan solat, mestilah ia dilakukan mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan. Justeru, ini bermakna masuknya waktu solat menjadi sebab wajib untuk melakukan solat.

Melalui contoh-contoh ini, kita dapat fahami bahawa terdapat unsur-unsur lain yang mempengaruhi terjadinya hukum taklifi. Unsur-unsur tersebut disebut sebagai hukum wad'i.

Dalam segi istilah syarak, hukum wad'i adalah khitab Allah yang menjadikan sesuatu sebagai sebab bagi sesuatu, atau syarat atau penghalang bagi sesuatu (rujuk Al-Wajiz Fi Usul Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1987, ms 385).

Ini bermakna, bagi jumhur ulama, terdapat tiga jenis hukum wad'i iaitu sabab, syarat dan mani'.

Namun begitu, terdapat ulama seperti Al-Amidi dan selainnya yang membahagikan hukum wad'i kepada tujuh bahagian dengan menambah sah, batal, azimah dan rukhsah (rujuk Al-Bahrul Muhit, Badaruddin Az-Zarkasyi, jilid 1, 1994).

Sabab (sebab) adalah sesuatu yang pasti yang menjadi asas terbentuknya sesuatu hukum. Sekiranya ia wujud, maka wujudlah hukum dan sekiranya ia tidak wujud, maka tidak wujudlah hukum berkenaan.

Sebagai contoh, melihat anak bulan Ramadan menyebabkan wajibnya berpuasa. Ia berasaskan firman Allah SWT: Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu…(al-Baqarah: 185)

Demikian juga Allah SWT mengharuskan untuk mengqasarkan solat sekiranya berada dalam keadaan musafir.

Firman Allah SWT: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang…(an-Nisa': 101)

Melalui dua contoh di atas, kita dapat memahami bahawa melihat anak bulan menjadi sebab wajibnya berpuasa, manakala musafir menjadi sebab keharusan solat secara qasar.

Hukum wad'i yang kedua adalah syarat. Syarat adalah sesuatu yang menyebabkan ketiadaan hukum ketika ketiadaannya. Namun, tidak semestinya wujud hukum ketika kewujudannya.

Syarat berada di luar hukum tetapi ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi sesuatu hukum itu. Sebagai contoh, wuduk adalah syarat sah solat.

Sekiranya seseorang menunaikan solat tanpa wuduk maka solatnya tidak sah. Sabda Nabi SAW: "Tidak ada (tidak sah) solat bagi org yang tidak berwuduk (riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim)."

Namun, tidak semestinya seseorang yang mempunyai wuduk untuk bersolat. Kemungkinan dia berwuduk untuk membaca al-Quran dan melakukan tawaf.

Mani' adalah tegahan atau halangan yang menyebabkan sesuatu hukum itu tidak dapat dilaksanakan. Ini bermakna, apabila syarat dan sebab terjadinya hukum taklifi sudah ada, ia masih lagi belum berlaku sekiranya ada mani'.

Sebagai contoh, dalam hukum faraid, pertalian darah adalah menjadi sebab yang membolehkan pewarisan harta. Syaratnya juga telah wujud disebabkan salah seorang daripada keduanya telah meninggal dunia.

Namun begitu, sekiranya ada mani', maka pewarisan harta tidak boleh berlaku.

Sebagai contoh, mani' yang menghalang pewarisan harta ialah perbezaan agama berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Orang kafir tidak mewarisi pusaka orang Islam dan orang Islam tidak mewarisi pusaka orang kafir (riwayat Ahmad)."

Pusaka juga terhalang sekiranya salah seorang adalah pembunuh kepada pihak kedua. Ini berasaskan sabda Rasulullah SAW: "Pembunuh tidak berhak mendapat harta warisan (riwayat An- Nasa'i dan Al-Baihaqi)."

Demikian juga, hukuman qisas juga terhalang sekiranya si pembunuh adalah bapa kepada mangsa yang dibunuh.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.