VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
JENAYAH

ARKIB : 14/09/2010

Tiga pelajar perempuan hilang


HARLIZAH Samah (kanan) bersama Che Norliah Che Mat menunjukkan laporan polis dan gambar anak mereka yang hilang di Kampar, semalam.SUHAILI ABD. RAZAK


KAMPAR 13 Sept. - Tiga pelajar perempuan tingkatan dua termasuk dua beradik kembar kini dilaporkan hilang selepas keluar ke pekan ini untuk membeli pakaian pada hari raya kedua, kelmarin.

Nurulain Kamarazmi dan kembarnya, Nurulashiqin dari Taman Sentosa, Taman Bandar Baru di sini serta sahabat mereka, Suhaili Abd. Razak dari kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini tidak pulang ke rumah masing-masing sejak Sabtu lalu.

Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru.

Kehilangan pelajar-pelajar perempuan terbabit telah dilaporkan oleh keluarga masing-masing di Balai Polis Kampar pada malam mereka tidak pulang ke rumah.

Ibu kepada dua pelajar kembar itu, Harlizah Samah, 44, berkata, Nurulain dan Nurulashiqin bersama Suhaili keluar berjalan kaki ke pekan Kampar yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya di Taman Sentosa pada pukul 11 pagi kelmarin.

Katanya, mereka masing-masing keluar dengan memakai seluar jeans dan baju T berwarna hitam kecuali Nurulashiqin yang memakai baju T warna ungu serta tidak bertudung dan membawa duit raya sebanyak RM20.

"Pada pukul 5 petang, saya ada hubungi telefon bimbit Nurulain bertanyakan mereka berada di mana dan dia beritahu masih berada di pekan Kampar dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tidak sampai-sampai di rumah selepas beberapa jam.

"Kira-kira pukul 9 malam, saya ada hubungi dia sekali lagi tetapi seorang lelaki menjawab panggilan dan terus mematikan talian selepas saya bertanyakan dia siapa dan sejak itu telefon bimbit mereka bertiga gagal dihubungi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Harlizah, bimbang dengan keselamatan kedua-dua anaknya dan Suhaili, dia meminta anak lelakinya, Mohd. Akmal Shafiq keluar mencari mereka di pekan itu pada malam tersebut tetapi gagal menemui mereka.

"Kepada sesiapa yang tahu di mana mereka berada sekarang, saya minta tolonglah hubungi kami. Kami hanya mahu mereka balik ke rumah sahaja sekarang ini. Baliklah, kami tidak akan marah," katanya sambil air mata bergelinangan.

Ibu kepada empat orang anak itu juga menafikan kedua-dua anaknya itu lari dari rumah kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarga.

"Kami tidak bergaduh. Semasa hendak keluar pun, Nurulain dan Nurulashiqin meminta izin dan mencium tangan saya seperti biasa," jelasnya.

Nurulain dan Nurulashiqin merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik manakala Suhaili adalah anak keenam daripada tujuh beradik.

Sementara itu, ibu kepada Suhaili, Che Norliah Che Mat, 47, memberitahu, anaknya berkawan rapat dengan Nurulain dan Nurulashiqin sejak di sekolah rendah.

Katanya, anaknya itu juga sering berkunjung ke rumah pasangan kembar itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Sabtu lalu, anak saya beritahu saya dia hendak pergi ke rumah Nurulain dan Nurulashiqin kerana ingin membeli pakaian bersama di pekan Kampar.

"Namun, sehingga kini, saya tidak mendengar sebarang khabar berita daripadanya kerana telefon bimbitnya ditutup mungkin kerana kehabisan bateri," katanya dengan nada sedih.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga pelajar perempuan berkenaan diminta menghubungi Harlizah di talian 017-5390689 atau 05-4653252.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan ketiga-tiga pelajar berkenaan daripada keluarga mereka malam kelmarin.

"Kita sedang menyiasat kes ini dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-4652222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujar beliau.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.