VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 17/08/2010

Martabatkan muzik Dayak


Antara pemenang Anugerah Muzik Dayak 2008 (dari kiri) Andrewson Ngalai, Jenny Tan dan Jenarino Jeraki.


MIRI 16 Ogos - Industri muzik Dayak sebenarnya sudah bertapak di bumi Kenyalang sejak 1960-an lagi iaitu pada era piring hitam dan sehingga kini, lebih 200 karyawan termasuk komposer dan artis berkecimpung dalam bidang tersebut.

Walaupun industri muzik kini mengalami transformasi dengan adanya laman web muat turun seperti 'Youtube' dan kemudahan lagu daripada Internet, album muzik Dayak masih mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat kaum itu, khususnya yang tinggal di rumah panjang.

Malah pada setiap tahun, kira-kira 30 album telah dihasilkan dalam bentuk cakera padat (CD) yang majoritinya dalam bahasa Iban dan dijual dengan harga antara RM16 hingga RM19 seunit.

Jika seorang artis yang sudah kukuh namanya pula mampu menjual album antara 15,000 hingga 20,000 unit setahun.

Maka tidak hairan, beberapa orang artis Dayak mampu meraih pendapatan tinggi sehingga mampu membuka syarikat rakaman untuk menerbitkan serta mengeluarkan album sendiri dan artis seangkatan yang lain.

Sehingga kini, terdapat lebih lima syarikat rakaman yang diusahakan oleh artis Dayak yang beroperasi di Miri, Sibu dan Kuching.

Walaupun telah lama berkembang, malangnya kehebatan muzik Dayak ini hanya mampu berlegar di negeri ini sahaja.

Ini kerana masih ramai orang luar khususnya dari Semenanjung dan Sabah tidak mengenali muzik Dayak.

"Bagi mereka, muzik Dayak adalah sejenis peralatan muzik tradisional yang dimainkan sambil menari menggunakan pakaian tradisional.

"Ini amat menyedihkan kerana orang luar masih tidak kenal apa itu muzik Dayak, sedangkan di sini cukup gah," kata Pengerusi Persatuan Artis dan Pemuzik Dayak (DAMA), Snowdan Donald Lawan.

Donald yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, baru-baru ini beliau menemui pengurusan TV3 di Kuala Lumpur dan berasa terkejut apabila pihak di sana mengakui tidak mengetahui kewujudan muzik Dayak.

Bagaimanapun katanya, syarikat televisyen berkenaan menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan DAMA setelah tertarik dengan video Anugerah Muzik Dayak 2008 yang dipertontonkan kepada mereka semasa pertemuan tersebut.

"Mereka menganggap muzik Dayak sebagai satu lagi produk hiburan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.

"Malah mereka sudah menyatakan minat untuk membuat liputan semasa anugerah yang sama pada November depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Donald memberitahu, ini merupakan pencapaian yang membanggakan khususnya bagi DAMA yang baru didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Mac tahun ini.

Menurut beliau, penubuhan DAMA bertujuan membantu mengetengahkan dan mempromosi bakat seni anak tempatan ke pasaran luar di samping membantu memartabatkan artis dan pemuzik Dayak ke peringkat profesional.

Selain itu, jelasnya, bagi menghargai perjuangan anak tempatan dalam seni muzik, DAMA menganjurkan majlis penganugerahan seperti AMD dan menggalakkan semangat kerjasama dan persefahaman penggiat seni Dayak.

"Apa yang penting, artis Dayak akan mendapat pembelaan dan perlindungan dalam industri muzik tempatan malah mahu hak cipta mereka dilindungi dan terpelihara.

"Di samping itu, mereka boleh mendapat khidmat nasihat daripada DAMA untuk mencari jalan memperkembangkan bakat serta industri muzik Dayak dan disebabkan itu kita serius mahu semua artis Dayak mendaftar sebagai ahli," katanya.

Donald berkata, persatuan juga dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan bersama kementerian yang berkaitan dan sektor swasta bagi membantu mengetengah dan mempromosikan industri muzik Dayak.

Katanya, ia termasuk meminta kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani kegiatan cetak rompak yang bermaharajalela sehingga menjejaskan jualan album artis tempatan.

"Di Semenanjung, artis mereka ada persatuan seperti Karyawan dan Seniman yang kuat dan lantang bersuara memperjuangkan nasib mereka, maka persatuan mereka kuat kerana mendapat sokongan padu daripada semua artis.

"Sehubungan itu, artis dan komposer Dayak di negeri ini digesa untuk mendaftarkan diri dengan DAMA bagi memantapkan perjuangan persatuan dalam memartabatkan muzik Dayak," katanya.

Setakat ini persatuan berjaya mendaftarkan seramai 100 artis Dayak terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta lebih ramai lagi dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Donald memberitahu, penubuhan DAMA bukan untuk mengaut keuntungan atau kepentingan tertentu, tetapi mahu semua artis dan karyawan Dayak bergabung di bawah satu persatuan dan ia adalah platform karyawan Dayak untuk meningkatkan profesionalisme mereka dalam bidang muzik.

Bagi perancangan jangka masa panjang, DAMA bercadang membina studio rakaman bagi mengekalkan momentum mereka dalam industri muzik.

"Kita tidak mahu melihat mereka popular dalam tempoh yang singkat dan selepas itu terus tenggelam, maka studio itu nanti diharap dapat membantu kumpulan berkenaan," katanya.

Donald menambah, pendaftaran untuk menjadi ahli DAMA kini terbuka kepada penyanyi profesional, pemuzik, komposer dan peminat muzik tanah air dengan yuran keahlian sebanyak RM50 seorang manakala borangnya boleh didapati di laman web www.dama.my.

Dalam perkembangan yang lain, Donald memberitahu, Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2010 akan dilangsungkan pada 6 November ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Anugerah berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, dengan syarat lagu atau album yang diterbitkan dalam bahasa Dayak, sama ada Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.

"Tidak kira sama ada penyanyi itu berasal dari Kelantan, Nigeria atau Bangladesh, selagi peserta menyanyikan lagu Dayak, jawatankuasa penganjur tetap terima," katanya sambil berseloroh.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Artis Lelaki Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Lagu Dayak Terbaik, Artis Baru Terbaik, Artis Berkumpulan/Duet Terbaik, Lagu Patriotik Terbaik, Album (Dayak) Terbaik, Kulit Album Terbaik, Klip Video Terbaik dan Anugerah Bintang Kenyalang.

Kata Donald, penganjuran AMD 2010 dibuat sepenuhnya mengikut konsep Anugerah Industri Muzik (AIM) yang dianjurkan setiap tahun sejak 1994 bagi mengiktiraf dan menghargai bakat-bakat seni muzik yang paling bermutu di tanah air.

Sehubungan itu, beliau menyeru barisan artis Dayak mengubah minda serta persepsi masing-masing seiring dengan perubahan rentak muzik masa kini.

Katanya, artis harus berupaya menerima dan menyerap perubahan supaya lirik-lirik lagu yang digubah dapat diterima masyarakat pelbagai lapisan dan latar belakang.

"Kita mahu melihat komposer menghasilkan lirik lagu yang mempunyai idea-idea baru dan berkualiti bagi mencerminkan budaya kaum Dayak dengan lebih baik lagi.

"Selain itu, kita mahu mereka mencari pembaharuan untuk menghasilkan video klip yang berkualiti dan segar. Maksudnya, lagu-lagu Iban tidak semestinya buat penggambaran di rumah panjang," kata Snowdan.

Beliau turut bercadang mengadakan pertemuan dengan pengurusan Radio Televisyen (RTM) untuk membincangkan mengenai kriteria untuk klip video muzik Dayak bagi disiarkan dalam rancangan Muzik Aktif.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.