VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 15/08/2010

Taj Mahal, Kashmir yang mengasikkan


PEMANDANGAN menarik berlatar-belakangkan pergunungan Himalaya.


SEMUA pengembara mengatakan India adalah negara paling cantik dan paling unik untuk dilawati. Betul. Tetapi, persoalannya, bagaimanakah hendak digambarkan keindahan dan keunikan itu?

Adakah menerusi rupa paras gadis-gadisnya seperti artis Katrina Kaif dan Shilpa Setty? Atau, gadis-gadis Kashmir yang merah pipinya dan akan menunduk malu apabila diperhatikan oleh sang jejaka? Atau melalui keajaiban Taj Mahal, permaidani serta sari daripada sutera, makanan yang enak berempah, mahu pun bumi Kashmir bergunung-ganang seperti Switzerland?

Memang sukar untuk menggambarkannya kerana kecantikan bumi India terpancar dalam kehodohan dan kekurangannya. Dalam kata lain, India tidak akan menjadi cantik tanpa kehodohan dan kekurangan itu.

Selama seminggu melawat negara itu untuk membuat tinjauan awal program lawatan pembaca bersama majalah Mastika, Al Islam, Infiniti dan POTO Travel Sdn. Bhd. baru-baru ini, penulis benar-benar terpukau menyaksikan keindahan India.

Apakah maksud keindahan tersebut? Jalan yang sempit dan tidak ada garisan putih. Di kiri kanan kelihatan tut tut beroda tiga sibuk menyelit. Kereta, lori, bas dan motosikal buruk membunyikan hon tidak berhenti-henti. Jalan menjadi sesak kerana dihalang sebuah kereta kuda yang membawa kayu api. Kemudian, ada gajah melintas jalan!

Di tepi-tepi jalan ada peminta sedekah berpakaian comot sambil mendukung anak kecil. Di luar sebuah bangunan, seorang kanak-kanak meniup serunai supaya ular senduknya mengembangkan kepala. Tiba-tiba seorang nenek melintas di hadapan penulis sambil menjunjung timbunan tahi lembu yang dikeping-keping dalam bentuk bulat. Tahi lembu itu akan dikeringkan untuk dijadikan bahan bakar memasak.

Di bawah pokok, si tukang gunting tersenyum mencukur jambang pelanggannya. Anak-anak gadis yang halus kulitnya pula berdiri menunggu bas awam. Mereka semua tersenyum dan ketawa sedangkan bas awam di India itu rupanya seperti raksasa - mukanya garang, penuh besi dan lampu lip-lap, cat berwarna-warni dan tiada penyaman udara.

Memang berserabut. Bayangkan, semua pemandangan itu dapat dilihat di seluruh India. Bayangkan juga, semua itu berlaku ketika cuaca panas terik hingga mencecah 46 darjah Celcius, tanah menjadi kering dan debu berterbangan.

Namun semuanya itu menghasilkan pemandangan yang sangat cantik, eksotik, lucu dan menghiburkan. Pemandangan itu tidak akan dapat dilihat di mana-mana tempat di dunia ini kecuali di India.

Kecantikan itu makin terpapar jelas apabila penulis melawat Red Fort (Istana/Kota Merah), yang dibina pada 1565 oleh maharaja ketiga Mughal, Akbar The Great. Kota yang asalnya dibina sebagai pusat militari, kemudian ditukar menjadi istana keluarga maharaja Mughal.

Senibina istana kota seluas dua kilometer persegi itu sangat mengagumkan. Dibangunkan daripada batu pasir berwarna merah, ia menjadi tempat raja Akbar, Humayun, Jahangir, Shah Jahan dan Aurangzeb bersemayam dengan isteri, anak-anak, dayang serta gundik-gundik mereka. Senibinanya menggabungkan gaya Hindu, Islam dan Parsi, serta lengkap dengan taman bunga, perpustakaan, dewan muzik, pasar dagangan dan masjid.

Red Fort semakin cantik kerana ia menyimpan pelbagai cerita dan legenda.

Di situlah dahulu tempat beradunya dua orang ratu Mughal yang paling jelita, iaitu Nur Jahan (1677-1645, isteri Jahangir) dan Mumtaz Mahal (1593-1631, isteri Shah Jahan) yang kedua-duanya berdarah Parsi.

Musamman Burj (Menara Melati) pula adalah tempat Shah Jahan dipenjara oleh anaknya Aurangzeb mulai 1657. Paling tragis apabila kita melihat tingkap tempat Shah Jahan berdiri pada hari-hari terakhir hidupnya, sambil merenung Taj Mahal yang sayup tersergam di tebing Sungai Yamuna, dua kilometer dari situ. Di situlah Shah Jahan menangis, meratap dan merindui Mumtaz, sehingga beliau meninggal dunia pada 1666 dalam keadaan hampir buta.

Di Istana Merah ini jugalah tempat Jahangir menghabiskan masa meneguk arak dan bergelumang dengan gundik-gundiknya. Ringkasnya, berada di Istana Merah ini akan menyebabkan perasaan kita bertembung antara kagum dan sedih, romantis dan marah.

Keindahan Taj Mahal tidak perlu diceritakan lagi. Keajaiban warnanya yang sentiasa bertukar mengikut cuaca dan kedudukannya yang seperti terapung di udara, membuatkan kita berasa seperti melihat sebuah istana di kayangan.

Selepas beberapa hari di Agra dan Delhi, penulis berkunjung ke Kashmir yang digelar oleh raja-raja Mughal sebagai ‘Syurga Dunia.’ Di sinilah letaknya satu lagi mutiara keindahan bumi India. Tidak seperti Agra dan Delhi yang kering, panas dan berdebu, cuaca di Kashmir pula begitu nyaman.

pergunungan

Ketika Delhi mendidih dengan 46 darjah celcius, Kashmir pula kesejukan dengan hanya 15-20 darjah celcius pada waktu tengah hari. Malam, kita menggigil di dalam selimut.

Untuk pengetahuan anda, di pergunungan sekitar Kashmirlah bintang-bintang filem Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Katrina Kaif menyanyi sambil bergolek di dalam salji.

Secara ringkasnya, Kashmir sebuah lembah hijau yang dipagari gunung-ganang dan banjaran Himalaya yang puncaknya dipenuhi salji serta awan memutih. Bunga-bunga liar tumbuh melata dan pokok-pokok pain yang tinggi menikam awan menjadikan Kashmir seperti Switzerland, seperti mana yang digelar oleh para pengembara dari Barat.

Gulmarg, 52 kilometer dari Srinagar, menyediakan pengalaman paling menyeronokkan. Pilih, mahu menaiki gondola (kereta kabel) yang paling tinggi di dunia, menuju ke puncak setinggi 2,730 meter, atau mendaki gunung itu dengan kuda padi.

Kalau hendak bermain ski, datanglah pada musim sejuk, sekitar Disember hingga Mac. Ketika itu, seluruh Kashmir menjadi putih. Kashmir adalah antara tempat bermain ski paling cantik di dunia.

Selain Gulmarg terdapat banyak lagi pergunungan yang cantik dan menarik, seperti Sonamarg dan Pahalgam.

Sementara itu, nun di lembah, Tasik Dal pula menanti dengan pemandangan yang sangat romantis. Kecantikan tasik seluas 10 kilometer lebar dan 24 kilometer panjang itu akan membuatkan sesiapa sahaja terpukau.

Pengalaman tinggal di rumah-rumah bot ala British yang diperbuat daripada kayu cedar, akan meninggalkan kenangan paling indah. Rumah-rumah bot ini dihiasi dengan ukiran-ukiran halus, permaidani indah dan lampu-lampu yang mewah serta romantik.

Pada waktu pagi, penduduk tasik ini akan bersampan membawa hasil kebun masing-masing ke pasar terapung. Apabila matahari mula menjengah, pancarannya menyebabkan permukaan Tasik Dal berubah menjadi cermin besar yang membias apa sahaja yang ada di sekitarnya.

Sekeliling tasik ini pula dihias dengan taman-taman bunga yang dibina oleh raja-raja Mughal. Di sinilah dahulu tempat Jahangir dan Nur Jahan serta Shah Jahan dan Mumtaz memadu cinta mereka, sambil menatap Tasik Dal dan banjaran Himalaya yang gagah mengelilinginya.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi tempat yang cantik di sana. Tambahan pula, India adalah syurga untuk membeli belah. Sesiapa sahaja akan terpesona melihat permaidani Kashmir yang halus, juga dengan kain sari daripada sutera yang menjadi kegilaan wanita masa kini. Semuanya murah dan menarik untuk dijadikan kenang-kenangan buat yang tersayang, dari bumi yang indah dan unik.

Selepas seminggu melawat, rumusan penulis: India sebagai sebegini: keindahannya tidak mampu diceritakan melalui tulisan atau dirakam dengan kamera. Ia perlu dirasai sendiri. Dari situ baru kita faham apa erti cantik yang sebenar-benarnya. Juga, apa erti syukur yang sebenar-benarnya. Selepas merasai keindahan dan keunikan itu, pasti anda akan menjadi seperti pengembara-pengembara lain yang tidak pernah puas melawat negara tersebut.

Majalah Mastika, Al Islam, Infiniti dan POTO Travel Sdn. Bhd. akan mengadakan lawatan ke Taj Mahal, Delhi dan Kashmir pada 30 Oktober hingga 6 November ini. Jangan lepaskan peluang ini. Daftar segera, hanya RM4,150 seorang, dan rasai sendiri keindahan yang saya ceritakan tadi. Kepada yang berminat, sila hubungi POTO: 03-92006640/012-3072546 (Rahim).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.