VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 12/08/2010

Lupakan saja GNR - Slash


SLASH tidak membuat persembahan keseorangan sebaliknya diiringi oleh kumpulannya.


MENERUSI kumpulan hard rock terkenal dari Amerika, Guns N' Roses (GNR), anak kelahiran London, England ini menempa namanya sehingga menjadi salah seorang pemain gitar terbaik dunia.

Selama 11 tahun bersama kumpulan itu, Slash mencipta popularitinya sendiri.

Bila bercakap mengenai Slash, sepantas kilat peminatnya akan terbayangkan imejnya yang unik.

Berambut kerinting halus, berkaca mata aviator dan sering mengenakan top hat berwarna hitam menjadikan Slash seorang ikon muzik yang digemari.

Kehandalannya bermain gitar elektrik tidak dapat dinafikan. Sehingga kini tiada siapa yang mampu menandingi kehebatannya.

Kerana kehandalan itu, namanya diseneraikan di tangga kedua sebagai 10 pemain gitar elektrik terbaik dunia dalam majalah Time.

Slash sendiri tidak menafikan selama 11 tahun membina nama bersama GNR, telah memperkenalkan namanya kepada khalayak.

Enggan menjadi seorang yang bongkak, Slash dengan jujur mengakui, dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan GNR.

Bahkan, Slash kurang selesa untuk berkogsi pengalaman terbaiknya sepanjang menganggotai kumpulan popular itu.

"Usah ditanya lagi perkara itu (merujuk kepada GNR). Ini kerana semuanya kenangan silam yang pahit untuk saya telan sehingga saya sering mengelak daripada memikirkannya setiap pagi apabila bangun daripada tidur," ujarnya penuh berhemah.

Slash membuat pengakuan itu dalam satu temu bual bersama media tempatan di Hotel Sunway Resort & Spa, Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.

Buat pertama kalinya juga, Slash menjejakkan kaki ke negara ini bagi menjayakan konsert solonya, Slash Live in Kuala Lumpur 2010 yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, minggu lalu.

Peminat dan pengikut setia kumpulan GNR cukup sedar perbalahan yang berlaku dalam kumpulan itu sehingga menyebabkan Slash mengambil keputusan berundur.

Sudah menjadi resam dalam mana-mana kumpulan muzik sekali pun, pasti akan ada perselisihan faham dan pendapat sehingga masing-masing bermasam muka.

Yang pasti perbalahan antara anggota GNR menyebabkan Slash sukar menerimanya sehingga meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Namun Slash mengakui, GNR berjaya menempa nama sehingga menjadi sebuah kugiran yang cukup gah di zaman kegemilangan mereka.

"Percaya atau tidak, saya memang benci pada lagu Sweet Child o' Mine pada saat pertama saya mendengarnya.

"Mahu atau tidak, saya harus bermain juga dalam lagu itu dan apabila lagu itu mendapat perhatian meluas sehingga menjadi lagu popular, saya sendiri terkejut.

"Kalau ditanya kepada saya, lagu-lagu berentak up tempo dan balada rock menjadi pilihan saya setiap kali merakamkan album.

"Tetapi, kalau kita tidak mencuba, kita tidak tahu hasilnya. Dan, itulah yang terjadi dengan lagu Sweet Child o' Mine," cerita Slash atau nama sebenarnya, Saul Hudson.

Biarpun tidak menyukai lagu itu, penangan lagu itu memang cukup besar sehingga berjaya meletakkannya di tangga 96 oleh majalah Rolling Stone sebagai salah sebuah 500 lagu terbaik sepanjang zaman.

Bersama GNR, Slash menghasilkan lima album bermula dengan album pertama Appetite for Destruction pada tahun 1987 dan diikuti dengan G N' R Lies (1988), Use Your Illusion I dan II (1991) serta The Spaghetti Incident? (1993).

Hampir tiga dekad menjadi seorang anak seni dan pemain gitar terbaik dunia, pengiktirafan yang diberikan kepada Slash memang jarang sekali.

Tidakkah Slash merasakan memang sudah sampai waktunya dia diiktiraf dengan anugerah yang sewajarnya?

Mungkin kedengaran jawapan yang diberikan Slash agak klise tetapi itulah realitinya apabila dia berkata: "Saya bekerja bukan untuk mengejar anugerah mahupun pengiktirafan.

"Bagi saya, semua itu akan datang dengan sendirinya apabila ia benar-benar layak untuk diberikan kepada kita.

"Perjuangan hampir tiga dekad dalam bidang seni bukan sekadar suka-suka. Ia datang dari jiwa yang luhur untuk memartabatkan muzik yang saya bawakan."

Kata-kata pemuzik handalan berusia 45 tahun itu juga menggambarkan intipati album solonya berjudul Slash yang dipasarkan tahun ini.

Sememangnya Slash tidak mampu menyembunyikan perasaan terujanya apabila dapat melahirkan album berkenaan yang menggabungkan dia dengan bintang-bintang ternama dunia.

Walaupun hanya bermain gitar secara solo dan dinyanyikan oleh penyanyi undangan, Slash menyimpulkan kerjasama itu sebagaipenghargaan buat dirinya.

"Bukan mudah untuk kumpul nama-nama besar ini dan menghasilkan lagu-lagu terbaik buat mereka.

"Kalau saya boleh menyanyi dengan baik, memang saya akan menyanyi sendiri lagu-lagu saya tetapi malangnya suara saya tidak sedap (ketawa). Saya tidak boleh menyanyi.

"Untuk menyanyi, ia memerlukan penghayatan yang total dalam menyampaikan cerita dalam sesebuah lagu itu. Saya sedar saya tidak mempunyai kebolehan itu. Cukuplah sekadar menerusi permainan gitar saya sahaja," kata Slash yang cukup peramah.

Antara penyanyi yang menyumbangkan suara untuk album Slash itu ialah Fergie, Ozzy Osbourne, Chris Cornell, Iggy Pop, Kid Rock dan Adam Levine.

Slash juga ditanya bagaimana dia mengimbangi dunia seninya dengan kehidupan peribadi sementelah statusnya sebagai suami dan bapa kepada dua orang anak lelaki, London Emilio dan Cash Anthony.

Jelasnya, dia bertuah kerana isterinya, Perla Ferrar menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna dalam mendidik anak-anak.

"Saya dan isteri membesarkan anak-anak kami sama seperti sama rakan sebaya mereka dengan kehidupan yang normal.

"Kehidupan kami tiada bezanya dengan orang lain kerana saya tidak memanjakan dan mengasingkan anak-anak hanya kerana saya ini seorang pemuzik.

"Mereka wajar diberi kehidupan yang baik dan sempurna agar mereka dapat menjadi seorang yang normal," katanya yang kini menetap di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.