VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 04/08/2010

Sambutan bulan kemerdekaan perlu penghayatan

BULAN Ogos sekali lagi datang menjenguk kita, menandakan kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53. Tahun ini juga kita akan menyambut tarikh keramat 31 Ogos dalam bulan Ramadan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang di Kangar secara besar-besaran. Ia menandakan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan ke-53 bertemakan '1Malaysia Menjana Transformasi'.

Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini bermula dengan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang di Perlis dan dijangka berakhir dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September, manakala sambutan Hari Kebangsaan pula akan berlangsung pada 31 Ogos di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sambutan seumpama ini telah menjadi tradisi di negara kita setiap tahun bagi memperingati semula detik kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957. Ironinya, pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini dilaksanakan selang sehari selepas sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai lalu. Kedua-dua peristiwa ini mempunyai nilai signifikan dan hubung kait yang cukup kuat.

Dalam konteks ini, dua perkara yang sering menjadi persoalan utama adalah keikhlasan dan penghayatan kita menyambut sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan setiap tahun bagi memperingati detik bersejarah negara ini yang dilakar hasil pengorbanan wira negara.

Ini kerana keikhlasan kita dalam memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan boleh dilihat sebagai hadiah terbaik kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air. Penulis berpendapat, salah satu cara untuk kita menunjukkan tanda penghargaan dan membuktikan bahawa kita menghargai nilai kemerdekaan yang diwariskan kepada kita adalah dengan menzahirkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang dengan penuh ikhlas serta penghayatan yang mendalam.

Mungkin tidak keterlaluan kerana penulis ingin mencadangkan agar bulan Ogos diisytihar sebagai bulan mulia untuk seluruh warganegara Malaysia, sama seperti bulan Ramadan untuk umat Islam di seluruh dunia. Bukan niat penulis untuk menyamakan kesucian dan kelebihan bulan Ramadan dengan bulan lain tetapi tidak salah untuk kita menjadikan bulan Ogos sebagai bulan yang sangat bermakna kepada kita.

Ini penting kerana tahun-tahun lalu menunjukkan walaupun kita tidak pernah ketinggalan melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang, namun sambutan dan kemeriahan masyarakat kita masih rendah. Malah adakalanya kita merasakan ia berada pada tahap yang cukup mendukacitakan.

Misalnya, bilangan premis kerajaan mahupun organisasi korporat yang mengibarkan Jalur Gemilang secara relatifnya masih sedikit. Jumlah kenderaan yang memasang Jalur Gemilang juga dilihat tidak begitu memberangsangkan. Malah kebanyakan daripada kita hanya akan memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing apabila ia diberikan secara percuma.

Tidak ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli Jalur Gemilang walaupun kosnya cukup rendah. Maka persoalan yang timbul di sini adalah di manakah nilai keikhlasan dan penghayatan kita terhadap kempen dan sambutan tersebut? Ini juga membuktikan bahawa keikhlasan dan penghayatan kita dalam meraikan kemerdekaan negara kita masih meragukan dan boleh dipersoalkan.

Dalam isu ini, kita tidak menafikan mungkin ada kebenaran pada hujah segelintir masyarakat bahawa tindakan tidak memasang bendera tidak bererti tidak sayang negara tetapi adakah kita mempunyai cara lain yang lebih mudah untuk menzahirkan perasaan sayang kita kepada ibu pertiwi? Sama-samalah kita fikirkan.

Amatlah dikesali kerana tahap kesedaran untuk menghayati nilai kemerdekaan dalam kalangan generasi muda kita semakin pudar. Jadi, kita perlu berusaha memupuk nilai kasih sayang kepada negara di dalam sanubari mereka secara mendalam dengan penuh penghayatan supaya mereka sedar dan sanggup mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati hari ini.

Untuk itu, di samping memupuk budaya cintakan negara melalui sambutan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang, kita juga wajar memikirkan cara lain melalui pendekatan berbeza agar keikhlasan dan penghayatan dapat diterjemahkan seperti yang kita harapkan.

Antara caranya adalah kita perlu menjalankan sesuatu kempen kesedaran seperti ini agar ia membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam hal ini, kumpulan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang bakal menjadi pewaris negara wajar diberi perhatian yang lebih. Kumpulan ini perlu disedarkan kepentingan untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan negara.

Walaupun pihak sekolah dan IPT sering menganjurkan pelbagai program kesedaran sepanjang bulan Ogos, namun sudah tiba masanya untuk kita menilai semula serta memberi nafas baru kepada program-program yang dianjurkan itu agar ia dapat memberi impak yang diharapkan.

Program-program yang memupuk nilai-nilai kasih dan sayang kepada negara seperti pertandingan drama atau teater kemerdekaan, pertandingan debat dan perbahasan kemerdekaan serta tayangan drama dan filem yang menceritakan kisah perjuangan para pejuang kemerdekaan yang sering diadakan selama ini di peringkat sekolah dan juga IPT wajar diperkasa semula agar ia benar-benar mampu mewujudkan rasa kesedaran dan keinsafan dalam kalangan generasi muda kita.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

UPM Serdang, Selangor

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.