VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PAHANG

ARKIB : 03/08/2010

Keistimewaan pokok periuk kera


ZAKARIA Adam menunjukkan gambar periuk kera yang dilukis di rumahnya di Maran, kelmarin.


MARAN 2 Ogos - Pokok periuk kera atau nama saintifiknya, 'nepenthes sepp' merupakan sejenis pokok herba yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Berbeza dengan tumbuhan lain, periuk kera merupakan pokok maging yang memerangkap serangga dalam periuknya untuk membekalkan sebahagian dari nitrogen yang diperlukan untuk hidup.

Periuk kera merupakan sejenis herba yang biasanya tumbuh di tanah berasid di hutan tebal, paya dan batu kapur yang memerlukan gas nitrogen untuk pembesaran dan matang sebagai pokok memanjat bersulur paut.

Sesetengah sulurnya membentuk periuk berongga. Setiap spesies berlainan mempunyai periuk dan warna yang berbeza.

Kebanyakan spesies tumbuh di atas tanah manakala sebahagiannya pula merupakan epifit (epiphytic).

Menyedari keistimewaan pokok periuk kera itu, ia memberi ilham kepada seorang pelukis terkenal Pahang, Zakaria Adam, 62, untuk mengabadikannya di dalam kanvas lukisan sebagai tatapan masyarakat dan generasi akan datang.

''Saya mengambil inisiatif menumpukan lukisan motif pokok periuk kera kerana mendapati masyarakat kurang memberi perhatian terhadap spesies ini berbanding orkid sedangkan kedua-duanya berasal dari khazanah rimba.

''Kurangnya perhatian masyarakat terhadap pokok periuk kera mungkin spesies yang unik ini akan pupus akibat kerakusan manusia mengejar pembangunan pesat sehingga mengabaikan keperluannya meneruskan hayat," katanya yang dikenali sebagai Cikgu Zakaria.

Zakaria yang juga pesara guru dan pemilik syarikat M Warna Enterprise Maran Sdn. Bhd. berkata, demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pameran solo sempena Program Juara Rakyat Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Menurutnya, menyedari masalah kepupusan pokok Periuk Kera, dia berusaha keras melukis motif pokok tersebut untuk dipamerkan di mana-mana galeri di seluruh negara supaya pencinta alam dapat menghargai spesies itu.

Pada masa yang sama beliau berharap masyarakat dapat menghayati keistimewaan pokok periuk kera itu dan meletakkan gambar atau lukisan periuk kera di ruang tamu rumah, pejabat atau sekolah menggantikan bunga orkid dan sebagainya.

''Khazanah rimba yang cantik dan unik ini dianggap sebagai pemangsa tetapi ia tidak pernah 'berburu' sebaliknya hanya menunggu setelah mangsa masuk ke dalam periuknya yang terbuka,'' tambahnya.

Katanya, falsafah pokok periuk kera ini boleh dijadikan sempadan oleh manusia sendiri iaitu 'jangan mengganggu periuk nasi orang lain' kerana jika diganggu akan menyebabkan tindak balas di luar dugaan.

Zakariz kesal kerana pokok periuk kera tidak sepopular orkid atau bunga rimba yang lain kerana ia mungkin ada hubung kait dengan nama 'kera.'

''Sedangkan sang kera pun tidak tahu nama bunga hutan itu diambil sempena nama haiwan itu," katanya sambil berseloroh.

Sehubungan itu, dia berharap masyarakat tidak meminggirkan pokok periuk kera hanya kerana namanya sedangkan keistimewaan dan keunikannya sungguh mempesonakan kerana ia satu-satunya menjadi pokok pemangsa di hutan negara ini.

Dengan melukis motif pokok periuk kera itu, ia sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan spesies istimewa tersebut kepada golongan muda yang mungkin tiada kesempatan melihat pokok tersebut secara dekat akibat kemusnahan alam sekitar.

''Banyak koleksi lukisan pokok periuk kera di galeri M Warna Enterprise dan di rumah saya untuk tatapan pengunjung dan ia juga boleh dimiliki oleh peminat alam sekitar dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Zakaria menambah, pihaknya telah mengadakan banyak pameran di seluruh negara termasuk di Galeri Rajawali Temerloh dan Balai Seni Lukis Pahang.

Beliau yang merupakan ahli Persatuan Seni Lukis Melayu Pahang (Senika) bercadang membuat pameran berkumpulan bersama-sama pelukis tempatan lain termasuk Osman Limat di Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Zakaria melahirkan kekagumannya terhadap beberapa pelukis Pahang kerana mereka mempunyai motif dan identitinya sendiri dalam lukisan masing-masing.

''Misalnya Osman Limat pakar dalam lukisan pemandangan, Nazeri dalam lukisan ayam serama, Tuan Wil dalam seni landskap manakala Wan Adnan pula mahir dalam lukisan batik.

''Bakat melukis dan berkarya ini adalah kurniaan Allah yang sangat berharga kerana semua masalah atau stres akan hilang apabila perhatian ditumpukan kepada kerja-kerja melukis itu,'' katanya.

Sejak bersara sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 10 pada 2007, tambahnya, banyak masa dihabiskan di hadapan kanvas lukisan.

''Sama ada di rumah atau di galeri, saya akan terus 'berjuang' untuk mempopularkan pokok periuk kera," tegasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.