VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 20/07/2010

Tanaman kenaf berpotensi tinggi


Sebahagian peserta bergotong royong menebang kenaf tunaian pertama mereka secara manual di Kampung Tasek, Rantau Panjang. – utusan/Asma Hanim Mahmood


RANTAU PANJANG 19 Julai – “Kerusi pun kalau ada yang tak kenal kita kena tunjukkan contohnya dahulu baru orang boleh percaya ia ada manfaat dan kegunaan,” kata Ketua Peserta Penanaman Kenaf Kampung Tasek, Rantau Panjang, Che Mohd. Hasbullah Che Ngah.

Demikian analogi yang digunakan lelaki kulit sawo matang berusia 47 tahun itu tentang pengalaman awalnya meyakinkan penduduk untuk mula terlibat dengan projek tanaman pokok kenaf di kampungnya tahun lalu.

Che Mohd. Hasbullah mengetuai sekumpulan 33 penanam kenaf mengusahakan tanah sawah yang terbiar seluas 330 hektar sejak 20 tahun di kampung yang terletak 44 kilometer dari ibu negeri Kelantan itu.

Beliau berkata, kemusykilan daripada penduduk adalah sesuatu yang lumrah lebih-lebih lagi kenaf adalah sejenis tanaman yang tidak pernah dilihat kebanyakan mereka sebelum ini.

“Ada yang bertanya boleh hidupkah kenaf di tanah mereka, betulkah ada untung selepas bersusah payah nanti, betulkah pokok ini banyak kegunaan? Jadi sudah tentu penerangan dan pameran contoh tanaman yang dibawa pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau (LKTN) negeri perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penuaian sulung projek penanaman kenaf di kampung tersebut baru-baru ini.

Projek penanaman kenaf Kampung Tandak merupakan kawasan paling luas setakat ini di negeri ini dan dijangka memberi pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan kepada peserta terlibat.

Che Mohd. Hasbullah berkata, pihak LKTN membuat kajian ke atas tanah bagi menentukan kesesuaiannya untuk dibangunkan dengan penanaman kenaf setelah ia sekian lama terbiar.

Katanya, kawasan itu dahulu sebenarnya menghijau dengan sawah padi namun setelah sungai berdekatan dikorek oleh sebuah agensi kerajaan dua dekad lalu, pengairan air ke sawah terjejas dan mengakibatkan ia kontang sehingga kini.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat dari usia 25 hingga 50 tahun itu dibawa LKTN menyertai pelbagai kursus pengenalan dan kaedah tanaman serta ditunjukkan hasil produk yang menggunakan kenaf sebagai bahan mentah.

“Setelah semuanya bersedia, kita mula menanam kenaf seluas 26 hektar sebagai percubaan pada bulan September tahun lalu.

“Alhamdulillah, penduduk makin bersemangat setelah melihat sendiri kenaf yang ditanam hidup subur dan pada 23 Mac barulah kita usahakan tanah secara besar-besaran sehingga seluas 330 hektar,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak menghadapi banyak masalah menanam dan menjaga kenaf yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh empat bulan.

“Sama seperti mengusahakan tanaman lain kita perlulah menjaga dari sudut membaja dan meracun tetapi ia tidaklah serumit seperti tembakau.

“Ancaman dari air bah juga tidak perlu dikhuatiri sangat kerana apabila ketinggiannya sudah mencapai 3 meter, ia masih berupaya hidup asalkan tidak terlalu lama berada dalam air,” katanya ketika ditanya risiko banjir berikutan lokasi kampung di Rantau Panjang itu yang ‘tenggelam’ setiap kali musim tengkujuh bertandang.

Che Mohd. Hasbullah berkata, kenaf ditanam dalam empat peringkat dan penuaian sulung pada hari itu membabitkan kawasan seluas 30 hektar dan kerajaan telah membiayai segala kos penanaman sehingga penuaian dengan jumlah RM3,500 sehektar.

Katanya, penyertaan penduduk kampung dalam projek tersebut memberi harapan baru kepada mereka yang rata-ratanya hanya berpendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan.

“Kebanyakan kami di sini hanyalah bekerja kampung seperti tukang rumah dan pekebun kecil jadi kami gembira kerana akhirnya diberi peluang membangunkan tanah kami yang sudah lama terbiar.

“Setiap hektar dijangka akan menghasilkan 10 tan metrik batang kenaf di mana LKTN telah berjanji akan membeli dengan harga RM300 setan. Kami harap projek ini tidak akan terhenti sekerat jalan dan mendapat perhatian berterusan daripada pihak kerajaan” katanya.

Seorang peserta, Sayuti Abdul Latif , 40, juga berharap projek itu akan memberi pulangan dalam tempoh masa yang berpanjangan kepada mereka.

Bapa kepada enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun ini berkata, hasil yang diperolehi nanti akan mampu membantunya menyara keluarga dengan lebih baik.

“Pendapatan saya tidak tentu, ambil upah menolong orang kampung sahaja, dulu pernah juga menanam tembakau tetapi sekarang tidak lagi Saya amat berharap projek kenaf ini berjaya dan boleh menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LKTN negeri, Ismail Omar berkata, terdapat 50 peserta yang terlibat dalam penanaman kenaf seluas 463 hektar di seluruh negeri ini.

Katanya, selain penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas yang berjumlah 37 orang kesemuanya, 13 lagi penanam mengusahakan 130 hektar tanaman di daerah Bachok dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, pihak LKTN bukan sahaja membeli hasil yang dikutip pada harga RM300 setan, malah akan membayar kerja-kerja penebangan dan kutipan yang dilakukan penduduk kampung pada harga RM20 setan batang kenaf basah.

Jelasnya, setiap inci tanaman kenaf daripada empulur hinggalah ke batang boleh dimanfaatkan dan digunakan untuk penghasilan pelbagai jenis produk seperti papan gentian, plaster siling, insulator, kertas bermutu tinggi serta bio komposit.

“Kita terima banyak permintaan sebenarnya untuk terlibat dengan projek ini termasuk di Jeli, insya Allah kita akan melibatkan lebih ramai lagi untuk terlibat setelah mengkaji potensi kawasan masing-masing dan berpuas hati dengan komitmen yang diberi,” katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.