VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Julai 2014 / 4 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/07/2010

Langkah untuk masa depan

Setiap kali harga petrol dinaikkan sudah pasti ia akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan masyarakat. Beberapa tahun lalu kenaikan mendadak harga bahan api itu secara tidak langsung telah mendorong kenaikan harga pelbagai barangan lain mengakibatkan rakyat begitu marah kerana bebanan akibat kenaikannya begitu dirasai.

Namun, apabila kerajaan bertindak menurunkan kembali harga minyak berikutan harga pasaran petrol kembali normal ia dilihat melegakan hati masyarakat.

Kini sekali lagi kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan harga petrol RON 95 sebanyak lima sen kepada RM1.85. Bukan itu sahaja, harga gula dan gas LPG turut sama dinaikkan.

Timbul persoalan apakah punca yang menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga ketiga-tiga barangan keperluan tersebut apatah lagi ia dilakukan secara mengejut dan dilihat agak drastik.

Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD.FAIRUZ YUSOF dan jurugambar, RUSDI SALLEH telah, menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri YAAKOB bagi mendapat gambaran sebenar rasional kerajaan bertindak demikian.

Beliau yang ditemui di Kuantan pada Jumaat lepas menerangkan langkah kerajaan itu bertujuan semata-mata demi pembangunan rakyat Malaysia.


Saya ingin maklumkan walaupun telah membuat penyelarasan harga dan beberapa subsidi telah dikurangkan tetapi kita masih lagi menanggung subsidi sebanyak RM7.8 bilion.


MINGGUAN: Boleh Datuk Seri jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan penyelarasan subsidi?

ISMAIL: Ada pelbagai

anggapan tentang penyelarasan subsidi, tetapi ia melihat semula dari segi segala keperluan subsidi yang mana patut diteruskan dan yang mana subsidi patut dikurangkan.

Makmal Penyelarasan Subsidi melihat secara menyeluruh. Jadi dalam penyelarasan itu, ia mengkaji dan melihat kepada keperluan yang mana perlu dikekalkan dan kurangkan secara keseluruhan.

Subsidi ini mempunyai dua jenis iaitu secara langsung dan tidak langsung. Subsidi secara tidak langsung ini seperti bahan pertanian dan pendidikan manakala secara langsung pula adalah petrol, diesel gas LPG, minyak masak, gandum, gula dan beras ST 15.

Bagaimana penyelarasan subsidi yang kemudiannya membawa kenaikan harga minyak, gula dan LPG memberi manfaat kepada rakyat?

ISMAIL: Dari segi jangka panjang, secara keseluruhan kita lihat defisit negara akan berkurangan. Tanggungan negara terhadap subsidi itu akan berkurangan. Selain itu ia juga bagus kepada ekonomi negara. Sekarang ini subsidi tersebut tidak dapat dinikmati oleh semua pihak. Misalnya petrol, tidak semua masyarakat merasa nikmat hasil daripada subsidi petrol. Orang kampung yang tiada kereta dan mereka berada di pedalaman cuma memiliki basikal sahaja dan ia tidak menguntungkan kepada golongan itu.

Kalau dibuat perbandingan golongan kaya mungkin mempunyai tujuh kereta dan golongan berpendapatan rendah mungkin memiliki sebuah motosikal sahaja. Dengan penyelarasan semula subsidi kita mengurangkan subsidi petrol misalnya, hasil daripada penjimatan itu boleh digunakan untuk pembangunan masyarakat miskin. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumuman mengenai harga subsidi itu, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan orang miskin, masyarakat luar bandar dan kebajikan mempunyai NKRA tertentu yang mana memerlukan kewangan besar. Jadi, ia baik kepada masyarakat dan sebahagian penjimatan itu akan dipulangkan kepada golongan miskin seperti menambah kemudahan prasarana mereka di pedalaman.

Apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri adalah jelas iaitu menambah biasiswa. Anak-anak golongan miskin akan dapat kemudahan itu. Hal itu juga dapat menambah klinik 1Malaysia dengan cadangan memperbanyakkan klinik bergerak yang boleh memasuki kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Ia dapat manfaat kepada golongan miskin. Begitu juga dalam meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang di Sarawak, Sabah dan Semenanjung untuk merapatkan jurang harga antara bandar dan luar bandar kerana kerajaan perlu membayar kos pengangkutan untuk membawa barangan ke sana.

Perkara itu memberi keuntungan kepada penduduk luar bandar . Sebagai contoh penduduk di rumah panjang di kawasan hulu di Sarawak, mereka tidak memiliki motosikal sebaliknya mempunyai perahu atau sampan sebagai pengangkutan utama. Kita beri berapa banyak subsidi petrol kepada mereka yang tentunya memberi kenikmatan kepada golongan itu. Justeru, dengan mengambil sebahagian daripada subsidi petrol, secara tidak langsung ia dapat mensubsidikan kos pengangkutan untuk mengangkut barangan makanan dan keperluan kepada mereka. Jadi apabila harga sesuatu barangan itu tinggi dan membebankan mereka akan dapat nikmatnya dengan subsidi yang diberikan. Oleh itu, dari segi jangka pendek dan jangka panjang akhirnya memberi keuntungan kepada rakyat.

Adakah sebarang kajian mengenai kesan kenaikan harga barangan keperluan terhadap rakyat dibuat sebelum Kabinet memutuskan untuk menyelaraskan subsidi dan menaikkan harga petrol, gula dan LPG?

ISMAIL: Kerajaan sebenarnya telah melakukan kajian melalui Makmal Liberalisasi. Selain pada hari terbuka yang dibuat di KLCC, kita juga membuka kepada pandangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), online, Facebook dan sebagainya bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada orang ramai. Antaranya, orang ramai memberi pandangan misalnya gula yang sepatutnya dinaikkan kerana tidak ada sebab kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM1 bilion kerana gula tidak mendatangkan kesan yang baik kepada kesihatan.

Begitu juga dari segi impak kenaikan kepada pendapatan rakyat termiskin. Contohnya gula, dengan kenaikan barangan itu berapa sen yang terlibat dan kesan kepada makanan-makanan manis yang dijual di pasaran. Rata-rata kita lihat ia melibatkan kenaikan antara satu hingga dua sen sahaja. Kenaikan minyak sebanyak lima sen. Kesan kepada barang adalah 0.003 sen. Jadi kita telah mengira impak kepada rakyat secara individu maka bebanan itu terlalu sedikit dan tidak dapat dirasai. Contohnya gula naik 25 sen, paling tinggi orang kampung gunakan barangan itu dalam sebulan mungkin sebanyak dua kilo dan perbezaan dalam 50 sen. Pertambahan sebulan adalah sebanyak itu. Walaupun ada penambahan tetapi tidak dinafikan ia tidaklah besar.

Sejauh mana keperluan menaikkan harga barangan tersebut?

ISMAIL: Sebagai perbandingan barangan seperti gandum dan beras ST 15 ia adalah barangan keperluan. Keperluan itu melebihi gula. Contohnya beras ST 15, sebab ia tidak memberikan kesan buruk kepada pengguna. Antara beras dan gula, kita naikkan gula; antara gandum dan gula, kita naikkan gula sebab gandum digunakan untuk membuat roti.

Gandum ini tidak seburuk seperti gula. Gula ini nampak dari segi kesihatan. Perdana Menteri ada sebut Malaysia antara negara tertinggi penghidap penyakit kencing manis iaitu 14 peratus berbanding Amerika Syarikat yang hanya sekitar tujuh peratus dan ia meningkat dengan jelas beberapa tahun.

Sekiranya kerajaan menaikkan harga gula, adakah kemungkinan jumlah pesakit kencing manis ini dapat dikurangkan?

ISMAIL: Saya harap rakyat menukar tabiat makanan. Jangan terkejut apabila harga gula naik tetapi tidak menukar tabiat masing-masing. Apabila mendengar kenaikan itu, rakyat sepatutnya mula menjauhi atau mengurangkan penggunaan makanan yang manis. Hasrat kerajaan untuk melihat rakyat lebih sihat akan berjaya. Seperti rokok, apabila kerajaan menaikkan harga rokok tujuannya adalah untuk mengurangkan tabiat menghisap rokok tetapi kalau dikekal harga ia akan mengekalkan penyakit sedia ada dan memberi bebanan kepada perokok. Saya berharap pengguna bijak membuat penilaian dan menjaga kepentingan diri melebihi kepentingan lain.

Bagaimana kementerian dapat memastikan keputusan Kabinet tidak menimbulkan kesan rantaian terutamanya kenaikan harga barangan dan makanan seperti yang terjadi sebelum ini?

ISMAIL: Kita telah buat kajian contohnya teh tarik. Kesan kepada kos dengan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen hanya melibatkan 1.2 sen. Begitu juga secawan Milo hanya naik 0.7 sen; biskut coklat 0.6 sen; kuih seri muka 0.2 sen dan minuman Coca Cola hanya 4.1 sen. Kalau mengikut pada kadar itu kesannya dilihat sedikit kecuali susu kordial F&N 5.5 sen dan krimer pekat manis 5.6 sen. Untuk memastikan harganya tidak naik, kementerian telah membuat simulasi harga ini tetapi mungkin ada peniaga yang ingin mengambil kesempatan.

Justeru, pada 19 Julai ini (esok) kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan kedai makan, persatuan industri kecil dan sederhana (IKS) dan persatuan pengeluar-pengeluar makanan dan minuman. Langkah tersebut dibuat supaya mereka dapat berbincang dengan kementerian untuk tidak menaikan harga. Dalam masa sama kita memantau kedai-kedai makan dan sebagainya dengan penglibatan pegawai-pegawai penguatkuasa. Pemantau harga kementerian akan turun padang dalam tempoh dua tiga minggu ini untuk memastikan kenaikan mendadak tidak akan berlaku.

Sejauh mana kemampuan pasukan penguat kuasa harga untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku?

ISMAIL: Saya percaya apabila kenaikan harga ini berlaku maka kes-kes menyorok barangan dan penyeludupan akan berkurangan. Apabila harga dinaikkan, perbezaan harga itu dengan negara jiran masih lagi tinggi tetapi sudah semakin berkurangan. Ia juga termasuk di pasaran gelap apabila kes-kes penyeludupan dan jualan di pasaran itu dapat dikurangkan. Isu kekurangan gula ini tidak akan timbul selepas ini dan ia merupakan tindakan baik kerana peniaga baru-baru ini merungut berikutan kekurangan bekalan itu.

Disebabkan masalah itu, ia dicatu dan sebagainya dan menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan perniagaan. Berbanding dahulu, apabila gula tidak cukup mereka terpaksa membayar pada harga mahal sebab peniaga-peniaga runcit ini mengambil kesempatan. Peniaga runcit ini mengenakan syarat seperti kalau hendak lebih kena bayar lebih. Jadi penipuan-penipuan tentang harga gula berlaku dan kita dengar kalau hendak beli gula kena ikut syarat. Syaratnya kena beli barangan lain lebih RM50 baru boleh dapat gula. Jadi pengguna pun menghadapi masalah dan yang menguntungkan adalah peruncit. Tetapi sekarang ini tidak ada sebab perkara itu berlaku lagi kerana gula dijangka akan tetap cukup di pasaran.

Dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu adakah disentuh tentang kenaikan harga barangan?

ISMAIL: Kita telah menjalankan kajian dan impak, maka keputusan terhadap perkara ini telah dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang lepas. Jadi segala masalah dan kes-kes yang kita bincang itu telah dilakukan sebelum kenaikan. Mungkin dalam sebulan lagi saya akan bentangkan nota kepada Kabinet, mungkin kajian kementerian apakah senario kenaikan selepas sebulan kenaikan beberapa barangan tersebut.

Mengenai kenaikan harga minyak ini, adakah ia dipengaruhi oleh harga pasaran semasa atau sebaliknya?

ISMAIL: Impak sekarang kerajaan masih lagi menanggung subsidi. Saya ingin maklumkan walaupun telah membuat penyelarasan harga dan beberapa subsidi telah dikurangkan tetapi kita masih lagi menanggung subsidi sebanyak RM7.8 bilion. Bukan maknanya kita kurangkan subsidi kita hapuskan terus. Kita mengurangkan subsidi sedikit sahaja. Contohnya macam petrol dan diesel masing-masing lima sen.

Gula pula, walaupun naikkan harga gula dari RM1.65 kepada RM1.90 kerajaan masih lagi menanggung sebanyak 49 sen untuk setiap kilogram gula. Maknanya kerajaan masih lagi menanggung subsidi itu. Oleh itu, rakyat tidak boleh beranggapan bahawa kerajaan tidak menanggung apa-apa.

Adakah kenaikan itu akan menjadi senjata kepada parti pembangkang untuk menyerang kerajaan?

ISMAIL: Parti pembangkang kalau turun harga sampai rendah pun nanti dikatakan kerajaan tidak cekap dari segi pengurusan ekonomi dan akan mendakwa defisit ekonomi sudah tinggi. Mereka akan cakap apa saja walaupun kerajaan membuat pelbagai perkara demi kepentingan rakyat.

Namun apabila kita melihat di negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang tidak ada yang percuma malah beberapa cukai dinaikkan dan ini membebankan rakyat. Walaupun kita buat penyelarasan subsidi dan kerajaan masih menanggungnya, harga di negara ini jauh lebih murah daripada negara jiran. Ini menunjukkan bahawa rakyat negara ini masih hidup dalam keadaan selesa berbanding negara jiran yang lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.