VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 08/07/2010

Malaysia sedia beli senjata China

KUALA LUMPUR 7 Julai – Kementerian Pertahanan sedang mempertimbangkan untuk memperoleh lebih banyak senjata dari China di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian kini lebih terbuka berhubung dasar pembelian senjata dan China merupakan salah sebuah negara pembekal yang sedang diteliti bagi memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kemungkinan untuk kita membeli produk persenjataan dari China tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana banyak aset tempur yang dihasilkan negara tersebut mempunyai kualiti dan prestasi yang setanding dengan negara kuasa besar yang lain.

“Dalam aspek pembelian peralatan ketenteraan, kita tidak boleh bergantung kepada persepsi semata-mata. Kita harus menilai teknologi industri pertahanan China yang telah berkembang dengan maju,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Ketika ini, ATM telah mengoperasikan sistem peluru berpandu lancaran bahu (Manpads) jarak sangat dekat jenis FN-6 buatan China, tetapi dalam jumlah yang kecil.

Perolehan itu memecah tradisi pembelian aset ketenteraan membabitkan negara China oleh Kementerian Pertahanan kerana selama ini persepsi yang wujud di kalangan para perancang ketenteraan ialah senjata China tidak berkualiti.

Menurut Ahmad Zahid, kementerian menetapkan bahawa dalam setiap pembelian aset baru, persetujuan mengenainya hanya akan dibuat jika pihak pembekal bersedia menawarkan peralihan teknologi serta program timbal balas dalam bentuk ekonomi dan latihan.

Katanya, dalam isu tersebut kerajaan China dan syarikat pertahanannya diketahui tidak keberatan untuk memenuhi ketiga-tiga syarat berkenaan seandainya senjata mereka dibeli.

Kepada soalan sama ada kerajaan bersedia untuk membuat pembelian tambahan FN-6 memandangkan Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) berpuas hati dengan prestasi peluru berpandu itu, jelasnya, perkara itu tidak akan didedahkan kepada umum kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

Mengenai cubaan pembangkang untuk mempolitikkan kos pembelian peluru berpandu antikapal jenis Exocet buatan Perancis, Ahmad Zahid memberitahu, setiap negara mempunyai spesifikasi pembelian yang tertentu.

“Harga akan berbeza jika kita mahu spesifikasi yang berbeza dengan negara lain. Peluru berpandu ini adalah senjata strategik negara bagi memperkasakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Berhubung dengan harga yang mereka nyatakan, ia mungkin harga asas yang dipaparkan di Internet, tetapi kita bukan membeli sesuatu yang asas dan saya tidak perlu menghuraikan spesifikasi tersebut kerana ia akan mendedahkan maklumat sulit kepada musuh,” katanya.

Sementara itu, bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertahanan akan menubuhkan Rejimen Media Askar Wataniah (AW) melibatkan semua organisasi media di negara ini.

Katanya, penubuhan rejimen itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan pengamal media supaya terlibat aktif dalam aktiviti ketenteraan.

“Majlis Angkatan Tentera telah berbincang menubuhkan rejimen ini dan dijangkakan segala dasar penubuhannya akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Selepas mencapai kesepakatan dalam mesyuarat, cadangan penubuhan rejimen ini akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 Ogos depan,” katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.