VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 06/07/2010

Siti teruja 'kembali' ke sekolah


SITI sememangnya teruja untuk kembali ke sekolah lamanya, Sekolah Menengah Clifford bagi menghadiri majlis perjumpaan bekas pelajar sekolah itu pada 31 Julai ini.


UMUM pastinya sudah mengetahui penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memulakan karier seninya seawal usia 16 tahun lagi selepas bergelar juara Bintang HMI pada tahun 1995.

Di kala teman seperjuangannya sibuk menelaah dan bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran, masa Siti kebanyakannya dihabiskan di pentas pertunjukan dan menghadiri persembahan nyanyian.

Kerana itu jugalah, masa untuk dihabiskan bersama rakan-rakan sebayanya ketika itu begitu terhad kerana Siti perlu membahagikan jadualnya antara dunia nyanyian dan pelajaran.

Keterbatasan masa Siti itu bertambah sebaik sahaja dia menamatkan zaman persekolahan pada tahun 1996 dan meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi profesional sehingga hari ini.

Biarpun sudah menjadi seorang penyanyi dan penghibur ternama, Siti masih tidak mampu melupakan semua kenangan indah sepanjang menjadi pelajar di Sekolah Menengah Clifford (SMC), Kuala Lipis, Pahang dari tahun 1992 hingga 1996.

Ada kala dia pasti akan tertawa sendirian apabila mengenang kembali pelbagai peristiwa yang pernah terjadi sepanjang lima tahun dia menimba ilmu di sekolah yang cukup terkenal itu.

"Kadang-kala teringin juga hendak kembali ke zaman sekolah dan melalui apa yang telah saya lalui sepanjang menjadi seorang pelajar.

"Memang cukup manis pengalaman yang saya peroleh dan saya cukup bertuah kerana berpeluang menimba ilmu dengan guru yang cukup berpengalaman serta banyak menyokong saya.

"Begitu juga dengan teman-teman seperjuangan saya yang lain di mana kami telah membina satu ikatan persahabatan yang cukup luhur dan sejati

"Kerana itu, perasaan rindu itu begitu menebal dalam diri saya untuk kembali mengecapi kenikmatan hidup yang telah saya lalui ketika itu," cerita Siti penuh jujur sewaktu dihubungi Hits baru-baru ini.

Namun begitu, penyanyi yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Jerat Percintaan ini sesekali tidak menyesal dengan pilihannya yang menjadikan seni sebagai kerjayanya.

Walaupun harus melepaskan dan mengorbankan usia remajanya dan tidak berpeluang menjalani kehidupan seharian seperti rakan-rakan lain, Siti tetap bersyukur dengan apa yang diperolehnya hari ini.

Untuk itu, dia harus berterima kasih kepada SMC sebagai sebuah institusi yang telah banyak mengajarnya tentang kehidupan selain membentuk jati dirinya.

"Menjadi seorang pelajar banyak membuatkan saya belajar banyak perkara. Selain memperoleh ilmu, zaman persekolahan juga banyak mengajar saya tentang erti sebuah persahabatan," kata wanita berusia 31 tahun ini penuh makna.

Saat diminta bercerita tentang pengalamannya sepanjang menimba ilmu di SMC, Siti memberitahu memang terlalu banyak yang dilaluinya.

Selain sibuk dengan pelajarannya, jelas anak pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik ini, dia sememangnya begitu aktif dengan aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolahnya.

Namakan sahaja aktiviti yang ditawarkan di sekolahnya, Siti pasti tidak akan ketinggalan menyertainya.

Apa yang membanggakan, nama Siti tidak pernah gagal meraih sebarang tempat dalam setiap aktiviti yang disertainya.

Selain Siti, empat adik-beradiknya yang lain iaitu Saiful Bahri atau Ayie, Siti Norsaida (Saida), Siti Nursairah (Sairah) dan Mohd. Ali yang turut belajar di SMC juga bergiat aktif seperti dirinya.

"Kami akan bersaing sesama sendiri untuk membawa pulang hadiah kemenangan dan ditunjukkan kepada kedua ibu bapa kami.

"Hasilnya, almari perhiasan di rumah kami penuh dengan segala piala, trofi dan pingat yang kami peroleh daripada aktiviti yang kami sertai," cerita Siti disulami ketawa kecil.

Bagi mengimbau kembali memori dan momen yang pernah tercipta itu, Siti dengan penuh rasa teruja memberitahu dia kini bersedia untuk kembali ke sekolah kebanggaannya itu.

Bukan menjadi seorang pelajar, sebaliknya kembalinya Siti ke SMC adalah untuk menghadiri majlis perhimpunan (reunion) bekas pelajar SMC yang akan berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai ini.

Apatah lagi, Siti sendiri tidak berpeluang untuk menghadiri majlis seumpama itu sebelum ini kerana kesibukannya sebagai seorang anak seni.

Lantaran itu, kata Siti, peluang ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja dan dia sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menghadiri majlis tersebut yang diadakan secara besar-besaran di padang sekolah tersebut.

"Memang sudah lama saya mengidamkan untuk menghadiri majlis seperti ini dan bertemu dengan rakan-rakan serta guru yang pernah mendidik saya sepanjang menjadi pelajar di SMC.

"Menariknya perhimpunan ini juga akan mengumpulkan bekas pelajarnya dari tahun 50-an sehinggalah sekarang dan sekurang-kurangnya 2,000 orang dijangka akan menghadirinya," ujar Siti yang akan membuat kejutan pada malam itu nanti.

Dalam perkembangan lain, Siti yang kini sedang bercuti rehat sehingga akhir bulan ini memberitahu dia sedang merancang untuk melahirkan sebuah album berjalur pop jazz.

"Masih terlalu awal untuk saya berkongsi cerita tentang kandungan album ini tetapi apa yang boleh saya katakan, ia bakal memuatkan lagu-lagu popular saya yang digubah muziknya dengan susunan baru.

"Berkemungkinan besar juga saya akan memuatkan beberapa buah lagu baru. Semuanya masih di peringkat perbincangan dan saya pun baru menyuarakan hasrat kepada Aubrey Suwito," ujar Siti yang kali terakhir muncul dengan album duet bersama Krisdayanti, CTKD.

Selain majlis makan malam besar-besaran yang berlangsung pada 31 Julai ini, sebuah karnival mini akan diadakan pada 1 Ogos merangkumi gerai jualan, sukan rakyat dan sebagainya.

Hanya dengan bayaran sebanyak RM50, pastinya bekas pelajar SMC tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan dan guru yang sudah lama terpisah.

Bagi bekas pelajar SMC yang mahu menghadiri majlis ini, bolehlah menghubungi ahli jawatankuasa KL Lites, Rozi atau Juliana di talian 03-9101 9555 atau berhubung dengan sekretariat di 03-4105 4460/03-4105 4459.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.