|
ARKIB : 23/06/2010 Mahu saman Red CarpetKOTA BHARU 22 Jun - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pengurusan acara, Red Carpet Worldwide Sdn. Bhd. (Red Carpet) berhubung kenyataan syarikat itu terhadap kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sedang mengkaji semua aspek perundangan sebelum tindakan itu diambil. Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil kerana syarikat berkenaan melanggar perjanjian dan mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjejaskan imej kerajaan negeri. "Program yang dianjurkan ini adalah hasil persefahaman di antara agensi kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan Red Carpet. "Hasilnya, pada 24 Julai tahun lalu diadakan pra pelancaran Kelantan Fiesta yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. "Selepas itu, satu perjanjian antara Red Cerpet dan kerajaan negeri dimeterai pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur yang menetapkan agensi kerajaan negeri PMBK sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010," katanya menggulung perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri penggal ketiga di sini hari ini. Sebelum ini, majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 pada 16 Jun lalu menimbulkan kontroversi apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak hadir kerana pengurusan Red Carpet tidak membenarkan Nik Aziz untuk berucap. Takiyuddin berkata, kerajaan negeri terpaksa mengambil alih majlis perasmian program tersebut daripada PMBK kerana ia satu program yang besar melibatkan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|