VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
IMPAK ALAM

ARKIB : 19/06/2010

Penyu lipas muncul kerajaan Terengganu terus membisu


Pengerusi HOPE, Wan Ahmad Azimi Wan Azmin (kiri) sambil diperhatikan dua sukarelawan memeriksa penyu lipas yang ditemui cedera di Pulau Perhentian untuk diserahkan kepada TUMEC di Jeti Kuala Besut, baru-baru ini. – Gambar AZLAN BAHRUM


Pada Ahad lepas, komuniti yang cintakan penyu pasti gembira dengan kehadiran seekor penyu lipas di Pulau Perhentian, Terengganu.

Walaupun cedera, kehadiran penyu yang juga dikenali sebagai Olive Ridley (Lepidochelys olivacea) di perairan Terengganu itu memberi sinar baru dalam usaha pemuliharaan spesies marin prasejarah tersebut.

Ini berikutan spesies pengembara yang juga antara spesies penyu paling kecil di dunia itu paling akhir muncul di Terengganu adalah kira-kira lima tahun lepas.

Dan kemunculan penyu lipas yang dianggarkan berusia 25 tahun itu pada musim penyu bertelur sekarang memberi satu harapan kepada aspek pemuliharaan penyu di Terengganu.

Apa pun, agak malang kerana penyu betina yang mempunyai saiz 53.2 sentimeter yang dijumpai oleh sukarelawan Help Our Penyu (HOPE) di Pulau Perhentian itu cedera di bahagian abdomen serta menyukarkan ia untuk tenggelam dan mungkin juga membantutkan usahanya untuk bertelur.

Apa pun, kehadiran penyu itu agak menarik ketika HOPE kini sedang giat menjalankan program Berjalan Untuk Penyu sehingga 30 Jun ini.

Program itu akan cuba mengutip sumbangan sebanyak RM100,000 dalam usaha membantu enam projek pemuliharaan penyu di Terengganu.

Selain itu, 75 peratus sumbangan itu juga akan disalurkan untuk projek fasa pertama bagi mewujudkan satu lagi pusat penetasan penyu di dalam kawasan Taman Laut kali ini di Pulau Perhentian.

Malah, usaha HOPE itu juga akan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terutama di Terengganu mengenai kepupusan empat spesies penyu termasuk penyu belimbing yang kini tidak lagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi bertelur.

Program Berjalan Untuk Penyu yang merangkumi jarak sehingga 200 kilometer dari Pulau Tenggol, Dungun hingga ke Pulau Perhentian Besar, Besut bakal mencari penyelesaian bagaimana untuk menentukan jumlah sarang penyu yang bertelur di Terengganu.

Dan Bidai melihat semua yang dilakukan HOPE adalah untuk Terengganu. Mungkin ada yang bertanya kenapa Terengganu?

Bagi memberi jawapan penuh, pembaca bolehlah membaca rencana di Kosmo! Rabu lepas.

Jawapan ringkas Bidai ialah, Terengganu sejak dahulu lagi memang sinonim dengan penyu.

Selain minyak, Allah menganugerahkan negeri itu sebagai pusat pendaratan penyu untuk bertelur hingga terkenal di seluruh dunia.

Apa yang akan kita gambarkan jika seseorang menyebut ‘Rantau Abang’? Pastinya penyu.

Amat terkenal hingga menyebabkan pantai sepanjang 3 kilometer di Rantau Abang itu penuh dengan pelancong dalam dan luar negeri dari bulan April hingga Julai.

Tapi kini sepi. Sehinggakan penduduk di Rantau Abang pun bingung kenapa penyu tidak lagi mendarat di situ.

Nak lihat seekor pun susah sehinggakan jika nampak seekor penyu bertelur dianggap bernasib baik.

Ini berlainan pada tahun 70-an di situ di mana pada satu-satu masa, sebanyak 50 ekor penyu akan naik bertelur.

Bak kata kawan Bidai, ‘kuis penyu nak tengok pasir’.

Bagi Bidai, kekurangan penyu mendarat di Terengganu disebabkan pelbagai perkara.

Antaranya (dan sudah dipastikan dengan kajian) ialah cahaya tiruan di kawasan pantai di mana ia akan menyebabkan penyu tidak mendarat di kawasan yang mempunyai cahaya terlalu terang.

Pembangunan pesat kawasan pantai juga merupakan antara penyebab utama habitat penyu bertelur pupus.

Selain itu, kutipan telur penyu yang tidak teratur dan haram, pencemaran alam marin, pembuangan sampah terutama plastik ke laut dan penggunaan jaring/pukat ikan antara penyebab utama spesies itu semakin pupus.

Jadi, apa tanggungjawab kerajaan negeri Terengganu dalam isu ini?

Bagi Bidai, mereka mempunyai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dalam usaha untuk memulihara penyu itu daripada terus pupus.

Tapi sehingga kini dilihat tiada usaha berterusan kerajaan negeri termasuk untuk terus mengharamkan penjualan telur penyu di pasar atau di restoran.

Jika dahulu mungkin telur penyu menjadi satu makanan tradisional, namun pada pendapat Bidai, sesuai dengan peredaran zaman dan juga populasi terkini spesies itu, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu termasuk mengharamkan terus penjualan telur penyu di Terengganu.

Entahlah, tak tahu Bidai kenapa telur penyu itu suka sangat dimakan.

Dahlah ada kajian yang mengatakan mereka yang memakan daging dan telur penyu boleh terkena barah, kerosakan buah pinggang, cirit-birit, muntah-muntah, penyahhidratan melampau (severe dehydration) dan dikenal pasti mampu membawa maut.

Tapi semua ini diketepikan kerajaan negeri yang terus membisu.

Kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, perhatikanlah perkara ini dan lakukanlah sesuatu.

Jangan sampai nanti, orang luar pula yang sibuk nak memperbanyakkan populasi penyu tapi rakyat tempatan sibuk nak memupuskan spesies pengembara itu.

Sekali lagi, janganlah kesilapan menukar maskot negeri sebelum ini terus berlaku, kerana jika ia terjadi, kita akan dipersalahkan oleh anak cucu kita kelak.

Fikirkanlah...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.