VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 04/06/2010

Zakat wang pinjaman

Soalan:

SAYA meminjam wang sebanyak RM50,000 daripada sebuah bank dan setiap bulan saya terpaksa membayar RM550. Maka, adakah saya wajib mengeluarkan zakat wang pinjaman tersebut?

Jawapan:

Untuk menjawab soalan ini, pertamanya hendaklah difahami bahawa syarat wajib zakat itu ialah apabila kita mempunyai milikan sempurna ke atasnya.

Maksud milikan sempurna (al-milk at-tammam) ialah, kita boleh berbuat apa sahaja yang kita suka dengan harta itu. Zat dan manfaat harta itu di bawah kekuasaan kita.

Jika zat (fizikal) harta sahaja dimiliki, sedang kita tidak boleh memanfaatkan ia sepenuhnya, maka ia bukanlah milikan sempurna.

Misalnya, kita memiliki kereta yang diberikan oleh ibu bapa, kita boleh memanfaatkannya tetapi dilarang menjualnya, maka itu bukanlah milikan sempurna. Maka, adakah wang yang dipinjam itu milik sempurna? Jawapannya, ya.

Perkara kedua, harus kita fahami bahawa pinjaman yang dilakukan itu adalah berasaskan syariat Islam, yakni menggunakan produk pinjaman seperti al-Qardhul Hassan dan sebagainya yang diluluskan syarak.

Hanya pinjaman wang dengan kaedah Islami ini sahajalah yang layak untuk dizakatkan. Ini kerana, sedekah dan zakat hanya boleh dilakukan dengan harta yang halal dan baik. Maka, pinjaman secara konvensional, tidak boleh dikenakan zakat, kerana ia masih berbaur dengan masalah riba dan sebagainya.

Maka, merujuk kepada persoalan di atas, adakah si peminjam wajib menjelaskan zakatnya? Maka, jawapannya jika dia meminjam daripada sektor yang halal dan menggunakan kaedah yang patuh syariah, maka wajiblah dizakatkan pinjaman itu. Cuma, zakat apakah yang sesuai dikenakan ke atasnya?

Zakat yang sesuai ialah zakat wang simpanan. Yakni, si peminjam itu apabila mendapat pinjaman maka dia akan menyimpan wang yang dipinjam sehinggalah genap setahun (cukup haul).

Apabila genap setahun, maka hendaklah dilihat berapakah baki wang yang ada, maka dizakatkan ke atas baki berkenaan. Jika bakinya di bawah paras nisab, maka tidaklah wajib zakat ke atasnya.

Timbul persoalan, bukankah ia wang pinjaman dan ia adalah hutang. Bagaimanakah zakat hendak dikenakan ke atas orang yang berhutang sedangkan dia sepatutnya melangsaikan dahulu hutang-piutangnya?

Maka, di sini Imam as-Syafie di dalam kitab Fiqh al-Manhaji telah pun menjelaskan, bahawa hutang seseorang itu tidaklah menghalangnya daripada berzakat, seandainya harta kekayaan yang dimilikinya adalah melebihi nisab dan telah sampai masanya (haul).

Ini kerana, hutang bergantung pada tanggungjawab si penghutang untuk menjelaskannya, sedangkan zakat pula bergantung pada harta yang dimiliki oleh orang berkenaan dan ia adalah kewajipan atas dirinya.

Begitu jugalah pada sisi Hanafi, dan beliau menambah andai harta orang yang berhutang itu melebihi nisabnya setelah ditolak hutangnya. (Fiqh al-Manhaji as-Syafie, halaman 477).

Kesimpulannya, wajib berzakat atas harta atau wang yang dipinjam dengan syarat sumbernya halal dan mencapai setahun ia dimiliki dan sampai pula nisabnya. Wallahu a’lam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.