VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Julai 2014 / 24 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 19/05/2010

Peluang kerja graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi terbuka luas


Para pelajar didedahkan dengan latihan praktikal di Kolej Islam Sains dan Teknologi, Kuala Berang, Terengganu.


KUALA BERANG 18 Mei - Peluang pekerjaan yang terbuka luas dalam perkhidmatan sains kesihatan sama ada di sektor awam atau swasta membolehkan graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini memperoleh pekerjaan sesuai sejurus menamatkan pengajian walaupun belum menerima diploma pada hari konvokesyen.

Paling membanggakan mereka, selain berpeluang menyertai sektor awam dan berkhidmat di hospital atau klinik kesihatan kerajaan, gaji yang diterima adalah lumayan sesuai dengan kelulusan yang diperoleh daripada kolej sains kesihatan terbesar di Pantai Timur itu.

Yazid Md. Yusof, 24, bangga kerana berbekalkan Diploma Pembantu Perubatan KIST, dia kini berkhidmat sebagai pembantu perubatan di Regency Specialist Hospital (RSH), Pasir Gudang, Johor.

Anak peneroka Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi itu berkata, tempoh tiga tahun pengajian di KIST ternyata berbaloi apabila mendapat pekerjaan sejurus menamatkan pengajian.

"Saya memang meminati bidang perubatan dan memohon masuk ke KIST sejurus melihat iklan mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang pembantu perubatan dalam Utusan Malaysia.

"Paling menggembirakan selepas tamat pengajian, saya langsung tidak menganggur apabila dipanggil temuduga oleh RSH sebelum diterima berkhidmat dan memulakan tugas walaupun konvokesyen belum berlangsung," katanya.

Yazid menambah, pengajian di KIST bermula dari menjejak kaki ke kampusnya di Bachok sehingga memperoleh diploma memberi panduan yang berguna dalam melaksanakan kerja barunya.

Katanya, lokasi pengajian tidak penting kerana yang paling utama adalah mutu pendidikan dan bimbingan yang diberikan oleh tenaga pengajar KIST yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman.

Anak jati Johor itu berkata, dia tidak berasa rendah diri apabila ditanya mengenai KIST sepanjang tempoh ditemuduga oleh pengurusan RSH, malah lebih mengejutkan apabila pegawai hospital itu turut mengenali tenaga pengajar di situ.

"Saya sangka hanya pensyarah kolej terkemuka lain dikenali pengurusan RSH, namun apabila disebut nama pensyarah KIST, mereka turut mengenali beliau membuatkan saya begitu bangga dan yakin KIST kini semakin mendapat tempat dalam industri sains kesihatan negara," katanya.

Sepanjang tiga tahun di KIST, Yazid juga tidak berhadapan masalah kewangan yang sering menghantui penuntut kerana kolej itu turut menyediakan elaun RM200 sebulan kepada penuntut bidang kritikal sekali gus meringankan beban ibu bapa.

Yazid yang sudah lima bulan berkhidmat dengan RSH menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.

"Pengalaman latihan amali pada setiap semester sepanjang pengajian di KIST ternyata banyak membantu dan kini diaplikasikan ketika bertugas di RSH, malah saya masih lagi berhubung dengan pensyarah untuk berbincang sebarang masalah dengan mereka," katanya.

Rakan sejawatnya di RSH, Nadzirah Azam, 21, juga bangga menjadi anak didik KIST kerana kini sudah mempunyai pekerjaan pada usia muda, malah menanam cita-cita hendak ke peringkat lebih tinggi.

Anak kelahiran Kelantan itu berkata, kebanyakan rakan yang sama-sama menamatkan pengajian baru-baru ini sudah mendapat pekerjaan baik di hospital kerajaan atau swasta di seluruh negara.

"Sejurus menamatkan pengajian, saya menerima tawaran sebagai pembantu perubatan di RSH. Saya menghargai peluang yang diberikan selama ini dan saya akan berpindah untuk bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mulai 21 Disember ini.

"Pertukaran ini bukan kerana saya memilih kerja, sebenarnya HUKM adalah pilihan pertama saya tetapi RSH yang terlebih dulu memanggil, saya terus ke sana tetapi apabila HUKM menawarkan peluang, ia bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang," katanya.

Nadzirah berkata, cita-cita asalnya hendak menjadi guru tetapi apabila gagal, keluarganya menyarankan supaya dia memohon masuk ke KIST dan mengikuti pengajian Diploma Pembantu Perubatan.

Katanya, ketika memasuki kolej itu, dia mendapati seorang rakannya mengikuti pengajian kejururawatan di situ.

"Memang rasa bangga, saya kini sudah mendapat pekerjaan, kawan saya juga sudah bergelar jururawat di sebuah hospital kerajaan.

"Masa mula-mula masuk dulu, timbul juga perasaan was-was kerana KIST belum terkenal seperti sekarang, takut apabila keluar tidak dapat kerja, namun sebaliknya, banyak peluang pekerjaan terbuka luas untuk lulusan dari kolej ini," katanya.

"Saya berharap beberapa tahun lagi akan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini dengan pembiayaan sepenuhnya daripada HUKM pula.

"Saya memang menggalakkan rakan atau kenalan yang berminat supaya mengambil peluang yang disediakan KIST kerana pengajian yang disediakan setanding dengan kolej yang sudah lama bertapak di negara ini. Apatah lagi dengan peluang pekerjaan yang tersedia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST Graduate Intake, Noor Haslina Abdullah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada semua aliran iaitu sains, sastera, teknikal dan agama untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal khususnya sains kesihatan di kolej itu.

"Selain peluang kerja yang luas, yuran pengajian Diploma Kejururawatan yang KIST tawarkan juga kira-kira 30 peratus lebih rendah daripada kolej lain.

"Bagi Diploma Kejururawatan, yuran berpakej hanya RM39,300 termasuk pengangkutan dan penginapan sepanjang tempoh pengajian dan latihan amali yang berlangsung di hospital dan klinik kesihatan kerajaan seluruh Pantai Timur.

Menurutnya, sejak diperkenalkan kursus dalam bidang sains kesihatan tahun lalu, kira-kira 500 graduan KIST berjaya menamatkan pengajian dan mereka tidak berdepan dengan masalah mendapat kerja.

Noor Haslina berkata, sejak tahun lalu majikan khususnya bahagian pengurusan sumber manusia hospital swasta tampil mengendalikan temuduga di KIST bagi memilih pelajar yang berada di semester akhir untuk berkhidmat dengan mereka sejurus tamat pengajian.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.