VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
FEMININ

ARKIB : 19/05/2010

Suariah terkenal di Jalan Masjid India


Suariah usahawan tudung Melayu yang masih kekal berniaga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.


NAMANYA cukup dikenali di kalangan peniaga-peniaga tudung bawal batu asli di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India. Jika ada yang bertanya siapakah peniaga tudung bawal terkenal di kawasan tersebut, dengan spontan orang akan menyebut namanya.

Suariah Mat Amin, 38, merupakan salah seorang daripada empat peniaga tudung Melayu yang masih kekal menjalankan perniagaan di pusat perniagaan di tengah-tengah bandar raya itu.

Ketika mula-mula berniaga kira-kira 10 tahun lalu terdapat lebih kurang 10 orang peniaga tudung Melayu di kawasan tersebut.

Namun jumlah tersebut semakin menyusut dan Suariah adalah salah seorang yang masih bertahan.

Bertemu Suariah di premisnya, Wau Sri Timur Enterprise yang terletak betul-betul di tepi Masjid India, ibu kepada empat orang anak itu sibuk melayan pelanggan tetapnya, seorang peniaga tudung dari Tawau, Sabah.

Tudung yang pelbagai fesyen pula memenuhi setiap ruang premisnya. Sebahagian besar adalah tudung yang menjadi trend kini, iaitu yang dihiasi dengan batu-batu kecil yang berkilauan.

Menceritakan kembali penglibatannya dalam bidang itu, wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, prinsipnya mudah.

Beliau berkata, jika pendatang asing boleh kaya-raya berniaga di bumi bertuah ini, mengapa tidak mereka yang memang dilahirkan di sini.

"Kita lebih berhak di negara kita sendiri. Kita mempunyai banyak peluang dan jika peluang ini tidak direbut, tidak mustahil suatu hari nanti semua bentuk perniagaan di Malaysia ini dibolot oleh warga asing,'' katanya.

Tambahnya, kebanyakan premis dan lot perniagaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India kini dimiliki warga sing seperti India, Pakistan dan Indonesia.

Sehinggakan ada ketikanya dia berasa seakan-akan berada di negara orang.

Demi semangatnya untuk berniaga, pada peringkat awal dahulu, Suariah sanggup menolak troli di pasar malam menjual produk kesihatan.

"Daripada menolak troli saya kemudian mendapat satu meja di pasar malam dan seorang kawan menyuruh saya berniaga tudung.

"Alhamdulillah rezeki saya bertambah dengan menjual tudung. Selepas bersalin anak ketiga, saya membuka kedai tudung di Jerantut dan perniagaan ini turut mendapat sambutan di luar dugaan.

"Saya ingin mencuba nasib untuk berniaga di Jalan Masjid India yang menjadi tumpuan orang daripada merata tempat dan seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

"Saya bersyukur kerana dalam tempoh 10 tahun berniaga tudung, kini saya mempunyai beberapa premis perniagaan, iaitu di Jerantut, dua di Kota Bharu, Kelantan, dua di Masjid India dan dua lot di arked lorong Tuanku Abdul Rahman,'' ujarnya.

Kebanyakan tudung yang terdapat di kedainya diperoleh daripada pembekal.

Ada juga yang direka sendiri dan dihantar untuk tempahan mengikut kehendak terkini pelanggan. Pelanggan kini sukakan tudung lycra berbatu yang sesuai dipakai sama ada ke pejabat atau majlis.

"Saya menjual secara borong dan runcit. Bagi mereka yang ingin berniaga perlu membeli satu kodi yang mengandungi 20 helai tudung..

"Selain pelanggan datang ke kedai, saya juga banyak menghantar pesanan peniaga-peniaga tudung dari Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam sebulan, saya dapat menjual beribu helai tudung,'' kata Suariah yang mempunyai 20 orang pengedar besar.

Mengenai saingan katanya, tidak dapat dinafikan saingan memang sengit kerana terdapat ramai peniaga tudung dan ada yang sanggup meletakkan harga rendah asalkan dapat menjual banyak.

Namun itu tidak mematahkan semangatnya dan beliau mencuba menarik perhatian pelanggan dengan layanan mesra dan tidak sombong terhadap pelanggan.

Beliau juga menganggap pekerja seperti saudara sendiri agar mereka seronok bekerja dengannya dan bersikap amanah.

"Dalam berniaga, kita tidak boleh bersifat dengki dengan kejayaan orang lain, jangan malas, buka minda dan buka mata," katanya.

Menurut Suariah lagi, dorongan suami, keluarga, mentua, anak-anak dan kawan-kawan memberi semangat kepadanya untuk terus berusaha dengan lebih gigih.

Kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai tudung Suariah boleh menelefon 010-3246267.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.