VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 26/04/2010

Saida, Sairah mahu tonjol bakat


SITI Nurhaliza (dua dari kanan), Saida (kiri) dan Sairah (kanan) bersama ibu mereka, Siti Salmah Bachik pada majlis pelancaran album Apresiasi di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


MEMANG sukar sekali untuk lari dari bayangan saudara kandung mereka yang merupakan seorang bintang tersohor.

Namun, bagi mereka, semua itu dianggap sebagai satu cabaran dalam membina nama mereka sendiri biarpun ia perlu memakan masa yang lama.

Apa yang penting buat mereka adalah untuk terus menyakinkan masyarakat pada bakat mereka tanpa dibayangi oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Justeru, Saida dan Sairah kini sudah bersedia untuk berjuang habis-habisan dalam dunia seni dan berusaha untuk berdikari atas nama mereka sendiri.

Apatah lagi dengan kemunculan album Apresiasi yang sudah pun berada di pasaran, tiada lain yang diharapkan oleh dua beradik ini melainkan masyarakat akan menilai bakat mereka sebaiknya.

Saida misalnya, melihat kelahiran album Apresiasi sebagai mimpi yang bertukar realiti selepas perjuangannya di Akademi Fantasia musim keenam tamat.

Biarpun perlu menunggu masa hampir dua tahun untuk menyiapkan album ini, Saida sedikit pun tidak mengeluh kerana sedar dia masih baru dan memerlukan masa untuk memperbaiki dirinya.

"Saya harus akui dalam tempoh dua tahun ini memang banyak yang saya lalui dan bukan mudah untuk mencari peluang sebagai seorang artis.

"Apabila peluang itu sudah ada depan mata, saya sudah tidak boleh main-main dan perlu melakukannya dengan serius.

"Saya memang berterima kasih kepada Siti dan kakak ipar saya, Rozie yang banyak membantu dan memberi bimbingan kepada saya dan Sairah," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran album Apresiasi di Cattleya Grand Ballroom, Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Saida memberitahu kejayaan Siti selama 15 tahun dalam dunia seni juga menyuntik semangatnya untuk bekerja keras dalam bidang nyanyian.

Malah, wanita berusia 34 tahun ini optimis dengan langkah seninya biarpun statusnya sebagai seorang isteri dan ibu kerana baginya, masyarakat kini lebih menilai kepada bakat.

"Saya memang minat dalam bidang ini dan mengharap untuk melakar kejayaan yang baik.

"Cuma satu pinta saya kepada masyarakat jangan hanya tengok Siti sahaja sebaliknya terimalah bakat saya dan Sairah seadanya.

Membuka mata

"Saya boleh anggap diri saya sebagai seorang yang bertuah kerana dalam situasi sekarang ini memang bukan mudah untuk mendapat peluang merakamkan album," ujarnya yang mempertaruhkan lagu Sedalamnya Cinta dan Dicuri Malam dalam album Apresiasi.

Selain itu juga, Saida menjelaskan biarpun proses rakaman album duetnya bersama Sairah itu memakan masa yang lama, tetapi pengalaman yang diraih cukup menyeronokkan.

Lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Aidit Alfian dan Sharon Paul yang banyak memberi bimbingan kepadanya terutama aspek vokal.

"Bagi saya, Apresiasi hanyalah sebagai permulaan untuk segala-galanya dan saya berharap ia juga membuka mata kepada karyawan seni yang lain untuk membantu kami dalam industri.

"Teringin juga untuk menyanyikan lagu daripada komposer lain," pinta pemilik nama penuh Siti Norsaida Tarudin ini yang berduet dengan Sairah menerusi lagu Tinta Bukan Luka.

Saida juga bersyukur apabila suaminya Mohd. Ghazali Yahya dan empat orang anaknya juga memberi restu serta sokongan padu kepada karier seninya.

Malah, Saida juga tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjayanya kerana selalunya dia akan menerima persembahan pada hujung minggu.

Menariknya, dalam album ini juga turut memuatkan sebuah lagu istimewa, Kini Dikau Jauh yang menggandingkan Saida dan Sairah bersama tiga beradik mereka yang lain iaitu Ayie, Ali dan Siti sendiri.

Pembuka jalan

Menceritakan pengalaman sewaktu rakaman berlangsung, Saida hanya tersenyum apabila mengenangkan kembali momen indah itu.

Jelas Saida, ibu mereka, Siti Salmah Bachik turut berada di dalam studio bagaikan seorang mandur memerhatikan proses rakaman lagu yang ditujukan khas kepada Allahyarham bapa mereka, Tarudin Ismail.

"Memang menyeronokkan kerana semuanya ada karakter dan gelagat masing-masing terutama sekali abang Ayie yang sudah lama tidak merakamkan suara.

"Begitu juga dengan Ali yang kali pertama merakamkan suaranya. Proses semuanya berjalan lancar kerana kami merakamkan suara peringkat demi peringkat," katanya sambil dipersetujui Sairah di sisi.

Sementara itu, bagi Sairah pula dia cukup puas hati dan gembira dengan kelahiran album Apresiasi kerana akhirnya memiliki lagu sendiri.

Dengan dua buah lagu nyanyiannya, Hero Wayang dan Akhir Cinta dia bersyukur kerana kini namanya semakin mendapat perhatian seiring dengan undangan persembahan.

"Selepas sekian lama menanti dan meniti perjalanan untuk mencari peluang, akhirnya Apresiasi muncul juga.

"Saya harus akui selama mengikut Siti ke setiap persembahan, saya banyak belajar daripadanya hanya dengan menontonnya beraksi di atas pentas.

"Seperti mana kata Saida tadi, janganlah bandingkan kami dengan Siti kerana masing-masing ada kualiti vokal yang tersendiri," ujarnya penuh mengharap.

Sairah atau nama sebenarnya, Siti Nursairah Tarudin ini turut memberitahu Siti tidak memantau dirinya sewaktu proses rakaman.

Mungkin kerana pengalaman yang sedia ada, jelas Sairah, Siti hanya menumpukan perhatian kepada Saida memandangkan kakaknya itu masih lagi mentah dalam dunia seni.

Bekerja dengan Aidit juga kata Sairah, cukup mudah kerana komposer dan penulis lirik ternama itu bijak mencari range vokalnya dan juga Saida.

"Apa yang saya harapkan album Apresiasi ini akan menjadi pembuka jalan buat saya juga untuk lahir dengan album solo," kata Sairah yang pernah menyertai pertandingan realiti, One In A Million musim pertama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.