VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 21/04/2010

Astross II: Kuasa membunuh digeruni musuh


Astross II mula memasuki perkhidmatan tentera darat pada Mac 2002.


PERANG Hizbullah-Israel pada 2006 membuka mata semua pihak tentang berkesannya Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS) sebagai senjata strategik yang ampuh.

Senjata tersebut bukan sahaja mampu mempengaruhi tempo peperangan tetapi juga meninggalkan kesan psikologi menggerunkan berikutan skala kuasa pembunuhnya yang sukar disekat.

Perang 34 hari itu, menyaksikan ratusan roket Katyusha yang hanya menggunakan teknologi era Perang Dunia Kedua ditembak ke bumi Israel tanpa dapat ditangkis oleh rejim Yahudi walaupun dunia mengakui kekuatan ketenteraan dan payung perlindungan udara negara haram tersebut merupakan antara terkuat dan tercanggih di dunia.

Malah, dalam tempoh 48 jam selepas perang tercetus, sebanyak 130 roket jenis itu membedil hampir seluruh ceruk bandar yang bersempadan dengan Lebanon, membunuh 39 penduduk awam Yahudi manakala ratusan lagi cedera sehingga memaksa rejim itu melaksanakan pelan kecemasan terhadap warganya.

Kesan kemusnahan hasil serangan balas yang tidak terduga itu, menyebabkan Israel terpaksa berundur daripada terus mengasak Hizbullah kerana pada masa yang sama negara Yahudi itu turut kehilangan seramai 119 tentera akibat dibedil menggunakan Katyusha selain senjata anti kereta kebal serta diserang hendap.

Mengambil iktibar daripada keberkesanan sistem MLRS yang digunakan Hizbullah, maka pada 3 Julai tahun lalu, Tentera Darat (TD) Malaysia secara rasminya menubuhkan sebuah Briged Artileri Roket yang mengoperasikan 36 unit MLRS, Avibras Astross II buatan Brazil.

Astross II sebenarnya telah terbukti berkesan membantu Iraq semasa menghadapi serangan bertali arus tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Teluk 1991.

Briged tersebut ditubuhkan selepas TD menggabungkan Rejimen Artileri Diraja (RAD) 51 dan 52, iaitu rejimen yang bertanggungjawab mengoperasikan sistem Astross II dengan 53 RAD yang mengoperasikan radar Arthur bagi tujuan mengesan kedudukan musuh secara tepat setiap kali sebelum dan selepas tembakan dibuat.

Gandingan Astross II dengan radar Arthur meletakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebuah angkatan yang mempunyai sistem artileri paling ampuh dan digeruni di rantau ini.

Ini kerana Astross II yang diberi gelaran Keris oleh ATM memiliki kepelbagaian variasi roket iaitu daripada jenis SS-09 yang digunakan bagi tujuan latihan dengan jarak 11 kilometer (km), SS-30 (35 km), SS-40 (48 km), SS-60 (65 km) sehinggalah roket yang menjadi taring utama TD pada hari ini iaitu SS-80 (90 km).

Berbeza dengan Katyusha yang dicipta pada era Perang Dunia Kedua, roket SS-60 dan SS-80 dengan saiz kaliber 300 milimeter (mm) mempunyai kuasa membunuh yang lebih jitu iaitu setiap satu roket mampu memusnahkan secara total kawasan seluas empat padang bola sepak.

Manakala satu rejimen lengkap sistem itu dipercayai berupaya memusnahkan kawasan seluas 60 hektar dengan hanya sekali tembak secara berturut-turut roket jenis SS-60 dan SS-80 (setiap satu unit Astross mampu melancarkan empat roket berkaliber 300mm serentak).

Kemusnahan secara menyeluruh itu berlaku kerana setiap roket tersebut dimuatkan dengan kepala peledak pembawa kargo yang dikenali sebagai Dual Purpose Cargo Improved Munitions (DPCIM).

Setiap DPCIM pula boleh membawa sehingga 64 bom berangkai atau submunisi daripada pelbagai kategori termasuk peledak jenis letupan kuat (HE) sama ada bagi tujuan anti material atau anti landasan terbang.

Bagi peledak letupan kuat anti landasan terbang, setiap bom berangkai mengandungi peledak kepala jenis fius tertunda bagi merobek landasan konkrit sedalam 0.5 meter.

Ia bermakna hanya sebutir peluru SS-80 dengan DPCIM secara teorinya sudah mampu untuk melumpuhkan keupayaan taktikal sesebuah pangkalan udara musuh.

Pada masa yang sama, roket SS-80 juga boleh digunakan bagi tujuan menyerang kapal. Dalam hal ini, jika Keris dioperasikan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, ATM mampu menutup terus laluan Selat Melaka.

Astross II (Keris)

Mula memasuki perkhidmatan TD pada 13 Mac 2002. Sebenarnya keputusan kerajaan membeli 18 unit pelancar Astross II (tidak termasuk kenderaan sokongan) dengan kos berjumlah RM791.92 juta, menjadi perdebatan pihak asing khususnya mereka yang tidak senang melihat proses pemodenan ATM.

Ini kerana pembelian itu menandakan buat pertama kalinya TD memiliki sebuah sistem persenjataan ofensif jarak jauh yang mampu menyerang musuh melebihi jarak 50 km berbanding keupayaan meriam medan FH-70 dan meriam howitzer 105 milimeter (mm) yang menjadi taring utama rejimen artileri bagi mempertahankan negara sebelum perolehan Keris dibuat.

Kebimbangan pihak asing itu berasas kerana Astross II didatangkan sekali dengan sejumlah 1,000 roket jenis SS-30, 224 buah roket SS-60 dan 576 unit roket SS-80 yang merupakan sebahagian daripada kontrak pembelian tersebut.

Kemudian, pada tahun 2006, iaitu selepas empat tahun TD mengoperasikan Astross II, Kementerian Pertahanan membuat pembelian susulan 18 unit lagi (juga tidak termasuk kenderaan sokongan) pelancar Astross II bagi menjayakan hasrat ATM untuk menubuhkan sekurang-kurangnya dua buah rejimen Keris.

Namun, sesuai dengan perkembangan semasa, TD mengambil langkah lebih ke hadapan apabila menubuhkan Briged Artileri Roket dengan diketuai Brigadier Jeneral Razali Mohd. Regen bagi memantapkan lagi inventori tempurnya.

Kemajuan ATM itu menyaksikan Singapura membeli sistem MLRS jenis Himars, buatan AS tetapi pada harga yang jauh lebih mahal daripada Keris.

Mengulas penubuhan itu, Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menegaskan, pasukan itu relevan dan sejajar dengan keperluan strategik pemerintahan Medan TD yang memerlukan satu platform bagi menggandakan kuasa tembak sedia ada.

"Berbeza dengan unit artileri medan, Astross II menyediakan tembakan berselerak (mass) dengan kesan kemusnahan besar sekali gus meningkatkan kuasa tempur TD di medan perang.

"Oleh itu dengan adanya briged roket yang berpangkalan di Kem Gemas, bantuan tembakan dapat dikoordinasi dengan lebih baik, jitu serta berkesan," katanya baru-baru ini.

Pendapat itu turut disokong oleh penganalisis pertahanan yang juga Pengarang Majalah Tempur, Muhammad Fuad Mat Noor kerana katanya, Keris sebenarnya tergolong dalam senjata yang diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Jelasnya, dengan kemampuan itu, pemilikan Keris oleh TD membolehkan ATM mengatur corak peperangan jika konflik tercetus sama ada bagi tujuan menyerang atau bertahan.

Tambahnya, dengan setiap satu roket mengandungi puluhan bom berangkai ia mampu memusnahkan kawasan yang luas kerana corak serangannya adalah bertubi-tubi sehingga tidak mungkin senjata itu mampu ditangkis oleh pihak musuh.

"Astross II adalah senjata strategik yang sangat digeruni kerana corak serangan dan kuasa pemusnahnya. Apatah lagi sistem ini turut memiliki kemampuan mobiliti yang mantap bagi membolehkan ia melarikan diri sebaik sahaja serangan dilepaskan

"Keupayaan mobiliti ini mampu mengelakkan Keris daripada dimusnahkan oleh pesawat musuh dan taktik tembak kemudian lari lebih berkesan dalam persekitaran hutan tropika di negara ini.

"Lebih menakutkan, sistem ini juga mampu ditingkat upaya melalui penggunaan roket pintar yang boleh dipandu bagi meningkatkan lagi jarak serta ketepatan serangan," katanya.

Kesimpulannya, pembelian sistem roket Astros II membuktikan perancang pertahanan negara mengetahui kemampuan senjata itu untuk merobek titik kelemahan musuh khususnya negara yang terpaksa bergantung sepenuhnya pada kekuatan udara dan laut ekoran bentuk muka bumi yang tidak mengizinkan.

Apatah lagi, terdapat laporan bahawa pengeluar Astross iaitu syarikat Avibras sudah pun menjual roket-roket termoden daripada jenis TM (Peluru Taktikal) sebagai sebahagian pakej pembelian susulan 18 unit oleh ATM.

Walaupun laporan tersebut gagal disahkan, sekiranya ia menjadi kenyataan, roket jenis itu mampu membunuh sasaran bersaiz kompeni atau seramai 200 tentera dari jarak 150 km.

Maka, atas dasar itulah mudah untuk kita memahami kenapa Singapura begitu berminat untuk membeli sistem penangkis mortar dan roket yang dicipta oleh Israel. Tetapi dengan puluhan roket dilancarkan serentak dan ditambah pula dengan ribuan bom berangkai tiada sebarang sistem sebenarnya mampu menangkis ancaman MLRS dengan berkesan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.