VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 11/04/2010

SimplySiti bukan lagi rahsia


Temubual dengan Datuk Siti Nurhaliza berkaitan dengan produk terbarunya SimplySiti.


MINGGUAN: Banyak bidang boleh dipilih, kenapa akhirnya jatuh kepada bidang kecantikan juga?

SITI NURHALIZA: Sudah menjadi impian Siti untuk mempunyai produk sendiri. Pengalaman selama 15 tahun dalam bidang seni banyak mendedahkan Siti dengan kecantikan, belajar cara bersolek, berpeluang mencuba pelbagai produk-produk kecantikan dan Siti mahu berkongsi ilmu ini. Yang penting Siti mahu berkongsi rahsia kecantikan dengan wanita lain. Selepas lapan tahun usia penglibatan Siti dalam industri seni, Siti merasakan sudah tiba masanya untuk memiliki produk sendiri kerana selama ini, Siti telah menjadi jurucakap kepada pelbagai produk kecantikan. Tetapi pada waktu itu, terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan termasuk mencari formula yang betul dan modal pun besar. Selepas berkahwin, suami Siti mengetahui minat serta impian Siti ini dan beliau yang bertanggungjawab menjadi impian Siti satu kenyataan dengan lahirnya SimplySiti.

Berapa lama ambil masa untuk SimplySiti sampai kepada peminat di luar sana?

SITI NURHALIZA: Kami bermula dengan menjalankan penyelidikan perniagaan yang dilakukan oleh AC Nielsen selama dua tahun. Kajian ini penting untuk memastikan apakah yang dikehendaki oleh para pelanggan dalam produk. Selepas mendapat hasil kajian ini, kami menemui rakan-rakan kongsi, dari sinilah kami bermula secara perlahan-lahan. Siti dan rakan kongsi lain melakukan lampas minda untuk mencari produk yang bersesuaian, melantik sainstis, menjalani uji kaji produk dan menjalani tempoh percubaan bagi mendapatkan maklum balas produk. Proses ini mengambil masa kerana terpaksa membuat beberapa formula bagi memenuhi kehendak dan kesesuaian pelbagai jenis kulit wanita Malaysia. Semuanya dilakukan dengan terperinci dan Siti amat berpuas hati dengan keputusan penyelidikan terutama bagi produk utama, Simply 5.

Siapakah sasaran pengguna bagi SimplySiti?

SITI NURHALIZA: Produk ini adalah untuk semua, bukan untuk golongan kaya dan ternama semata-mata. Tetapi Siti mahu semua wanita mencuba SimplySiti kerana kandungan, warna, tekstur dan kualiti adalah setanding dengan produk dan jenama terkenal antarabangsa. SimplySiti sebenarnya boleh dikeluarkan di kilang-kilang kosmetik tempatan tetapi Siti amat pentingkan produk akhir kerana di Korea mereka sangat terperinci dalam aspek kualiti. Ia telah diuji beberapa kali pada kadar suhu panas yang berbeza-beza untuk memastikan ia memiliki kelembapan terbaik untuk kulit wanita Malaysia. Malah botolnya turut diuji untuk memastikan apabila diletakkan krim ia tidak menjejaskan kualiti krim di dalam botol. Siti memang tidak boleh bertolak ansur dengan kualiti untuk memastikan pembeli mendapat kepuasan yang sebenarnya. Lagipun, Siti serius dengan bidang ini untuk jangka panjang. Apapun Siti yakin dengan SimplySiti dan percaya kualiti dan keberkesanannya dan produk yang baik boleh 'bercakap' sendiri.

Produk ini berasal dari Korea, kenapa memilih negara luar sebagai kilang pengeluarnya?

SITI NURHALIZA: SimplySiti adalah hasil daripada kajian saintis Korea tetapi dimiliki oleh anak tempatan. Kami mendapatkan nasihat dan rundingan dari sana memandangkan Korea mempunyai teknologi terkini dalam industri kecantikan dan sangat popular. Malah banyak produk kosmetik dari Amerika Syarikat dan Eropah sekalipun memilih formula saintis Korea Negara-negara ini yang menjalankan penyumberan dari Korea kerana kos pengeluaran di negara itu sangat kompetitif.

Apakah produk yang ditawarkan?

SITI NURHALIZA: SimplySiti menawarkan dua rangkaian produk iaitu penjagaan kulit dan kosmetik. Produk New Age untuk kulit yang matang, bagi mereka yang mahu melakukan pencerahan kulit, gunakan produk C Bright. Sebenarnya Siti suka untuk menyatakan, semua produk-produk ini adalah daripada citarasa Siti yang mahu dikongsikan kepada semua peminat-peminat Siti. Warna-warna kosmetik ini adalah warna kegemaran Siti, selaras dengan tagline SimplySiti, Rahsiaku Kini milikmu. Bagi Siti sendiri, SimplySiti adalah lebih bersifat peribadi sebab itu Siti menamakan kosmetik SimplySiti dengan nama lagu-lagu nyanyian Siti.

Apakah bahan utama bagi semua produk SimplySiti?

SITI NURHALIZA: Antaranya Bunga Opuntia Tuna, Arbutin, estrak pokok pin, vitamin dan sebagainya. Siti sebenarnya amat cerewet dalam penghasilan semua produk SimplySiti dan menyebabkan kami beberapa kali menukar formula untuk memastikan jenama ini setanding dengan jenama-jenama antarabangsa. Apa yang boleh Siti katakan, SimplySiti mencapai piawaian dan memenuhi kehendak Siti selain telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jakim telah ke Korea untuk melihat sendiri proses pembuatan SimplySiti termasuk bahan-bahan yang digunakan sebelum diberikan status halal. Selepas melalui proses ini barulah Siti sedar bukan mudah untuk mendapat status halal kerana pihak Jakim akan memastikan kilang yang mengeluarkan SimplySiti tidak berada dalam kedudukan radius sehingga lima kilometer berhampiran dengan kawasan dan bahan-bahan atau perkara-perkara yang meragukan. Kami telah berjaya memenuhi semua kriteria serta prosedur.

Baru berada di pasaran, bagaimanapun difahamkan sehingga kini pelaburan lebih RM5 juta sudah dikeluarkan untuk SimplySiti? Benarkah begitu?

SITI NURHALIZA: Ya, lebih kurang begitu. Tetapi sehingga hari ini, sukar untuk menyatakan pelaburan sebenar memandangkan banyak perkara lain yang perlu dilakukan untuk membina dan mengukuhkan jenama ini. Bagaimanapun Siti boleh katakan, untuk fasa pertama pemasaran SimplySiti, kami mempunyai stok dengan nilai RM14.6 juta. Buat masa ini di 220 cawangan Watson, selain berbincang dengan pasar raya seperti Jusco dan Parkson. Kami akan meningkatkan lebih banyak kawasan untuk memasarkan produk tersebut.

Bagaimana dengan unjuran keuntungan yang dirancang?

SITI NURHALIZA: Untuk enam bulan pertama, Siti menyasarkan untuk memperoleh sebanyak RM1 juta sebulan. Tetapi selepas enam bulan, jumlah sasaran itu ditingkatkan kepada RM2 juta sebulan.

Dalam keadaan persaingan industri kosmetik yang cukup hebat ketika ini, apakah strategi untuk memastikan SimplySiti juga menjadi produk nombor satu sepertimana Siti Nurhaliza itu sendiri?

Boleh Siti katakan, semua kejayaan dalam dunia seni sebelum ini memang banyak membantu untuk SimplySiti berkembang jauh. Yang penting, Siti mahu berkongsi apa yang Siti suka dengan semua peminat. Kosmetik adalah sinonim dengan wanita dan merupakan perniagaan yang berpotensi kerana permintaan bagi produk ini sentiasa ada. Biarpun Siti dikenali tetapi penglibatan Siti dalam perniagaan ini bukan untuk mengambil kesempatan tetapi lebih kepada perkongsian Siti dengan peminat.

Adakah dengan populariti Datuk Siti yang diraih sekarang mampu melonjakkan jenama SimplySiti?

SITI NURHALIZA: Tidak, kerana bidang nyanyian dan perniagaan berbeza dan berisiko. Siti tidak pernah melihat populariti sahaja akan membantu sebab itu kita akan melaksanakan promosi agresif dalam tempoh dua bulan ini. Malah, kami turut melabur untuk iklan di semua media.

Banyak artis tempatan yang menghasilkan produk kecantikan sendiri tidak berjaya, bagaimana Siti melihat kelangsungan produk ini pada jangka panjang?

SITI NURHALIZA: Siti sedar akan perkara itu. Malah Siti akui, Siti juga pernah gagal dalam memasarkan produk CT Tea. Meskipun ia mendapat permintaan yang baik, Siti gagal kerana ketika itu tidak mempunyai pasukan baik dalam pemasaran. Tetapi SimplySiti berbeza kerana ada mereka yang penting menjadi tulang belakang Siti untuk menguruskan soal pemasaran dan strategi promosinya, termasuklah suami Siti sendiri. Siti begitu serius dengan setiap perancangan dan Insya Allah dengan pasukan berpengalaman yang tinggi, dijangka mampu memastikan SimplySiti kukuh di pasaran.

Sebagai satu cabang baru, apakah cabaran utama untuk membuka perniagaan ini?

SITI NURHALIZA: Siti akui bukan mudah untuk membuka perniagaan. Cabaran utama adalah daripada pihak bank. Dalam apa-apa jenis perniagaan, kita perlu mengeluarkan modal, walaupun memiliki tunai untuk memulakan perniagaan. Masalahnya, pihak bank tidak berani untuk memberi pinjaman meskipun syarat-syarat yang dikehendaki telah dipenuhi dengan alasan syarikat SimplySiti Sdn. Bhd. tidak mempunyai pengalaman. Sebenarnya alasan ini sukar untuk diterima kerana jika Siti tidak memulakan langkah pertama, bagaimana hendak menimba pengalaman.

Apakah perbezaan apabila menghasilkan produk sendiri dengan menjadi duta kepada produk kecantikan lain sebelum ini?

SITI NURHALIZA: Tidak dinafikan Siti pernah menjadi duta untuk beberapa produk kecantikan dan dari situ Siti belajar dan menimba pengalaman mengenai produk kecantikan. Yang membezakannya ialah menjadi duta kita hanya bercakap untuk produk tersebut selepas memakainya. Sebaliknya apabila mengeluarkan produk sendiri, Siti yang menentukan formula, warna, tekstur dan kandungan. Ini lebih 'Siti'.

Persediaan yang dilakukan untuk menjadi seorang business woman?

SITI NURHALIZA: Memang Siti akui bidang perniagaan memang sukar dan banyak rintangannya. Siti tidak malu untuk menyatakan Siti kini dalam proses belajar dengan 'guru-guru' Siti termasuk suami kerana tidak mahu terkapai-kapai pada kemudian hari. Tetapi pembabitan Siti dalam bidang kecantikan atas alasan sangat mencintainya, seperti mencintai bidang seni. Siti akan cuba melakukan sebaik mungkin sehingga berjaya.

Sehari berapa kali Datuk Siti memakai mekap?

SITI NURHALIZA: Walaupun suka bermekap tetapi ia mengikut keperluan kerana kalau berada di rumah, Siti lebih suka merehatkan kulit daripada sebarang mekap. Kecuali apabila keluar rumah untuk menghadiri majlis atau persembahan, Siti akan mengenakan solekan mengikut keadaan.

Berapa banyak perbelanjaan yang dikeluarkan untuk kosmetik dalam sebulan?

SITI NURHALIZA: Boleh tahan juga berbanding pakaian sebab Siti memang suka berbelanja untuk kosmetik, penjagaan kulit dan badan.

Adakah pelancaran SimplySiti merupakan kelahiran baru Siti Nurhaliza di mata masyarakat?

SITI NURHALIZA: Siti Nurhaliza adalah satu nama dalam bidang seni tetapi Siti tidak mahu hanya berada di tempat tersebut sahaja. Siti perlu akur tidak selamanya Siti mampu menyanyi. Siti mahukan gelaran baru, kerjaya baru. Boleh dikatakan SimplySiti adalah pembabitan Siti secara profesional.

Boleh Datuk Siti gambarkan perasaan sendiri selepas melihat impian untuk memiliki SimplySiti menjadi kenyataan?

SITI NURHALIZA: Dalam perkara ini, Siti memang berterima kasih kepada suami kerana beliaulah yang begitu serius dalam peringkat permulaan penubuhan SimplySiti Sdn. Bhd. Pada awalnya, Siti masih tidak fokus lagi tetapi apabila melihat keseriusan suami dan sehingga produk ada di depan mata, barulah Siti percaya, Siti sudah memiliki apa yang diimpikan di depan mata. Siti amat terharu ketika hari pelancaran SimplySiti kerana cita-cita Siti untuk menjadi ahli perniagaan dan bidang yang menjadi kecintaan Siti sudah berada di dalam genggaman.

Apakah yang boleh Datuk Siti simpulkan mengenai konsep iklan SimplySiti?

SITI NURHALIZA: Itulah Siti, seorang insan yang simple. Apa yang Siti luahkan di dalam iklan tersebut adalah dari dalam hati. Sebenarnya idea itu pernah Siti kongsi dengan arwah Yasmin (Pengarah filem, Yasmin Ahmad). Arwah sering menyatakan Siti adalah Siti dan keperibadian Siti telah memberi gambaran tentang peribadi Siti. Itulah dialog terakhir Siti dengan arwah Yasmin sebelum beliau menghembus-kan nafas terakhir. Kalau dia masih ada, pastinya iklan itu akan mendapat sentuhan beliau juga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.