VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 09/04/2010

SimplySiti bukti kesungguhan Siti


GAYA Siti sewaktu menerangkan kepada hadirin mengenai produk SimplySiti sewaktu pelancarannya di ibu negara baru-baru ini.


SEJARAH sudah membuktikan apabila ada artis yang menceburi bidang perniagaan, bukan semuanya mencapai kejayaan. Di awal pembabitan mereka dalam bidang bisnes, semuanya nampak indah dan gah sekali tetapi kemudiannya, tiada perkhabaran lagi yang didengar.

Semuanya lenyap bagai dibawa angin lalu sehingga masyarakat terlupa bahawa mereka sebenarnya pernah mengorak langkah sebagai ahli perniagaan.

Hakikatnya gelanggang perniagaan bukanlah sembarangan dan tidak semua orang mampu menceburinya.

Kalau tidak serius atau sekadar mahu mencuba, lupakan sahaja niat itu kerana risiko besar akan menanti mereka.

Lalu, apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza melancarkan produk kecantikannya, SimplySiti, ia dilihat sebagai satu risiko yang cukup tinggi.

Apatah lagi SimplySiti perlu berhadapan dengan persaingan yang cukup hebat daripada jenama kosmetik dan kecantikan ternama lain yang sudah lama bertapak di negara ini.

Apakah Siti benar-benar bersedia untuk mengharungi cabaran ini dan menanggung risiko yang bukan kecil apabila mengorak langkah sebagai ahli perniagaan?

Menjawab persoalan itu, dengan penuh optimis wanita berusia 31 tahun ini memberitahu, dia sudah bersedia untuk menceburi bidang perniagaan.

Pengalamannya selama 15 tahun dalam bidang seni cukup mematangkan dia untuk berdepan dengan cabaran yang lebih tinggi.

Maka itu, apabila peluang untuk mengeluarkan produk atas namanya sendiri, ia umpama mimpi bertukar realiti.

"Saya memang obses dengan kecantikan sejak kecil dan kerana itu saya mahu menerokai bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk kecantikan saya sendiri.

"Saya amat yakin dengan SimplySiti kerana saya sendiri terlibat dengan produk ini dari mula sehingga akhir.

"Ini bukan perkara main-main dan saya memang benar-benar serius dengan SimplySiti kerana ini 'bayi' pertama yang harus saya jaga serta pelihara dengan baik," ujar Siti dalam nada tegas.

Penyanyi jelita itu ditemui pada majlis pelancaran SimplySiti yang berlangsung dalam suasana meriah di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun begitu, jelas Siti, semuanya tidak akan dapat direalisasikan tanpa bantuan tiga individu yang bertindak sebagai rakan kongsinya dalam menubuhkan syarikat SimplySiti Sdn. Bhd.

Mereka yang dimaksudkan ialah suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed yang pernah dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2007 serta P.Y. Wong.

Buat masa ini, SimplySiti hanya mengeluarkan produk penjagaan muka serta rangkaian penuh kosmetik yang merangkumi maskara, pembayang mata, pemerah pipi, bedak asas, gincu, pengilat bibir dan banyak lagi.

Sebetulnya, SimplySiti bukanlah produk pertama yang dihasilkan oleh penyanyi kesayangan ramai itu.

Sebelum ini, Siti pernah muncul dengan jenama teh, CTea.

Tetapi, entah di mana silapnya, CTea tidak berupaya berdiri setanding dengan jenama teh yang sedia ada di pasaran.

Adakah Siti tidak gusar seandainya pengalaman CTea akan menimpa perniagaan barunya itu?

Jelas Siti, ketika CTea dipasarkan, dia tidak mempunyai banyak pengalaman tentang bisnes.

Siti juga tidak melihat jenama teh itu sebagai satu kegagalan kerana dia sendiri mendapat respons yang cukup baik daripada masyarakat.

"Saya harus akui ketika itu kami tidak memperuntukkan modal yang besar untuk pemasaran dan pengiklanan.

"Jadi, untuk SimplySiti, saya sudah bersedia untuk berhabis-habisan kerana didokong oleh suami serta rakan kongsi yang mempunyai pengalaman berniaga.

"Dunia bisnes banyak cabaran dan semuanya perlu dilalui dengan positif dalam mengecapi kejayaan.

"Ini baru permulaan dan saya akan melakukannya secara perlahan-lahan sebelum mendapat hasilnya nanti," ujarnya yang akan sibuk sepanjang tahun untuk mempromosikan SimplySiti.

Memakan masa selama dua tahun untuk dihasilkan, akui Siti, penghasilan SimplySiti dilakukan dengan penuh teliti kerana dia enggan berkompromi soal kualiti.

Sepanjang tempoh itu juga, Siti kerap berulang-alik ke Seoul, Korea untuk melihat sendiri proses pembuatan SimplySiti.

Bukan sekadar menitik berat soal kebersihan, tapi apa yang penting ia adalah halal dan selamat digunakan.

Sepanjang dua tahun itu juga dia berdepan dengan rintangan dan cabaran yang bukan kecil bagi memastikan produknya itu menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Kami bimbang kalau produk ini tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Untuk itu, kami sendiri membawa pegawai Jakim ke Korea agar mereka dapat melihat sendiri proses pembuatan dan persekitaran di sana.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan mereka berpuas hati serta mengiktiraf SimplySiti dengan pengesahan sijil halal," kata Siti dalam nada syukur.

Rasional pemilihan Korea jelas Siti adalah negara itu memang pakar dalam menghasilkan produk kosmetik dan penjagaan muka.

Malah, kebanyakan produk dari Amerika Syarikat dan Jepun juga kata Siti, dihasilkan di negara itu.

Memang ralit mendengar tutur kata Siti apabila memperkatakan tentang SimplySiti yang menggunakan tagline Rahsiaku Kini Milikmu itu.

Terpancar jelas keyakinan dan persediaan rapi Siti yang berjaya menjawab apa jua persoalan daripada wartawan.

Ciri-ciri seorang peniagawati memang tebal dalam diri Siti dan omongannya juga bukan kosong.

Maklumlah, apabila sudah mengeluarkan produk sendiri, mahu atau tidak semuanya perlu diambil tahu.

"SimplySiti adalah tentang saya dan refleksi diri saya selama 15 tahun menjadi artis kerana sepanjang tempoh itu, saya bertemu dengan ramai orang.

"Daripada situ, saya kumpul dan aplikasikan untuk perniagaan. Saya terlibat dalam semua aspek baik dari segi pemilihan warna, tekstur, bahan-bahan yang digunakan sehinggalah ke pembungkusannya," jelas Siti yang turut bekerjasama dengan jurusolek tersohor, Nurul Shukor untuk rangkaian kosmetik.

Apabila mengeluarkan produk kecantikan sendiri, kerana pastinya modal yang dilaburkan adalah besar.

Berdasarkan apa yang kedengaran jumlah pelaburan untuk SimplySiti menjangkau jutaan ringgit.

Apabila ditanyakan kepada Siti, hanya senyuman yang dilemparkan.

"Cukuplah saya mengatakan modalnya memang besar. Ia adalah untuk jangka masa panjang kerana selepas ini SimplySiti akan mengeluarkan lebih banyak produk secara berperingkat," jelasnya lagi.

Enggan menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja, sebaliknya Siti memberitahu, syarikatnya sudah merancang untuk memasarkan SimplySiti ke pasaran Asia termasuk Timur Tengah.

Perbincangan juga sudah dilakukan dengan beberapa pihak yang menunjukkan minat mahu membawa produknya itu ke Singapura dan Indonesia.

Buat masa ini, rangkaian produk SimplySiti boleh didapati di Watson's seluruh negara dan selepas ini, kata Siti, produknya boleh didapati di Jusco pula.

Pada masa yang sama, menerusi SimplySiti juga, penyanyi berusia 31 tahun ini mahu membuka peluang kepada peminat yang mahu memulakan perniagaan.

Memberi contoh pembukaan kiosk pertama SimplySiti di Johor Bahru, seboleh-bolehnya Siti mahu perniagaannya diperluaskan lagi dengan cara itu.

"Saya mahu produk saya dapat dibeli oleh semua lapisan masyarakat kerana harganya yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua," ujar Siti yang memberitahu harga produknya bermula serendah RM18.90 sehingga RM69.90.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.