VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 06/04/2010

Mereka prihatin, anda bagaimana?


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil (tiga dari kiri) bersama Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz (tiga dari kanan) serta ditemani S. Atan (kiri) bersama karyawan yang terlibat dalam rakaman lagu Harapan Tanpa Suara baru-baru ini.


SEBILANGAN besar daripada kita sudah kering air mata apabila membaca berita dan melihat gambar seorang demi seorang bayi yang tidak berdosa dibuang bagaikan sampah seperti yang disiarkan dalam akhbar.

Rasa marah, geram dan benci semuanya bersarang di dada. Masakan ada manusia yang tergamak membuang bayi yang baru menjenguk dunia tanpa rasa belas.

Hakikatnya, ia merupakan bukti yang sangat jelas betapa tiada lagi rasa kemanusiaan dan kasih sayang dalam diri manusia. Perbuatan tidak bertamadun itu harus dikutuk sekeras-kerasnya.

Bukan buang bayi yang patut menjadi amalan, sebaliknya, usaha yang harus dipergiatkan ialah memupuk kasih sayang di kalangan masyarakat bagi memperkasakan rasa kemanusiaan.

Justeru, akhbar Utusan Malaysia mengambil inisiatif melancarkan Kempen Prihatin yang merupakan tindakan proaktif akhbar ini untuk mencetuskan rasa keinsafan di kalangan masyarakat.

Jauh lebih utama, kempen ini akan membantu menebalkan kembali nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita yang sekali gus dapat membendung gejala-gejala tidak berperikemanusiaan itu.

Ia bukanlah usaha untuk menempa kemasyhuran. Sebaliknya, inisiatif akhbar Melayu berpengaruh ini dibuat semata-mata untuk mengajak rakyat secara umumnya kembali mengenali diri sendiri.

Apakah kita akan berterusan tumpang bersedih melihat tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi?

Seluruh rakyat Malaysia kita tidak boleh sama sekali menjadi tindakan biadap itu sebagai budaya kita.

Harapan yang sama diluahkan oleh kesemua artis yang terbabit dalam kempen kemanusiaan Kami Prihatin yang akan dilancarkan secara rasmi pada 8 April ini.

Kesemua mereka yang terlibat dalam rakaman lagu kempen Kami Prihatin, Harapan Tanpa Suara mengharapkan sumbangan kecil mereka dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Dan kerana itu usaha menggerakkan kempen kemanusiaan ini, kata mereka tepat pada masanya.

Lebih menyentuh hati kesemua artis berkenaan juga ialah lagu Harapan Tanpa Suara gubahan S. Atan dan lirik nukilan Habsah Hassan merupakan sebuah lagu yang sarat dengan mesej kemanusiaan wajar dihayati oleh seluruh anggota masyarakat.

Bagi penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, usaha yang dirintis oleh akhbar berpengaruh ini merupakan inisiatif yang sangat murni dan wajar diberi sokongan.

"Usaha baik ini ditambah pula dengan penghasilan sebuah melodi yang indah serta lirik lagu yang sangat menyentuh emosi.

"Saya mengharapkan penglibatan saya dan artis-artis lain akan turut disokong oleh rakyat Malaysia keseluruhannya," kata Siti Nurhaliza yang hampir menitiskan air mata ketika merakamkan lagu berkenaan di studio NAR di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu Harapan Tanpa Suara dihasilkan oleh komposer tersohor, S. Atan yang bekerjasama dengan penulis lirik ternama tanah air, Habsah Hassan bagi menjayakan kempen kemanusiaan yang bermatlamat menyelami isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak ini.

Kempen ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta stesen televisyen Astro Awani dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Menurut Anuar Zain, sebagai penyanyi yang selalu sibuk memenuhi undangan, beliau sendiri tidak banyak boleh membantu menangani gejala sosial itu.

"Lagipun siapalah artis macam kami ini hendak membantu tetapi sekurang-kurangnya dalam lagu ini kami bersatu meluahkan bakat dan perasaan simpati kami.

"Mungkin dengan populariti yang ada pada kami akan memudahkan masyarakat menghayati lagu ini dan sekali gus membuka mata mereka terhadap gejala sosial yang sedang melanda ini," katanya.

Bagi Aizat pula, penglibatannya dalam rakaman lagu kempen Kami Prihatin didorong oleh rasa marah dan sedih atas perbuatan tidak berperikemanusiaan mendera kanak-kanak dan membuang bayi.

"Secara peribadi saya akui amat geram dan sedih. Justeru, saya mengharapkan bakat yang saya sumbangkan dengan menyanyikan lagu ini dapat menyedarkan masyarakat supaya lebih peka dalam isu ini," ujar Aizat sambil menyeru seluruh anggota masyarakat agar lebih prihatin dalam menangani isu ini.

Biarpun sibuk memenuhi undangan mengadakan persembahan, namun semua itu tidak menghalang superstar Anita Sarawak menerima tawaran Utusan Malaysia untuk terlibat sama dalam rakaman lagu ini.

Bahkan, Anita mahu menggunakan popularitinya untuk membantu menyedarkan para peminatnya serta anggota masyarakat agar mengambil berat tentang gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak.

"Walaupun saya hanya menyanyikan dua baris rangkap lagu ini tetapi saya harap kekuatan lagu ini akan sampai ke hati sanubari mereka yang mendengarnya," kata penghibur yang disegani ramai itu.

Dalam perbualan penulis dengan hampir kesemua artis yang terlibat dalam rakaman lagu kemanusiaan itu, mereka meluahkan rasa kesal kerana masih ada manusia yang tidak menyedari bahawa kehadiran bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan ha bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya.

"'Sayang sekali, ada ibu tergamak 'membunuh' anak yang menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu. Perbuatan sebegini wajar dihentikan," kata penyanyi Nurul yang juga ibu kepada seorang anak perempuan, Ayu Nazirah yang sedang meniti usia remaja.

Wahai pembaca sekelian, marilah kita merenung dan berfikir sejenak ke mana hilangnya harga kasih seorang ibu?

Atau setidak-tidaknya di mana letaknya pertimbangan nilai kemanusiaan yang telah Allah kurniakan kepada kita?

Ayuh kita sama-sama hentikan segala kebiadapan itu. Kita tidak mahu lagi melihat bagaimana seksanya seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat dipercayai oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan.

Itu belum lagi kisah menyayat hati Syafiah Humairah Sahari yang berusia tiga tahun, meninggal dunia dipercayai didera teman lelaki ibunya.

Banyak lagi kes pembuangan bayi dan penderaan yang dihidangkan kepada kita. Benar, kita hanya mampu menangis dan mendoakan agar bayi dan kanak-kanak malang itu mendapat rahmat daripada Allah.

Pada masa yang sama, kita juga harus memikul tanggungjawab sebagai warganegara untuk membendung tindakan yang memualkan itu.

Kita harus sama-sama memikul tanggungjawab memelihara institusi keluarga. Pupuklah semangat kasih dan sayang sesama ahli keluarga.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.