VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
AGROBIZ

ARKIB : 29/03/2010

Ladang kontrak pawah bantu golongan susah


LADANG ternakan Falcon Livestock Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan.


PENGALAMAN membantu ayah membela lembu ketika berusia 15 tahun telah menyuntik semangat beliau untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bertitik tolak daripada situ, Muhammad Fauzi Daud, 46, telah mencuba pelbagai perniagaan demi mencari kepuasan dalam bidang tersebut.

Antara yang sukses adalah perusahaan perabot di mana beliau akhirnya berjaya mempunyai kilang perabotnya sendiri.

Menjelang tahun 1997, beliau mencuba nasib dalam bidang penternakan pula apabila membeli 20 ekor kambing baka Jamnapari daripada Indonesia.

Selain baka itu, beliau turut menternak kambing daripada jenis Boer dan kambing kampung di samping ternakan lain seperti lembu serta rusa.

''Selepas lima tahun terlibat dalam aktiviti ini, saya merasakan adalah lebih baik saya memberi fokus kepada satu jenis ternakan sahaja.

''Ketika itu saya melihat baka Jamnapari mempunyai potensi untuk diperkembangkan kerana mempunyai susu dan daging selain mudah diternak,'' katanya ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Justeru, bermula tahun 2005, beliau mula merangka strategi memperluas projek ternakannya dengan memperkenalkan konsep ladang kontrak.

Beliau yang sebelum itu telah menubuhkan syarikat United Falcon Sdn. Bhd. pada tahun 1995 memulakan operasi penternakan menerusi Projek Mini Perladangan Kontrak Kambing dan Bebiri.

Projek berkenaan menawarkan pakej bekalan baka, pembinaan kandang, kursus, pemantauan projek, mesin memproses makanan, khidmat susulan serta pembelian balik anak kambing yang berusia enam bulan dan ke atas.

Peringkat awal pelaksanaan projek itu telah mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Felda dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Pada tahun 2005 pula, syarikat berkenaan telah dijenamakan semula sebagai Falcon Livestock Sdn. Bhd. dengan operasi penternakan telah diusahakan di ladang seluas 20 ekar yang terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan syarikat itu memberitahu, pihaknya turut menerima penyertaan daripada Kementerian Pertanian di bawah penyeliaan Jabatan Veterinar.

Jabatan berkenaan akan bertindak sebagai mentor kepada pelaksanaan Projek Mini Perladangan kontrak Sistem Pawah di kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar.

Menarik mengenai konsep ladang kontrak pawah, ia menyasarkan penyertaan dari golongan miskin, miskin tegar dan juga berpendapatan rendah.

''Menerusi sistem ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membeli sebanyak 27 ekor kambing daripada syarikat kami untuk diberi kepada penternak.

''Penternak pula hanya perlu membayar sebahagian sahaja daripada kos ternakan iaitu RM25,000 menerusi pembiayaan Tekun Nasional (Tekun) di bawah skim pinjaman kredit mikro.

''Dalam masa kontrak selama lima tahun, penternak perlu mengembalikan semula 27 ekor kambing kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pusingan untuk diberikan kepada penternak lain pula,'' jelasnya.

Cara itu akan memudahkan penternak kerana mereka tidak akan terbeban dengan hutang pinjaman sehingga seratus peratus.

Mereka turut mendapat jaminan kejayaan aktiviti ternakan dan pasti tidak akan berhadapan dengan masalah teknikal serta pasaran kerana pihak syarikat telah menyediakan modul penternakan lengkap.

Konsep pawah itu juga tidak memerlukan kawasan ternakan yang luas untuk meminimumkan penggunaan tanah dengan konsep satu ekar bersamaan 100 ekor kambing.

Dari segi makanan ternakan pula, syarikat itu memperkenalkan konsep pemakanan kos rendah yang tidak menggunakan palet menerusi bantuan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Namun, untuk peringkat tiga bulan pertama, para penternak akan dibekalkan dengan makanan berkhasiat tinggi serta ubat-ubatan untuk mengelakkan haiwan ternakan mengalami tekanan atau stres.

''Penternak akan diajar cara mengadun makanan daripada daun, rumput yang ditanam dan rumput liar bagi memastikan ia cukup nutrien dan sesuai untuk pembiakan kambing.

''Rumput dan daun ini akan diadun dengan jerami padi serta bahan buangan industri lain yang bersesuaian.

''Kita juga ada menjalankan aktiviti penanaman rumput dari jenis Napier, Malberi dan Gliricidia. Kesemua jenis ini mempunyai kandungan protein sehingga 15 peratus,'' katanya.

Dari segi pembiakan, para penternak akan dibimbing untuk membiakkan baka secara natural menggunakan pejantan.

Faktor kesihatan turut diberi keutamaan di mana pemeriksaan akan dibuat enam bulan sekali bagi memastikan ladang dan haiwan ternakan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

''Konsep penternakan kos rendah ini mengetengahkan sistem sekuriti bio untuk keselamatan haiwan ternakan.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berterusan juga dijalankan bersama Mardi serta JPV.

''Kita turut mengamalkan konsep bebas bahan buangan kerana najis-najis haiwan ini akan di kitar semula sebagai baja tanaman seperti rumput, pisang, jagung dan ubi selain dijual dalam bentuk sebagai baja organik.

''Untuk pembinaan kandang pula, ia akan menggunakan material terbuang dan masih berada dalam keadaan baik. Reka bentuk kandang juga akan berubah-ubah dan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa,'' jelasnya.

Sebanyak empat jenis pakej perladangan kontrak disediakan untuk para penternak iaitu RM20,000, RM30,000, RM40,000 dan RM55,000.

Di samping itu, terdapat lagi tiga projek individu yang melibatkan kos RM100,000 di Selangor dan Negeri Sembilan untuk fungsi pengeluaran susu serta sebuah ladang di Pahang untuk pembiakbakaan.

Selepas menjalankan penternakan selama setahun, penternakan diberi jaminan memperolehi pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada pakej yang diambil.

Setakat ini sebanyak 38 projek di bawah Felda, 50 projek TEKUN , 40 projek JPV dan 30 projek individu dari seluruh negara telah dilaksanakan di bawah syarikat tersebut.

Ia tidak termasuk projek daripada kalangan Orang Asli di sekitar kawasan Kampung Tekir dan Labu di Negeri Sembilan.

Selain di Lenggeng, Falcon Livestock Sdn. Bhd. turut mempunyai cawangan ladang ternakan di Berjuntai Bestari, Selangor.

Untuk pasaran, syarikat itu mempunyai pusat jualan yang dikenali sebagai Halal Eksotik di Semenyih, Selangor untuk tujuan jualan daging, pembelian aqiqah dan juga korban

Dengan segala perkhidmatan yang disediakan, Fauzi berharap lebih banyak organisasi kerajaan dan swasta tampil bekerjasama dengan syarikatnya untuk membantu golongan susah keluar dari belenggu kemiskinan.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat menambahkan populasi kambing di negara ini bagi memenuhi permintaan sebanyak 1.5 juta ekor setahun.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ladang kontrak berkenaan boleh menghubungi Fauzi di talian 019-6509690 atau 03-55115233/5244.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.