VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 28/03/2010

Emas Jadi Batu Padi Jadi Pasir

JIKALAU Sultan Mahmud gagal memberi semangkuk darah anakanda baginda sebagai syarat peminangan, kami sedia beri tujuh balang darah anak-anak kami yang bertujuh itu.” Lelaki 3 dan lelaki 4 berjanji di hadapan bakal mertua. “Malah kami akan bina jambatan emas bertatah permata dari Lembah Genesis ke Tanah Besar Impian.”

“Bagi jelata biasa, tiada sebarang cukai dikenakan. Lesen memandu, penjaja serta bayaran pakir dan semua jenis bayaran tertunggak dilupuskan. Ibu tunggal, ibu tinggal serta jelata merempat diberi elaun sara hidup RM500 sebulan, selain kediaman percuma.” Lelaki 3 lelaki 4 saling bertukar senyuman.

“Tiada sebarang yuran persekolahan dikenakan. Semua janji kami boleh diteliti dalam senarai ini.” Lelaki 4 menghulur fail setebal kamus Dewan sambil membongkok hormat. Di retina terbayang majlis persandingan dengan Wan Empuk Wan Malini hartawan jelita, gemerlap dengan sinar labuci dan cahaya keemasan.

Riuh-rendah Lembah Genesis, tempat bermulanya titik pertembungan pemikiran dua puak yang ingin dikuasai dan menguasai apabila berita perkahwinan itu disebar luas. “Wan Empuk Wan Malini dapat suami baru: muda, kacak lagi bijak.” Hampir setiap jelata bercerita.

“Lelaki muda jika sedia mengahwini perempuan kaya sudah berkali-kali janda, cuma hendakkan kesenangan serta duitnya.” Cemuh beberapa nenek yang melihat maksud tersirat perkahwinan tersebut.

“Ke manakah perginya suami kembar bertuah itu?" Ungkugetus teringat betapa makmur Lembah Genesis apabila Wan Empuk dan Wan Malini berkahwin dengan lelaki l dan lelaki ll. Suami berkarisma itu sudahlah kacak, bertanggungjawab, berwibawa beraura, bijak pula. “Pada saya suami dahulu jauh lebih kacak.” Ungkugetus mencemik.

“Tangan lelaki l lelaki ll bukan sekadar sejuk, malah mempunyai keajaiban.” Kaki Ungkugetus menguis rerumput kering di tanah kontang. “Sawah gersang merekah sebaik disentuh bertukar subur. Padi ditanam berbuahkan emas.”

“Batu disentuh pun bertukar jadi emas.” Hangcetus berdiri membusung dada. “Sayangnya, kerana taburan janji manis lelaki muda itu, Wan Empuk Wan Malini buta mata hati. Sedia mengetepikan suami yang terbukti begitu hebat berbakti.”

Semasa Wan Empuk Wan Malini bersuamikan lelaki l lelaki ll, berbondong-bondong jelata datang entah dari mana-mana, mengendong pakaian dibungkus dengan cadar lusuh, menempuh onak dan duri, menongkah arus lautan bergelora asalkan dapat jadi rakyat Lembah Genesis, merasai nikmat padi berbuah emas, berdaun perak berbatang suasa. “Jelata sanggup bergadai nyawa asalkan dapat tinggal di negeri ini.” Hangcetus menggeleng ralat.

Puteraletus terbatuk lalu meludah. “Malangnya segala kemewahan dan kemakmuran Lembah Genesis sudah digulung dalam guni sejarah.” Perlahan-lahan dia berkalih. Suaranya kedengaran berkerak.

“Kita kembalikan kegemilangan dan kemewahan lembah ini.” Ungkugetus melihat tubir mata Puteraletus sudah kemerahan. “Desak Wan Empuk Wan Malini tuntut fasakh dengan alasan lelaki 3 lelaki 4 tidak mampu memberi nafkah.” Suara Ungkugetus nyaring menyengat. “Sebagai ketua keluarga kedua-dua lelaki itu tidak berupaya memberi makan anak isteri serta kerabat, setelah padi yang disentuh tangannya menjadi pasir, emas menjadi batu.”

Hangcetus memeluk kejap bahu Ungkugetus. Kesal di hati tidak disembunyikan. “Sudah beratus kali saranan itu dibuat, Wan Empuk Wan Malini tetap menolak. Kedua-duanya terlalu mencintai suami baru itu.”

Tangisan anak cucu yang kebelai membuat lelaki 3 lelaki 4 terpaksa memendekkan bulan madu yang masih separuh berbaki; turun ke bendang untuk bersawah atas desakan isteri. Cangkul dan tajak diletak ke perbatasan di pinggir kali, lelaki 3 lelaki 4 segera membongkok untuk mencabut rerumputan yang menghijau di tanah subur. Sebaik tangan menyentuh tanah tiba-tiba sawah menjadi kontang merekah, air meresap begitu pantas; sekelip mata hilang dari pandangan.

Terkejut

Lelaki 3 lelaki 4 terkejut lalu segera ke bendang peninggalan lelaki l lelaki ll yang padinya sedang lebat runduk menguning. Sebaik ketam dan sabit digenggam dan tangkai disentuh, buah padi tiba-tiba berderai luruh, berubah jadi pasir. Lelaki 3 Lelaki 4 mencungap balik lalu mendesak sejongkong emas dari isteri. “Hendak beli makanan anak cucu cicit,” lelaki 3 mengesat peluh yang berjujuh di muka.

Wan Empuk Wan Malini memberi seketul emas seberat setahil. Sebaik kedua-dua lelaki menyambut logam berharga itu dari tangan isteri, tiba-tiba emas bertukar jadi batu. Hitam dan menggerutu. Lelaki 3 lelaki 4 terpinga-pinga, “Kenapa nasib kita begini buruk?" kedua-duanya menengadah langit.

“Sebab kamu tidak layak jadi suami Wan Empuk Wan Malini. Kamu penipu tidak bersedia memikul tanggungjawab ketua keluarga. Kamu saja-saja merayu-rawan dengan menabur janji manis untuk menguasai Lembah Genesis dan kekayaannya.” Suara alam bergema menambahkan gelabah kedua-dua lelaki itu. “Lebih dari setakat mahu menakluki lembah, kamu mengidam mahu menawan Tanah Besar Idaman.”

Lelaki 3 lelaki 4 mencari jalan membeli makanan sebelum Wan Empuk Wan Malini hilang kepercayaan. “Baik aku jual tanah di Kampung Buah Manggis kepada syarikat yang berminat membangunkannya.” Lelaki 3 mengangguk. Lelaki 4 menepuk kuat pundak lelaki 3.

“Aku akan buka ladang ternakan kerbau pendek secara besar-besaran untuk dieksport ke negara luar yang rakyatnya meminati daging haiwan tersebut.” Lelaki 4 merendahkan suara. Lelaki 3 ketawa.

Sementara urusan penjualan Kampung Buah Manggis dalam perundingan, dan sementara kandang kerbau pendek dalam kerangka pelan, jumlah jelata mati kebulur kian meningkat.

“Di tanah seberang padi subur. Makanan mewah. Tapi tiada siapa sudi meminjamkan kapal secara percuma.” Lelaki 3 warawiri keliling busut. Beberapa ekor semut merah merayap di kaki ditepis dan dilanyak dengan kasut ladamnya. Wajah lembut ayah mertua muncul di irisnya.

“Minta ayah bina jambatan? Engkau ingat aku kilang cetak duit? Engkau yang berjanji hendak membina jambatan emas bertatah permata, kenapa minta aku pula melaksanakannya?" ayah geram mencuka.

“Gunakan duit hasil jualan minyak tanah yang banyak itu, ayah. Simpan saja apa gunanya?"

Mata orang tua itu cerlang menentang kedua-dua menantu. “Tidak boleh. Sama sekali tidak. Duit hasil jualan minyak tanah itu milik anak cucu aku yang bertungkus-lumus berniaga di tepi jalan. Lagi pun duit itu untuk kegunaan jelata seluruh Tanah Besar Idaman, bukan untuk melaksana janji manis engkau.” Ayah mendengus lalu berpaling membelakangi menantu yang masih membongkok mengharap restu.

“Pandai berjanji pandailah menunaikannya. Jangan hanya pandai korek habiskan harta sedia ada.” Ayah baran, pantas melangkah pergi.

Setelah duduk di atas punggur kayu putih baru ditebang dan hasil jualannya digunakan Wan Empuk Wan Malini membeli beras dari kedai runcit bersebelahan rumah; ayah memandang hiba nasib kedua-dua puteri jelitanya itu.

Suami

“Dulu semasa bersuamikan anak Tuah dan anak Jebat, anakanda bagaikan maharani. Tanah sawah sebaik disentuh tangan kedua-dua suami berubah menjadi emas. Lombong arang batu hitam legam juga berubah jadi emas. Kini yang emas pula menjadi pasir dan batu.” Ayah kesat mata yang terasa berpasir.

“Kami sudah jemu hidup bersuamikan anak Tuah dan Jebat. Hari-hari tiada cabaran dan perubahan. Sungguh membosankan.” Wan Empuk Wan Malini tunduk di hadapan ayah mendamba pengertian.

Terbeliak mata ayahanda. Nuraninya sebak. “Engkau berdua ni sudah gilakah? Lelaki sebaik anak kedua-dua pahlawan itu tidak akan engkau temui di mana-mana permukaan bumi ini.”

“Ada, ayah.” Wan Empuk Wan Malini memberi isyarat dengan siulan melensing menembusi buana. Mendengar isyarat itu, lelaki 3 lelaki 4 meluru datang.

“Katakan sejujurnya kepada ayahanda jika kakanda berdua diterima jadi suami kami,” Wan Empuk berperi, Wan Malini mengangguk. Kedua-dua lelaki berdiri tegak, memandang ayah Wan Empuk Wan Malini yang memegang paip bengkok di satu pojok, bersantai di kerusi goyang.

Kedua-dua calon menantu segera mengemas rambut dan membetulkan kedudukan baju yang tiada apa silapnya. “Selain membina jambatan emas bertatah permata dari Lembah Genesis ini ke Tanah Besar Idaman...” Lelaki 3 menggayakan dengan kedua-dua belah tangan melengkung bagai pelangi, “antaranya; kami akan beri elaun RM300 seorang kepada pelajar yang sedang menuntut tidak kira peringkat dan tempat. Istana lebih besar dan gemerlap akan dibina untuk isteri kecintaan. Api dan air percuma untuk setiap jelata, tidak kira miskin kaya.”

Lelaki 4 pula membongkok hormat. “Selain semua jenis cukai dihapuskan, jelata akan diberi kenderaan seorang sebuah dan harga minyak diturunkan jadi 50 sen sahaja seliter.” Ayah Wan Empuk Wan Malini meletakkan paip bengkoknya di atas paha. Dia terkejut mendengar muluk-muluk itu. Kalau sudah semua percuma, dari mana dapat sumber untuk mentadbir lembah? Fikirnya.

“Bagus, kan ayahanda?" Wan Empuk Wan Malini bersimpuh santun di hadapan ayahnya.

“Tidak.” Ayah Wan Empuk Wan Malini yakin sesuatu pasti terjadi. Dia memetap tembakau di permukaan lubang paip agar lebih padat, lalu menyalakan mancis di atasnya. “Aku tidak yakin lelaki-lelaki itu boleh mengotakan janji. Kedua-duanya datang dari Lembah Pok-O yang menghasilkan minyak angin. Semua janji bakal terbang dibawa angin. Seperti belon cantik di luar, di dalam hanya angin. Janji orang hendakkan sesuatu sentiasa muluk-muluk. Kamu berdua jangan tertipu dengan janji.”

Wan Empuk Wan Malini menangis berperi-peri sehingga mata jeli menjadi juling, rambut hitam menjadi kuning, bibir basah menjadi kering. Perkahwinan tetap diteruskan. Tempoh bulan madu belum habis sudah ramai jelata sakit tidak diberi ubat, yang kedana mati merempat. Wan Empuk Wan Malini naik geram dan marah dengan sikap suami yang lebih gemar berfoya- foya, lalu menjerit “Janji yang mudah diukir mudah pula dimungkir!” Suaranya melangsing membelah alam.

Purnama mengembang di langit jalawardi beransur mengecil seperti labu diratah tikus mondok. Wan Empuk Wan Malini ingin berpisah dengan suami, namun memutuskan ikatan perkahwinan tidak semudah mematah ranting kering.

Wan Empuk Wan Malini membujuk. “Mulailah bersawah dan berladang. Kami tidak lagi sanggup mendengar tangisan jelata yang sakit dan mati kebelai.”

Kedua-dua lelaki itu terpaksa mengalah lalu turun ke sawah. Sebaik disentuh tangan, tanah yang subur jadi gersang merekah-rekah. Kedua-duanya terkejut lalu pergi ke sawah bersebelahan bendang yang buah padinya sedang menguning. Sebaik tangan dihulur untuk mengetam padi yang runduk itu, tiba-tiba tangkai dan daun bertukar keras menjadi batu. Buahnya berderai gugur menjadi pasir.

Menjengket-jengket lelaki 4 membuka peti simpanan emas isteri untuk dijual bagi membeli makanan yang amat diperlukan. Emas dipegang pula bertukar jadi batu.

“Ini tidak boleh jadi.” Lelaki 3 dan 4 berfikir. “Kita mesti buktikan mampu jadi suami bijak dan bertanggungjawab supaya impian menguasai Tanah Besar Idaman jadi kenyataan.”

“Kita tunaikan janji agar terus mendapat kepercayaan Wan Empuk Wan Malini.”

Lelaki 3 lelaki 4 membawa persembahan tujuh balang darah yang pernah dijanjikan di hadapan Wan Empuk Wan Malini serta ayahandanya.

“Kami datang menunai janji,” kedua-dua lelaki senyum-senyum sambil tunduk menunggu jawapan.

“Bapak! Bapak! Bapak! kenapa banyak orang mati kekeringan darah di hutan sana?" Tiga anak lelaki 3 dan empat anak lelaki 4 termengah-mengah datang.

“Kamu semua masih hidup?" ayahanda serta Wan Empuk Wan Malini memandang budak-budak lelaki sedang lasak itu. “Jadi darah siapa yang kamu bawa ini?" mata merah ayah beralih kepada dua menantu yang saling berpandangan. “Ini tentulah darah rakyat marhaen yang kamu hisap. Ayah tidak boleh terima. Penipu. Pulangkan!" Ayahanda Wan Empuk Wan Malini geram. Kedua-dua menantu seperti sekecil hujung lidi saja di matanya

Dalam perjalanan ke bilik peraduan, ayahanda bertembung dengan lelaki 4 sedang mengusung tabung duit raya, tabung keluarga dan tabung masjid. “Hendak ke mana usung tabung-tabung tu?" ayahanda menyergah. Hampir terlepas tabung ayan sebesar baldi dari tangan lelaki 4.

“Kita wajar membangunkan kehidupan dan prasarana keluarga.” Lelaki 4 senyum-senyum memandang wajah ayah mertua yang kelihatan bengis.

“Letak balik di tempat asal. Duit tabung itu untuk cucu-cucu aku belajar mengaji, di dalam dan luar negara bukan untuk mengisi tembolok atau memenuhi janji engkau berdua.”

Lelaki 4 mundar-mandir memikir dan berfikir lalu terfikir gubuk diduduki warga merempat, ibu tunggal dan ibu tinggal; masih boleh dimanfaatkan. Masih boleh dijadikan sumber. Segera dia ke sana.

Jelata papa kedana dan marhaen terkesima menerima kunjungan tidak disangka itu. “Tentu dia datang melunasi janji memberi kita elaun bulanan RM500 seorang.” Dengan keyakinan dapat nikmat durian runtuh seluruh penduduk mengalu-alukan lelaki 4 dengan hidangan sekadar termampu, ‘teh lalu’ dan ‘biskut mayat’.

“Mulai sekarang sewa gubuk dinaikkan RM500 sebulan. Sesiapa tidak mampu bayar, atau tidak mahu bayar, atau gagal bayar, boleh bungkus kain baju cari rumah lain. Sesiapa yang sewa tertonggak lebih sebulan langsaikan segera kalau tidak mahu diseret ke mahkamah. Perintah ini muktamad. Sebarang rayuan tidak dilayan.” Bengis muka lelaki 4 memandang jelata.

“Sesiapa yang betul-betul tidak mampu, mintalah bantuan asnaf.” Lelaki 4 berpaling lalu melangkah pergi.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.