VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 27/03/2010

Kenal pasti masalah ibu tunggal - Rosmah

TEMERLOH 26 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan supaya satu kajian terperinci mengenai permasalahan ibu tunggal dilaksanakan bagi mewujudkan program yang sesuai membantu golongan berkenaan.

Kata beliau, kajian itu juga nanti perlu merangkumi aspek perundangan, proses penghakiman dan penguatkuasaan mengenai keputusan Mahkamah Syariah terhadap nafkah, harta sepencarian dan hak penjagaan anak-anak.

''Saya ingin mencadangkan supaya satu kajian yang lebih terperinci mengenai permasalahan ibu tunggal dilaksanakan seperti kajian mengenai kesan keruntuhan rumahtangga terhadap anak-anak.

"Hasil daripada kajian itu nanti dapat mewujudkan program-program sesuai bagi membantu generasi kedua yang tidak ada tokoh ayah dalam keluarga untuk menangani kesan negatif yang mereka hadapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-6 Pertubuhan Ibu dan Bapa Tunggal (Mutiara) Negeri Pahang di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim; Pengerusi Mutiara, Datuk Melati Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Inovosi dan Teknologi Maklumat Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Menurut Rosmah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa juga perlu memberi pertimbangan dan peluang kepada ibu tunggal seperti kemudahan rumah kos rendah, perolehan saham kerajaan serta pelbagai insentif lain.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu terus meningkatkan kapasiti jentera pelaksanaan bagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan ibu tunggal lebih meluas termasuk di peringkat akar umbi luar bandar.

"Sistem penyampaian berkesan ini dapat membantu ibu tunggal merebut peluang menjana ilmu serta pendapatan melalui program-program yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Tambah beliau, masalah ekonomi adalah cabaran utama kepada ibu tunggal terutama bagi mereka yang hanya menjadi suri rumah sebelum ini.

Mencari peluang pekerjaan di luar kata beliau, bukan perkara mudah bagi mereka dan keadaan menjadi bertambah sukar apabila tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Keadaan ini kata Rosmah, akan menjejaskan sumber pendapatan mereka dan seterusnya memberi kesan terhadap kualiti hidup golongan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha Mutiara yang mengambil tindakan proaktif membantu dan memperkasakan ibu-ibu tunggal dengan menyediakan kursus-kursus kemahiran dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, mengikut statistik Jabatan Pembangunan Keluarga bilangan ibu tunggal di seluruh negara pada tahun 2000 ialah seramai 128,801 orang.

Daripada jumlah itu katanya, 60 peratus adalah orang Melayu, sementara kaum Cina pula sebanyak 23 peratus, India (9 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain dengan kumpulan umur paling tinggi adalah antara 45 hingga 54 tahun.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.