VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 25/03/2010

Zee Avi sudah bertaraf antarabangsa


GAYA persembahan Zee Avi sewaktu beraksi pada konsert sulungnya di KL Live Centre, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.


TERIMA kasih kepada dunia teknologi moden hari ini yang telah menjadikan anak muda ini popular dalam sekelip mata.

Tidak dinafikan lagi, YouTube khususnya merupakan akses utama hari ini dalam usaha untuk mengesan bakat baru yang tiada siapa sangka memiliki keistimewaan tersendiri.

Itulah yang terjadi pada diri Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas seni antarabangsa.

Biarpun sudah menempa nama di peringkat internasional yang menjadi idaman banyak anak seni di negara ini, tetapi bagi Zee Avi, populariti tidak banyak mengubah hidupnya.

Dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, petang Isnin lalu, Zee Avi tidak merasakan dirinya sudah berubah biarpun kini namanya dikenali oleh masyarakat dunia.

"Dari segi kerja, memang saya semakin sibuk memenuhi undangan nyanyian tetapi sebagai seorang individu, saya masih lagi orang yang sama.

"Saya bertuah kerana dapat bekerja dengan ramai orang yang berbakat dan faham dengan apa yang saya mahukan menerusi muzik saya.

"Memang itu matlamat saya dari awal lagi untuk berkongsi muzik saya dengan semua orang," kata gadis berusia 23 tahun ini yang menggalas tanggungjawab bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga komposer serta penulis lirik.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Jualan, Universal Music Malaysia, Michael Chi.

Dalam majlis itu juga, Zee Avi telah menerima anugerah Emas di atas kejayaan album sulungnya yang mencatatkan penjualan sebanyak 7,500 salinan di negara ini.

Selain Malaysia, albumnya turut mencatatkan anugerah Emas di Singapura serta Taiwan dan kini pihak Universal Music sedang cuba untuk mendapatkan slot persembahan buat Zee Avi sempena Anugerah Industri Muzik Ke-17 pada 2 Mei ini.

Kunjungan Zee Avi ke Malaysia adalah bersempena dengan konsert pertamanya yang baru berlangsung di KL Live Centre, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu yang telah mengundang 3,000 pengunjung.

Apa yang membanggakan, kesemua 3,000 keping tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan semuanya habis dijual dalam tempoh dua hari sahaja.

Kisah karier seni Zee Avi memang menarik untuk diperkatakan dan sememangnya tuah merupakan salah satu aspek dalam penentu kejayaan seseorang artis itu.

Siapa sangka, pada September 2007, hanya dengan sebuah rakaman untuk seorang sahabat yang kebetulan tidak dapat menyaksikan persembahannya telah mengubah hidup Zee Avi secara total.

Memang tuah berpihak kepada anak kelahiran Miri, Sarawak ini apabila dia menerima respons positif daripada pengunjung laman web popular itu.

Rentetan daripada kejayaan itu telah mendorong Zee Avi untuk terus memuat naik video nyanyiannya dan daripada situ, bakatnya mula dikesan oleh pemain drum kumpulan The Raconteurs, Patrick Keeler bersama-sama pengurusnya, Ian Montone.

Melihat bakat istimewa yang ada dalam diri Zee Avi, Montone kemudiannya mempromosikan video muzik Zee Avi kepada Emmett Malloy yang terus mengambilnya untuk menjadi artis rakaman di bawah syarikat Brushfire Records.

Jika ada yang tidak tahu, Brushfire Records merupakan syarikat rakaman milik seorang penyanyi dan komposer terkenal Amerika Syarikat (AS), Jack Johnson.

Sebelum merakamkan album perdananya, Zee Avi terlebih dahulu mencuri perhatian ramai menerusi sebuah lagu No Christmas For Me yang dimuatkan dalam album This Warm December: A Brushfire Holiday.

Tarikh 19 Mei 2009 akan terus menjadi sejarah tersendiri buat Zee Avi apabila album pertamanya yang juga mengangkat nama komersialnya itu mula dipasarkan.

Mempertaruhkan muzik akustik pop dan jazz itu, album Zee Avi telah membuka mata masyarakat antarabangsa bahawa anak tempatan dari Malaysia juga memiliki bakat setanding dengan penyanyi luar negara.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Nielsen SoundScan, album pertamanya itu terus menduduki tempat ke-130 dalam carta Billboard Hot 200 pada minggu pertama dipasarkan di AS.

Hanya dalam tempoh dua minggu pertama sahaja, album itu juga telah mencatatkan penjualan sebanyak 6,000 salinan.

Dalam masa yang sama, album itu juga berada di kedudukan nombor dua dalam carta Billboard Top Heatseekers.

Sehingga kini, album Zee Avi masing-masing telah telah terjual sebanyak 5,000 dan 300,000 salinan di AS dan seluruh dunia.

Lebih membanggakan, album itu juga dipilih sebagai salah sebuah 10 album terbaik sepanjang tahun 2009 oleh Associated Press (AP) di mana albumnya menduduki tangga kesembilan.

Kata Zee Avi, pada mulanya, kedua ibu bapanya mahu dia menjadi seorang peguam tetapi memandangkan darah seni sudah mengalir dalam dirinya, maka terpaksalah ibu bapanya akur dengan kehendak anak mereka.

Apatah lagi, bapanya sendiri memiliki kelebihan menyanyi di samping bermain alat-alat muzik seperti double bass, akordion, biola dan gitar dengan baik sekali.

Dilahirkan dalam keluarga Melayu dan beragama Islam, Zee Avi yang bertutur sepenuhnya dalam bahasa Inggeris sepanjang sidang akhbar itu juga memberitahu dia menjadikan pengalaman hidup sebagai inspirasi menghasilkan lagu.

"Kehidupan saya yang penuh warna-warni itulah saya jadikan sebagai panduan untuk menghasilkan lagu-lagu yang terkandung dalam album pertama saya itu.

"Untuk projek seterusnya, saya tidak mahu terburu-buru menghasilkan album kedua kerana saya mempunyai cara bekerja yang tersendiri.

"Ia bermula dengan bayangan di minda saya, kemudian saya terjemahkan pula di atas kertas dan seterusnya, baru saya akan mula mengarang.

"Anda perlu terus menunggu untuk menantikan album kedua daripada saya," ujarnya yang kini menetap di Brooklyn, AS bersama-sama keluarganya.

Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Bitter Heart, Kantoi dan Honey Bee itu juga tidak menolak untuk berkolaborasi dengan bakat baru negara ini seandainya diberikan peluang.

Malah, Zee Avi juga memuji bakat baru ini dan menyifatkannya sebagai nafas baru kepada industri muzik tempatan.

Katanya juga, dengan adanya teknologi hari ini, ia secara tidak langsung dapat menyerlahkan bakat-bakat terpendam yang selama ini tidak diketahui ramai pihak.

"Pada mereka yang merasakan mempunyai bakat, jangan segan untuk meneruskan minat dan menonjolkan apa yang ada dalam diri anda itu kepada khalayak.

"Semuanya tidak akan terjadi jika anda sendiri tidak mencubanya dan saya percaya di negara ini ramai bakat baru yang mempunyai bakat yang mampu digilap.

"Saya sendiri pun masih lagi tidak percaya dengan apa yang saya kecapi hari ini dan saya tidak akan lupa dengan pesanan keluarga yang mahu saya berpijak di bumi nyata," katanya yang akan terus berkarya selagi hayatnya dikandung badan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.