VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 21/03/2010

Pembedahan pertama perintis kejayaan


WALAUPUN pembedahan MIMVR mengambil jangka masa lama, ia memberi kesan lebih minimum termasuk parut pembedahan yang kecil.


Sebelum menjalani pembedahan, dia sering letih, tidak selesa dan tidak mampu melakukan kerja berat.

"Hari ini saya telah melalui

perubahan, hidup lebih ceria dan kerja pun saya lakukan dengan baik serta penuh kelegaan," kata Matron Zainab Abdullah, 53 yang merupakan pesakit kedua di Malaysia menjalani pembedahan Minimally Invasive Mitral Valve Repair (MIMVR) di Intitut Jantung Negara (IJN).

MIMVR menggantikan pembedahan mengganti injap jantung dengan membaik pulih injap jantung tersebut.

Selepas tiga hari mendapat Sarjana Muda dari Unisel pada tahun 2008, Zainab seperti diserang asma.

"Saya sukar bernafas. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada saya. Saya segera ke hospital dan saya ditahan," katanya.

Pakar kardiologi mengesahkan jantung saya lemah dan mengalami masalah injap jantung yang memerlukan saya mendapat rawatan segera di IJN.

"Ketika itu saya tidak bersedia mendapat rawatan kerana saya seharusnya pergi ke New Zealand. Kebetulan saya baru dinaikkan pangkat dan berpindah tempat tugas dari Hospital Batu Pahat ke Hospital Sultanah Aminah. Namun, saya mengambil keputusan ke IJN pada 23 November lalu. Saya diberitahu, saya perlu menunggu dua bulan sebelum saya dibedah," katanya yang menceritakan penderitaan yang dialami.

Sebelum ini, Zainab dikenali sebagai seorang yang tidak tahu duduk diam. Hidupnya sibuk dengan tugasan rumah dan kerja. Saat disahkan menghadapi masalah jantung, pergerakannya agak terbatas. Zainab seakan fobia apabila sesak nafas kerana dia seperti kehilangan nyawa an mukanya menjadi biru. Pada 29 November, Zainab menerima panggilan daripada IJN memintanya untuk melakukan pembedahan MIMVR yang bakal diperkenalkan di Malaysia.

Zainab mencipta sejarah apabila pembedahan tersebut disaksikan lebih 500 orang pakar bedah dan doktor dari merata dunia sempena Kemuncak Persidangan Injap Kuala Lumpur 2009 di Hotel Shanri-La, Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Disember lalu.

Pakar-pakar bedah kardiotorasik, Datuk Dr. Mohd Azhari Yakub, Dr. Jeswant Dillon dan Dr. Patrick Perier dari Jerman melakukan pembedahan MIMVR tersebut.

"Ia bukan pembedahan jantung terbuka yang lazimnya dibuat dengan pembukaan besar di bahagian tengah dada. Dr. Jeswant memberitahu saya, pembedahan ini bukan menggunakan cara yang konvensional. Terbayang juga ketika itu, bahagian tengah dada saya akan dibedah, dibuka dan ada kesan parut besar. Namun ia ketara berbeza, bahkan saya boleh berpusing sebaik sahaja lepas dibedah," katanya yang boleh berjalan sendiri ke bilik air selepas empat hari dibedah.

Sementara itu, seorang lagi pesakit yang merupakan pesakit pertama menjalani pembedahan ini berasa bertuah kerana kini hidupnya lebih ceria. Tang May Yin, 60 berasal dari Ampang, Selangor berasa gembira kerana sekarang dia boleh berjalan, menaiki tangga serta makan tanpa berasa sesak nafas. Ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada dua orang cucu ini juga seperti Zainab yang tiba-tiba mengalami sesak nafas dan paru-paru berair.

"Saya berada di IJN untuk rawatan injap jantung dan lemah jnatung". Namun, kini saya lebih ceria dan sihat," jelasnya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pembedahan Kardiotorasik IJN, Dr. Jeswant berkata, pesakit-pesakit telah menjalani pembedahan itu selepas dikesan berlaku kebocoran pada injap jantung sehingga menyukarkan pengaliran darah yang sempurna.

"Sebelum ini, pembedahan injap jantung lazimnya menggantikan injap berkenaan dengan injap tiruan supaya pesakit boleh bernafas dengan baik.

"Hari ini, pesakit masih menjalani pembedahan tetapi bukan menggantikan injap dengan yang tiruan namun ia dibaik pulih agar jantung kekal dalam keadaan yang baik," kata beliau.

Walaupun pembedahan menggantikan injap yang rosak merupakan rawatan yang baik, namun ia masih menggunakan injap jantung tiruan. Kehadiran injap tiruan boleh pula menimbulkan masalah kepada pesakit seperti perdarahan dan strok, dan pesakit diwajibkan mengambil ubat pencair darah, warfarin. Tambahan pula, injap tiruan belum tentu kekal lama.

Dengan MIMVR, ia hanya membaiki pulih injap jantung asal dan bukan menggantikannya dengan injap tiruan, dan nyata diiktiraf memberikan banyak kelebihan kepada pesakit termasuk tidak memerlukan ubat warfarin.

Dr. Jeswant memberitahu, pembedahan MIMVR ini menggunakan saiz bukaan pembedahan yang kecil dan pada lokasi yang sesuai. Tidak seperti pembedahan jantung terbuka konvensional, ia hanya memerlukan pembukaan tiga hingga empat sentimeter sahaja, di mana kelebihan dapat dirasai oleh pesakit dari segi kesakitan yang minimum, cepat pulih dan kesan kosmetik yang memuaskan. Tambahan lagi, pembedahan dilakukan dengan bantuan visual video yang memastikan imej berkualiti tinggi (high definition) untuk membantu pakar bedah melakukan pembedahan dengan tepat dan terperinci.

"MIMVR lebih baik untuk pesakit daripada pembedahan konvensional kerana ia kurang sakit, pesakit berasa lebih selesa, lebih cepat sembuh, kurang menggunakan ubat tahan sakit, kesan parut yang memuaskan dan membantu pembedahan yang tepat," katanya.

Namun, Dr. Jeswant memberitahu, MIMVR turut memberi cabaran kepada pakar bedah kerana ia mengambil jangka masa pembedahan yang lama, kesukaran kemahiran teknikal, memerlukan latihan khusus dan pelengkapan yang istimewa.

Dari tahun 1992 hingga tahun lepas, IJN telah menjalankan 1,400 pembedahan membaiki injap jantung secara konvensional.

Pesakit ketiga yang akan menjalankan MIMVR dijadualkan pada Mac ini. Pembedahan ini merupakan perintis kejayaan IJN dalam usaha mencipta sejarah dalam dunia perubatan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.