VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SUKAN TEMPATAN

ARKIB : 15/03/2010

Semua orang tahu sukan alat perpaduan kaum

MASIH ingat Datuk Ho Koh Chye? Beliau merupakan penjaga gol pasukan hoki Malaysia yang diingati kerana menahan bola dengan kepalanya.

Sebelum berkhidmat dengan Majlis Sukan Negara pada akhir tahun 1982 beliau bertugas di Bahagian Sukan, Kementerian Belia dan Sukan. Sebelum itu beliau merupakan seorang guru.

Saya mengenali beliau secara dekat apabila mula berkhidmat di Majlis Sukan Negara pada awal tahun 1983.

Ketika itu beliau merupakan Pengarah Bahagian Latihan iaitu bahagian yang menguruskan latihan atlet dan pasukan yang akan menyertai pertandingan sukan antarabangsa khususnya ke sukan temasya seperti Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik.

Satu peristiwa yang saya ingat ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang anggota MSN di mana ketika jamuan makan disediakan terdapat sedikit masalah dalam mendapatkan sudu dan garfu untuk beliau.

Beliau memberitahu itu bukan masalah besar oleh kerana beliau boleh menggunakan sudu dan garfu asli.

Lalu kita menikmati jamuan dengan cukup berselera dan Datuk Ho Koh Chye menggunakan tangan tanpa kekok pun seperti tetamu yang lain.

Kebolehan Datuk Ho Koh Chye menggunakan tangan untuk makan nasi ialah kerana percampurannya dengan rakan-rakan pemain hoki keturunan Melayu dan India yang memang menggunakan tangan ketika makan.

Percampuran beliau dengan rakan-rakan dari bangsa lain melalui sukan ini membuatkan beliau tidak kekok untuk bergaul. Inilah satu kecantikan yang boleh diperoleh daripada bergiat dalam sukan.

Ia mampu membelah batas-batas kebudayaan yang wujud akibat dari kontak yang berlaku semasa melakukan aktiviti sukan.

Sukan selalu dikaitkan sebagai berfungsi untuk menyatupadukan rakyat negara kita yang berbilang kaum, agama, budaya dan tradisi.

Saranan ini lumrah dibaca dan diperkatakan ketika membicarakan hubungan kaum di negara ini dan cara-cara untuk membina bangsa yang dapat memahami di antara satu sama lain.

Ini semua orang sudah tahu. "Kegiatan sukan dan olahraga di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan hendaklah terus dipergiatkan supaya matlamat perpaduan antara murid-murid berbilang kaum dan lapisan masyarakat dapat dicapai."

Ini merupakan perakuan Jawatankuasa Kabinet mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979.

Masalah perpaduan kaum adalah kritikal kepada kewujudan, kesejahteraan, keamanan, ketenteraman, keselamatan, kemajuan dan banyak lagi aspek yang boleh kita nyatakan bagi negara kita Malaysia.

Tanpa perpaduan kaum negara kita akan menghadapi banyak masalah untuk berada di tahap yang ada sekarang.

Negara kita dicemari dengan peristiwa 13 Mei 1969 yang mengugat kestabilan negara dan hubungan antara kaum.

Peristiwa yang sedemikian rupa wajiblah dielakkan dan semua usaha yang boleh dilakukan perlulah dilaksanakan untuk memastikannya tidak berulang lagi.

Tempat yang paling sesuai untuk memupuk bibit-bibit persefahaman antara kaum sudah tentulah di sekolah-sekolah dan salah satu dari instrument yang boleh digunakan secara berkesan ialah sukan.

Pengalaman bersama-sama sama ada ketika bermain atau menonton sebagai penyokong kepada satu pasukan boleh menyemaikan bibit-bibit persamaan sesama mereka dan ini akan kekal dalam masa yang panjang dan terdapat persahabatan yang dipupuk melalui sukan berkekalan ke akhir hayat.

Datuk Ho Koh Chye tinggal di dalam bandar Seremban bukan di kampung. Pergaulan beliau dengan rakan-rakan Melayu dan India diperoleh banyak melalui aktiviti sukan khususnya ketika berada dalam pasukan kebangsaan.

Kemampuan beliau makan nasi menggunakan tangan bukan diperolehi kerana beliau duduk di kampung tetapi kerana percampuran beliau dalam sukan.

Inilah satu contoh dan banyak lagi contoh-contoh yang lain yang boleh diceritakan oleh orang-orang lain yang mengalami dan melihat peristiwa yang menceritakan keakraban serta toleransi yang dipupuk dan dibina antara kaum melalui sukan.

Saya telah mendapatkan data dari urus setia Sukan Malaysia 2008 di Terengganu mengenai penyertaan atlet sukan dwitahunan itu.

Daripada 6006 atlet yang bertanding, sebanyak 61 peratus adalah atlet lelaki dan 39 peratus adalah atlet perempuan.

Sebanyak 13.8 peratus terdiri dari atlet bawah 15 tahun dan 40.43 peratus atlet yang berumur di antara 16 - 18 tahun.

Ini bermakna sebanyak 54.23 peratus terdiri dari murid-murid sekolah yang dipilih oleh Majlis Sukan Negeri untuk mewakili negeri masing-masing. Penyertaan atlet Melayu menunjukkan peningkatan dengan 59.02 peratus (2004), 62.85 peratus (2006), 64.60 peratus (2008).

Sementara itu, penyertaan atlet-atlet dari kaum Cina menurun dengan 29.54 peratus (2004), 24.96 peratus (2006), 21.99 peratus (2008) dan penyertaan atlet India tidak konsisten dengan 6.46 peratus (2004), 5.50 peratus (2006), 7.54 peratus (2008) manakala penyertaan lain-lain atlet 4.98 peratus (2004), 6.69 peratus (2006) dan 5.83 peratus (2008).

Urus setia Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) perlu mengumpulkan data penyertaan murid-murid sekolah dalam kejohanan-kejohanan anjurannya paling tidak di peringkat kebangsaan. Data ini penting untuk mengukur keberkesanan program sukan yang dijalankan di sekolah-sekolah sama ada merentasi semua murid dari semua kaum.

Data yang disediakan oleh urus setia Sukan Malaysia Terengganu 2008 amat membimbangkan kerana penyertaan atlet dari kaum Cina menurun.

Ini perlu dikaji dan jalan keluar perlu dicari untuk membetulkannya supaya nampak lebih sihat.

Salah satu tempat yang perlu dilihat ialah di sekolah-sekolah. Dasar setiap murid perlu mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam satu sukan kalau dilaksanakan dengan gigih lambat laun akan memulihkan keadaan yang ada.

Dasar ini bertepatan dengan usaha kita untuk membina rakyat yang saling menghormati di antara satu sama lain ke arah membentuk sebuah negara yang aman damai.

Penyertaan dalam sukan yang lebih menyeluruh akan memudahkan pemilihan atlet-atlet yang berbakat dalam semua sukan yang dipraktiskan di sekolah.

Dasar yang mempunyai serampang dua mata ini perlu dilihat supaya dilaksanakan oleh semua pihak dan bukan hanya saranan dari Menteri atau Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sahaja.

Kebanyakan dari kita bersetuju bahawa sukan boleh memainkan peranan untuk menyatupadukan rakyat negara ini.

Tetapi bersetuju sahaja tanpa melakukan apa-apa yang wajar ataupun mengetepikan apa yang telah terpahat sebagai dasar tidaklah membawa apa-apa makna.

Seperti yang berlaku sekarang bila mana mata pelajaran pendidikan jasmani yang wajib tetapi dikorbankan untuk subjek lain yang dianggap lebih penting dalam mencapai kecemerlangan peperiksaan.

Kecemerlangan peperiksaan ini menjadi ukuran kepada untung nasib pengetua atau guru besar sama ada berjaya naik pangkat atau sebaliknya. Ini juga perlu dilihat semula.

Minggu sudah saya sempat menonton acara grand prix olahraga dalam dewan melalui siaran langsung dari Doha, Qatar.

Badan induk olahraga dunia iaitu IAAF menganjurkan kejohanan-kejohanan dalam dewan untuk menyediakan atlet-atlet dunia bertanding di kejohanan-kejohanan pada bulan Julai atau Ogos.

Hanya acara pecut 60m diadakan bukannya 100m untuk membolehkan atlet-atlet ini menyesuaikan diri pada awal musim.

Sementara di Malaysia, banyak ekolah sudahpun selesai menganjurkan Kejohanan Olahraga Tahunan masing-masing dan acara-acara balapan diadakan sepenuhnya.

Perkara ini juga perlu diteliti.

Minggu ini sekolah sedang bercuti selama satu minggu.

Sebagaimana kebiasaan temasya sukan anjuran MSSM akan diadakan.

Ini adalah untuk mengelakkan murid-murid yang mengambil bahagian terjejas dengan pelajaran masing-masing kalau kejohanan ini diadakan di luar dari cuti sekolah.

Kita perlu bersetuju mengenai perkara ini. Apa yang ingin saya utarakan ialah kemungkinan membawa cuti satu minggu pada awal tahun ini untuk digabungkan dengan cuti pada pertengahan tahun menjadi tiga minggu semuanya.

Semua kejohanan MSSM yang diadakan pada cuti awal tahun dianjakkan semasa cuti pertengahan tahun.

Sekali gus membolehkan atlet-atlet muda ini berlatih dalam masa yang lebih lama sebelum mengambil bahagian.

Kita baru sahaja cuti Tahun Baru Cina pada pertengahan bulan Februari dan banyak sekolah yang mengambil cuti satu minggu sempena dengan perayaan tersebut.

Kini kita cuti lagi. Mungkin pihak yang membuat keputusan boleh melihat semula jadual cuti sekolah untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

(Penulis adalah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.