PENDIDIKAN

ARKIB : 09/03/2010
Utusan Melayu Mingguan tajaan Pengkalan Iman di 22 sekolah

Utusan Melayu Mingguan tajaan Pengkalan Iman di 22 sekolah


AHMAD Chik (enam dari kiri) menyerahkan replika cek tajaan akhbar Utusan Melayu Mingguan kepada Razali Desa (lima dari kiri) di Sekolah Kebangsaan Kampong Pasir, Merbok, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 8 Mac - Syarikat pembekal dan penyelenggaraan peralatan sekolah terkemuka di wilayah utara, Pengkalan Iman Sdn. Bhd., menyahut seruan kerajaan membantu meningkatkan penguasaan tulisan jawi di kalangan pelajar sekolah dengan menaja akhbar Utusan Melayu Mingguan bernilai RM4,000 mulai minggu ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Ahmad Chik berkata, penajaan itu merupakan sebahagian program khidmat komuniti yang dilaksanakan oleh syarikatnya untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar luar bandar termasuk tulisan jawi.

"Kita harap dengan penajaan bagi tahun kedua ini akan dapat memberi kemudahan kepada pelajar meningkatkan penguasaan tulisan jawi selain mengekalkan penggunaannya kerana ia adalah warisan orang Melayu yang banyak jasa kepada bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan akhbar tersebut kepada Pegawai Unit Pembangunan, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, Razali Desa di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir, Merbok, dekat sini hari ini.

Hadir bersama ialah Guru Besar SK Kampong Pasir, Zahni Ahmad dan Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Sungai Petani, Mohd. Nasrun Suid.

Menurut Ahmad, melalui tajaan itu, sebanyak 22 sekolah rendah dan menengah di daerah Kuala Muda dan Yan akan menerima Utusan Melayu Mingguan pada setiap hari Isnin.

Dalam pada itu, Razali menyambut baik langkah Pengkalan Iman Sdn. Bhd. dan akhbar Utusan Malaysia yang berusaha meningkatkan pencapaian akademik para pelajar di daerah itu.

Menurutnya, penglibatan Utusan Malaysia dalam menghasilkan bahan-bahan penerbitan tulisan jawi dan juga sisipan serta portal pendidikan, akan dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

"Malah Pejabat Pelajaran Daerah sendiri turut menggalakkan para pelajar dan guru menggunakan sisipan akhbar sebagai alat bantuan pembelajaran," katanya.

Akhbar Utusan Melayu pertama kali diterbitkan pada 1939 sebagai akhbar harian tetapi dihentikan penerbitannya pada 2005 ekoran tidak mendapat sambutan di kalangan pembaca.

Bagaimanapun, atas desakan banyak pihak dan sokongan beberapa kementerian, akhbar tersebut kemudiannya diterbitkan semula beberapa bulan selepas itu sebagai sisipan Utusan Malaysia.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:15
Asar 4:19
Maghrib 7:18
Isyak 8:28
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook