VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
FEMININ

ARKIB : 01/03/2010

Antara Kota Kinabalu, Papar dan Kota Belud


Dari kiri, Meg, penulis, Siti Hajar dan Mimi di Pasar Tamu Sabah.


JUMAAT 12 Februari lalu, saya bersama wartawan eksekutif, Siti Hajar dan jurugambar, Shahril Azman Ahmad berada di negeri Sabah yang dikenali juga sebagai Negeri Di bawah Bayu bagi meneruskan perjalanan majalah WANITA turun padang menemui wanita di akar umbi untuk berkongsi kehidupan dan aktiviti mereka bersama pembaca.

Perjalanan kami direalisasikan ekoran memenuhi jemputan ke majlis perkahwinan finalis Gadis Melayu, Norr Afzan Mohd. Afzul Khan yang juga penghias kulit keluaran khas edisi WANITA Disember tahun lalu.

Majlis pernikahan pada 12 Februari dan persandingan berlangsung pada 14 Februari.

Cantik pasangan pengantin bagai pinang dibelah dua! Tahniah Afzan dan Fadli, semoga bahagia hingga ke akhir hayat dan jadi isteri solehah dan suami soleh, insya-Allah!

Selesai majlis Noor Afzan kami ke Karambunai pada 13 Februari untuk sesi fotografi fesyen sekitar Nexus Hotel yang muncul antara hotel terbaik di dunia.

Keindahan kawasan sekitar persisiran pantai Karambunai memang tidak dapat dihurai dengan kata-kata. Terpegun seketika melihat keindahan laut, pantai dan kawasan sekelilingnya yang sungguh menakjubkan.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa nyata mengusik hati seperti tidak mahu melangkah pulang meninggalkan Karambunai. Namun Nexus Hotel dan Karambunai terpaksa kami tinggalkan buat sementara untuk memenuhi temujanji dengan Datuk Rosnah Shirlin, Ketua Puteri UMNO Malaysia di kediamannya Rest Villa Riggi, Kampung Pengalat Kecil, Papar.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Datuk Rosnah dan suami, Fadli Juanas.

Seronoknya melihat bayi comel bernama Putera Rayyan Shirlin Fadli di dalam pelukan mesra bondanya. Jelas sekali kebahagiaan yang sedang dilalui oleh Rosnah dan Fadli sejak kehadiran Putera Rayyan.

Banyak yang dikongsi bersama Rosnah tentang rumah tangga, politik, masa depan Puteri UMNO Malaysia serta perancangan masa depan untuk bayi comel yang menjadi permata hatinya Putera Rayyan.

Selesai temu bual kami ke Kampung Berundong untuk bertemu dan melihat kaum wanita Papar dengan aktiviti mereka menghasilkan kuih lidah, sejenis kuih tradisional Sabah.

Ahad, 14 Februari kami ke Kota Belud yang mengambil masa satu jam setengah perjalanan dari Kota Kinabalu ditemani dua adik angkat saya Meg dan Mimi yang cantik dan peramah.

Shahril memandu kereta yang dipinjamkan pengantin baru Nor Afzan.

Tiba di Pasar Besar Tamu saya terpegun melihat kebanyakan yang berniaga adalah kaum wanita. Senario yang sama seperti di pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Tapak yang luasnya empat kali padang bola itu rata-rata dipenuhi peniaga wanita, kebanyakan mereka berniaga kraftangan, kuih muih tradisional dan perhiasan.

Mereka juga tidak kedekut mendemonstrasikan produk buatan mereka kepada kami. Sempat juga singgah berbual dan bertanya khabar sambil melihat ligatnya tangan mereka menganyam dan membelit pelbagai kraftangan daripada rotan, daun pandan dan mengkuang serta pelbagai makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran kampung yang turut dijual.

Produk popular dari Kota Belud, parang turut mendapat perhatian kebanyakan tamu luar negara. Leka seketika memerhati dan membelek aneka jenis parang daripada yang kecil sehingga yang besar dan panjang.

Namun kaum lelaki tidak ketinggalan mengambil peranan mereka dengan menjual pakaian terpakai, makanan dan minuman, buah-buahan dan sebagainya. Tetapi jumlahnya agak kecil.

Pasar Tamu Kota Belud ini juga menjadi lokasi remaja sekitar kawasan itu berhimpun dan berhibur setiap minggu. Pada awal pagi Ahad mereka akan keluar beramai-ramai ke pekan Kota Belud.

Kata Meg dan Mimi di Kota Belud sahaja tempat berhibur untuk mereka. Begitu juga dengan golongan dewasa, inilah hari mereka keluar bersantai dan berehat sambil menjamu selera dan mata kerana tidak punya kemampuan untuk ke Kota Kinabalu.

Saya perhatikan masyarakat di Kota Belud juga semakin menerima perubahan termasuk soal penampilan dan gaya hidup. Remajanya memang mengikut arus kemodenan sementara yang dewasa juga semakin menunjukkan perubahan positif.

Namun masih ada lagi yang tebal dengan adat dan budaya mereka dan ini merupakan sesuatu yang menarik bagi orang luar .

Balik dari Kota Belud kami singgah di kediaman Datuk Awang Syam dan Datin Zainab. Budi baik dan keramahan keluarga pasangan suami isteri ini dan anak-anak mereka Norli dan Molly serta cucu mereka Asadel tidak akan dilupakan.

Kelazatan masakan Molly sampai hari ini masih lagi terasa. Terima kasih kerana menyediakan resipi untuk WANITA.

Isnin 15 Februari kami kembali ke Nexus hotel bersama Datuk Jainab Ahmad, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah yang juga ADUN Karambunai untuk bertemu Pengurus Besar Kumpulan Nexus Resorts & Spa, Peter F. Sprenger sambil menikmati Yee sang sempena Tahun Baru Cina.

Kami juga sempat makan ikan bakar dan tomyam di Anjung Selera di pesisiran pantai sepanjang jalan menuju Likas bersama ketua Biro Sabah, Hamden sambil menyaksikan percikan bunga api.

Seronoknya penduduk Kota Kinabalu boleh melihat bunga api yang bernilai ratusan ringgit dari kawasan kediaman taikun-taikun Sabah setiap kali musim perayaan Tahun Baru Cina.

Jika di Semenanjung bunyi mercun yang kedengaran tetapi di Kota Kinabalu bagaikan pesta bunga api!

Hari terakhir kami habiskan dengan mengunjungi Pasar Filipina, syurga mutiara kata orang! Letih juga berjalan dan rabun mata melihat pelbagai rekaan aksesori, hiasan rumah, kraftangan, beg yang cantik-cantik dan menambat mata. Tapi syukur, godaan untuk membeli dapat dikawal.

Terima kasih kepada semua yang membantu kami, Datuk Rosnah Shirlin, Datuk Jainab Ahmad, Datuk Awang Sham dan keluarga, Sofia, Zakri, Hadi, meg, Mimi dan Hamden serta tidak lupa kepada Amirzan Ali. Terima kasih atas segala-galanya. Budi baik semua akan dikenang.

Salam

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.