VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 28/02/2010

Kembara seorang seniman




Perjalanan Salik merupakan buku kumpulan puisi Rahimidin Zahari yang terbaru selepas Lakaran Kampung, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa dan Zamok iz Peska (dalam bahasa Rusia). Beliau menganggap dirinya seorang 'salik' yang telah mengembara hingga ke Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam dan China.

Ketika kembaranya ke serata ceruk rantau Asia itulah Rahimidin mencipta puisi-puisi yang dikumpulkan dalam Perjalanan Salik ini. Maka wajarlah dia meletakkan gambar bekas tapak-tapak kaki di pasir pada muka depan buku kumpulan puisi terbarunya ini untuk memberi gambaran awal kepada pembaca terhadap keseluruhan puisi.

Perjalanan Salik menghimpunkan 47 buah puisi Rahimidin yang rata-ratanya pendek dan ringkas. S.M. Zakir dalam pengantarnya terhadap kumpulan puisi ini awal-awal lagi menegaskan kekuatan Rahimidin sebagai penyair muda dan kekentalan puisi-puisinya dengan nada Islam serta diwarnai pula dengan penggunaan unsur alam di dunia Melayu.

Antara lain S.M. Zakir menulis, "Rahimidin Zahari adalah penyair angkatan 90-an yang menempa nama sebagai penyair yang cukup kuat menampilkan nada-nada Islami dan alam tradisional Melayu. Kehadiran Rahimidin sebagai seorang penyair yang berbobot tidak memuncak dengan penuh kejutan dan populariti. Sebagai sifatnya yang penuh tawaduk dan rendah diri, Rahimidin lebih banyak menampilkan sajak-sajaknya daripada menampilkan susuk tubuhnya. Rahimidin lebih selesa menghantar pemikiran dan pengabdiannya kepada Tuhan melalui bait-bait sajaknya."

Adakalanya penyair menggunakan bahasa amarah yang wajar seperti mana pernah digunakannya dalam kumpulan puisinya yang terkenal sebelum ini, Sekepal Tanah. Dia bukan mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat tapi amarahnya kerana tidak menemui petunjuk arah kiblat di sebuah hotel yang dihuninya.

Walaupun ketika asyik berkelana di tanah seberang, Rahimidin tidak pernah melupakan tanah airnya yang tercinta. Beliau mengenang tanah tumpah darahnya dalam puisi Tanah Air kerana kebetulan pada saat itu Malaysia menyambut kemerdekaannya yang ke-38. Antaranya beliau mengenang: "tanah airku; pada / tarikh ulangtahunmu aku terpisah oleh laut. aku / di garis khatulistiwa menelusuri pelat dan halusnya bahasa."

Seperti selalunya juga, yang sering beliau ungkapkan dalam kumpulan puisinya yang terdahulu ialah ingatannya kepada beberapa orang tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang yang telah meninggalkan sumbangan yang besar kepada masyarakat tempat beliau kunjungi.

Kali ini tokoh-tokoh yang sempat beliau catatkan ialah Habib Yusuf al-Kadrie, Marhum Teluk Ketapang, Raja Ali Haji, Jose Rizal dan Latiff Mohidin. Sangat menusuk hati kita membaca apa yang beliau coretkan tentang Marhum Teluk Ketapang.

Dalam Di Kampung Masa Lampau, Rahimidin mengingatkan kita kepada serangkap pantun yang sangat terkenal yang selalu kita dengar sejak kecil. Kita akan segera teringatkan pantun budi yang antaranya menyebut, "Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga" itu apabila membaca puisi ini.

Rahimidin menulisnya ketika dia berada di Daik Lingga, tatkala menuju ke Pulau Pandan di tengah lautan dan melihat sendiri gunung yang bercabang tiga itu.

Seperti biasa, nada-nada Islam tidak pernah luntur dalam puisi-puisinya. Dia tidak pernah lupa untuk terus berdoa, mengingatkan kita tentang alam yang satu lagi dan menyedarkan kita bahawa manusia hanyalah sebagai hamba yang terlalu kerdil dan lemah di sisi-Nya. Telaah saja dalam Zikir Darah, Kuluangkan Masa untuk Berdoa, Bukalah Jalanku ke Langit Cahaya, Subhanallah, Dua Malaikat, Di Negeri Tersalib, Matahari Sanur dan Kemboja Sanur. Kekerdilan dan kefakiran diri sebagai hamba itu lebih terasa lagi dalam puisi Perjalanan Salik Menuju Khalik.

Rahimidin juga sempat menegur birokrat dan pemimpin ketika dia berada jauh di Hanghzou dalam puisi The Romance of The Song Dynasty. Sinis, pedas dan berterus-terang beliau menegur:

di tanah airku yang panas, saban hari aku berdepan

dengan birokrat yang gagal berfikir, pemimpin politik

yang perlu diampu untuk membina legasi.

Meneliti keseluruhan puisi dalam kumpulan ini, kita seperti dapat merasakan bahawa ada ketergesaan dalam menyiapkan buku ini hinggakan terdapat kesalahan ejaan pada beberapa perkataan. Perhatikan saja antaranya kalimah 'pandangan' pada halaman i, 'cermin' pada halaman 20, 'memungut' pada halaman 21 dan 'berdengung' pada halaman 32.

Khidmat editor dan pembaca pruf wajar digunakan untuk penerbitan yang akan datang bagi menyempurnakan lagi penerbitan buku-buku puisi agar ia tampil lebih kemas dan sempurna.

Meneliti lembar-lembar akhir kumpulan puisi ini menemukan kita dengan sejumlah puisi yang penyair tulis tentang dirinya sendiri. Rahimidin menginjak usia 40 tahun pada 2008 dan kerana itulah dia menghasilkan Lelaki 40, Di Depan Rumah Tak Berpintu 40, Pintu 40, Kamar 40, Jejak 40 dan Tapak 40. Puisi-puisi ini lebih kepada ingatan buat diri sendiri dan juga mengandungi pesanan berguna serta pembakar semangat kepada tuan empunya badan.

Setelah 40 tahun diberikan kesempatan bermukim dalam alam yang luas terbentang ini ternyata menjadikan penyair seorang yang berani dan begitu bersemangat. Perhatikan saja tiga perenggan terakhir puisi Lelaki 40, bagaimana berani dan berkobar-kobarnya beliau untuk terus melangkah mendepani segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan.

Keperibadian Rahimidin dalam puisi- puisinya masih juga sama seperti mana dalam buku-buku puisinya yang terdahulu. Dia mengungkapkan tentang cintanya kepada Tuhan sekalian alam, dia sering berhenti berdoa di mana-mana masjid yang dilalui dalam kembaranya dan selalu mengingatkan kita tentang alam yang satu lagi yang bakal kita semua tempuhi.

Dia seorang anak Melayu yang terlalu mencintai tanah kelahirannya, Kelantan dan warna-warni tradisi kehidupan di negeri Serambi Mekah itulah yang akhirnya membentuk jati diri puisi-puisinya. Ungkapan perjalanannya dalam Perjalanan Salik ini mengukuhkan lagi kewujudan dan keterampilan Rahimidin sebagai penyair Islam yang sudah lebih 20 tahun menukangi puisi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.