VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 25/02/2010

Dari Jesselton ke Kota Kinabalu


Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Pameran Sejarah Bandar Raya Kota Kinabalu, baru-baru ini. - UTUSAN/Junaidi Ladjana


KOTA KINABALU 24 Feb. - Nama-nama seperti Deasoka, Api-Api dan Jesselton mungkin tidak asing bagi penduduk negeri ini.

Bagaimanapun, tahukah anda apakah signifikan nama-nama tersebut kepada bandar raya ini dan penduduknya?

Pasti ramai yang tidak sedar bahawa nama-nama tersebut merupakan nama asal bagi bandar raya ini.

Malah, penulis sendiri tidak sedar melainkan setelah mengunjungi Pameran Sejarah Bandar Raya Kota Kinabalu yang berlangsung di Dewan Masyarakat di Jalan Dewan di sini baru-baru ini.

Menurut rekod, sejarah bandar raya Kota Kinabalu telah bermula lebih dari 100 tahun lalu, bermula dari sebuah perkampungan kecil dipanggil Deasoka, kemudian bertukar kepada Singgah Mata dan diikuti dengan Api-Api.

Bagaimanapun sejarah moden bandar raya ini bermula pada abad ke-19 apabila kerajaan British menerusi Syarikat Perdagangan British Borneo Utara (BNBCC) membuka pusat pentadbiran baru yang dikenali Jesselton menggantikan pusat pentadbiran lama di Pulau Gaya.

Jesselton diambil mengikut nama Naib Pengerusi BNBCC, Sir Charles Jessel. Dalam tempoh singkat, Jesselton muncul sebagai pusat perdagangan utama di Borneo Utara khususnya dalam perdagangan getah, rotan, madu dan lilin.

Jesselton kemudian ditukar nama kepada Kota Kinabalu pada 30 September 1967 dan dalam jangka masa 32 tahun, Kota Kinabalu atau lebih terkenal dengan panggilan KK telah melalui banyak transformasi sehingga menjadikannya pusat perkembangan ekonomi dan pentadbiran penting di rantau ini.

Hari ini KK dapat dibahagikan kepada beberapa komponen utama iaitu KK lama yang terdiri dari Jalan Pantai dan Jalan Gaya, Segama, Sinsuran, Api-Api Centre, Asia City, Karamunsing, Kompleks SEDCO dan Bandaran Berjaya.

Apa yang menarik kesemua wajah yang mewakili perkembangan itu dapat dilihat pada gambar-gambar dalam pameran tersebut.

Lebih 50 bahan sejarah dipamerkan bagi menceritakan perkembangan bandar raya ini.

Selain gambar, turut dipamerkan artifak sejarah seperti topi pengasas bandar Jesselton, Sir Charles Jessel, wang lama dan dua meriam yang pernah mengawal bandar itu daripada serangan musuh.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pertandingan pengisahan sejarah bandar raya Kota Kinabalu, teka siapa tokoh, cabutan bertuah dan pertandingan melukis turut diadakan.

Pengunjung turut berpeluang melihat perancangan masa depan yang telah diatur oleh pihak berkuasa bagi memajukan lagi bandar raya ini selari dengan tema Bandaraya Peranginan Semulajadi

Pameran yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-10 bandar raya Kota Kinabalu itu akan berakhir 28 Februari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim berkata, pameran bertajuk Kota Kinabalu - Dulu, Kini dan Akan Datang bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengetahui dan mengingat kembali kisah lama bandar raya ini.

Katanya, ini penting bagi mewujudkan rasa cinta dan bangga kepada bandar raya ini yang menjadi nadi kehidupan penduduknya.

''Semoga rasa sayang dan bertanggungjawab itu menjadi lebih tebal apabila melihat dan mengetahui kisah lalu di sebalik apa yang kita saksikan hari ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merancang membina sebuah galeri tetap bagi menyimpan bahan-bahan sejarah berkaitan perkembangan bandar raya ini bermula dari penubuhannya sehingga hari ini.

Menurutnya, galeri tersebut bukan sahaja akan menyimpan bahan sejarah tetapi mampu menjadi tarikan baru kepada pelancong ke bandar raya ini

''Kita perlukan satu usaha yang lebih sistematik bagi memastikan bahan bersejarah ini terus terpelihara dan dapat disaksikan oleh generasi akan datang," katanya.

Beliau menambah, walaupun DBKK sudah memiliki Galeri Bandaraya tetapi ruang sedia ada agak kecil dan tidak mampu menampung bahan yang semakin bertambah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.