VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 22/02/2010

Sentuhan moden kontemporari


tata hias ruang menonton yang ringkas dan menyenangkan.


SENTUHAN warna-warna alam yang lembut dan semula jadi membawa aura ketenangan luar biasa sebaik kaki melangkah masuk ke kediaman teres dua tingkat ini.

Pandangan mata segera tertumpah pada pilihan kertas dinding di ruang tamu dengan nuansa hijau lembut yang cukup mempesonakan.

Sengaja dipilih corak dan warna sebegitu untuk diserasikan dengan pilihan cat dinding putih epal pada keseluruhan ruang tingkat bawah kediaman tersebut.

"Saya kira warna-warna semula jadi ini lebih selamat dan mudah untuk saya suai-padankan dengan perabot dan hiasan-hiasan lain.

"Lagipun saya rasa warna ini sentiasa memberi mood yang menyenangkan pada sepanjang masa berbanding jika pilihan warna-warna terang yang lebih panas dan garang," demikian penjelasan pemilik rumah, Norazita Abdullah.

Memerhati penataan perabot dan hiasan rumah mudah untuk menelah cita rasa tinggi ibu muda ini yang mula berjinak-jinak dalam bidang hiasan dalaman melalui syarikat yang baru ditubuhkan, D'Nora Creative Enterprise.

Syarikat yang beroperasi di 10-B, Jalan Suadamai, bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor itu, mengendalikan segala bentuk perkhidmatan berkaitan hiasan dalaman.

Sementara itu menurut Norazita, konsep kegemarannya moden kontemporari kerana konsep tersebut mudah untuk digabung padan jika pada masa depan mahu mengubah tata rias sedia ada.

Berbanding jika memilih konsep klasik dan Inggeris yang agak terhad dan sukar untuk disesuaikan dengan konsep-konsep lain.

Pilihan penataan hiasan kediaman yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, itu juga cukup sederhana tidak berlebih-lebih

"Bagi saya paling penting dalam menata rias rumah mesti ada flow (kesinambungan) dari satu ruang ke satu ruang.

"Kalau dilihat dari ruang tamu, ruang menonton hingga ke ruang meja makan dan dapur ada sentuhan warna-warna alam sama ada pada sofa, kusyen, langsir, hamparan, cacat dinding mahupun perabot kayu," katanya.

Norazita juga bijak bermain ruang melalui pemilihan perabot yang cukup minimum dengan fungsi maksimum bagi membuatkan rumah nampak lapang tetapi tetap menarik dan elegan.

Ruang tamu hanya diisi dengan sofa rolled arm daripada fabrik rona krim yang cukup selesa untuk menerima tetamu pada bila-bila masa.

Bagi membangkitkan warna, diselitkan kusyen-kusyen kecil rona coklat pekat dan hiasan ringkas ranting kering pada penjuru ruang.

Kertas dinding bertekstur timbul membalikkan cahaya redup daripada lampu candelier.

Sekali lagi warna-warna tanah kombinasi rona coklat dan krim mendominasi pilihan perabot di ruang menonton.

Di sini Norazita hanya meletakkan sofa Cleopatra dan kerusi sleigh bed dengan kabinet televisyen lekat dinding yang sudah tentu praktikal dalam menjimatkan ruang.

Menyedari ruang ini kerap menjadi tumpuan sahabat handai yang datang dia memberi sedikit tumpuan pada hiasan-hiasan kecil daripada seramik yang tersusun pada kabinet televisyen selain kehadiran sebuah peti kayu antik.

Memberi sedikit warna pada ruang ini, sebuah lukisan minyak corak abstrak berukuran besar digantung pada dinding.

"Lukisan ini saya beli di China dan harganya tidaklah terlalu mahal tapi cukup untuk menceriakan lagi ruang ini," katanya yang turut menjadikan kediaman sebagai show house bagi rakan-rakan yang ingin mendapatkan khidmat tata rias rumah mereka.

Satu lagi karakter yang tidak kurang pentingnya dalam menyuntik suasana nyaman di kediaman ini ialah kemasan siling rumah.

Penggunaan lampu bersesuaian memberi pencahayaan yang sempurna pada keseluruhan ruang ditambah lagi dengan sentuhan reka bentuk siling moden dan ukiran plaster of paris.

Dalam pada itu untuk membahagi antara ruang menonton dengan ruang makan Norazita menggunakan tiang kayu pemisah.

Katanya penggunaan kayu juga bagi memberi kesinambungan hiasan antara kedua-dua ruang.

Pilihan set meja makan daripada kayu rona hitam dengan reka bentuk klasik moden memberi karakter tersendiri kepada ruang ini.

Ini ditambah lagi penggunaan kipas lampu hiasan yang memberi pencahayaan maksimum dan keselesaan setiap kali menghadap hidangan.

Beliau memanipulasi ruang dengan meletakkan cermin besar pada dinding bagi memberi ilusi ruang lebih luas.

Sementara itu, ruang paling digemari Norazita sudah tentu bahagian dapur di mana beliau memilih tema hitam putih pada perabot dan keemasan jubin dinding.

Membina dapur basah dan kering membuatkan kerja-kerja dan pergerakan dapur lebih praktikal serta selesa.

Setiap dapur dilengkapi dengan kabinet berbentuk L di samping kabinet gantung untuk tujuan penstoran yang mudah dan kemas.

Kerja-kerja kemasan nyata sangat diberi perhatian di mana permukaan kabinet L menggunakan konkrit dan jubin.

Selain tahan lasak jubin yang berkilat memberi gaya lebih elegan lebih-lebih lagi apabila diserasikan dengan jubin pada dinding dapur berwarna hitam putih.

Memberi lebih gaya pada ruang dapurnya Norazita membina meja ala-bar dengan kerusi tinggi untuk beliau menikmati sarapan pagi yang ringkas bersama suami.

Melangkah ke tingkat dua kediaman pemilihan konsep tata riasnya nyata berubah 380 darjah khususnya dari segi pemilihan warna dinding.

Merah jambu pekat menguasai warna dinding si kecil. Pemilihan alas katil, bantal hingga kepada hiasan-hiasan kecil nyata serasi dengan selera kanak-kanak perempuan.

Begitu juga di bilik utama di mana Norazita bersama suami sepakat memilih paduan warna merah jambu lembut dan putih.

Bagi menghangat suasana alas katil serta langsir langsir dengan tema warna merah pekat yang romantis.

Bagi yang berminat dengan sentuhan tata rias Norazita boleh menghubungi 03-90746832 atau layari http:///dnoracreativehomedecor.blogspot.com

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.