VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 22/02/2010

Mereka syurga hidup saya - Suliza Salam


KELUARGA bahagia... Suliza Salam (dua dari kiri) dan suami, Zainal Nazri (dua dari kanan) bersama anak-anak mereka, Ismail Izzani (kiri), Nur Izzati (berdiri, kanan) dan Nur Falahi.


BAGI seorang artis, keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamor bukan satu perkara mudah untuk dilakukan.

Apa lagi ketika nama berada di puncak kegemilangan, tindakan itu barangkali dianggap bodoh oleh sesetengah pihak.

Katalah apa saja, namun kekesalan tidak pernah terbit dalam diri penyanyi yang pernah menempa kemasyhuran di era 1980-an, Datin Suliza Salam.

Keputusan nekad Suliza yang namanya dikenali ramai menerusi lagu Untuk Sekali Lagi itu berundur dari gelanggang seni semata-mata mahu memberi tumpuan kepada rumah tangganya.

Kini, hampir dua dekad menjadi isteri kepada usahawan Datuk Zainal Nazri Zainuddin, 57, Suliza, 45, cukup bersyukur kerana hidupnya sangat bahagian bersama suami dan tiga anaknya Nur Izzati, 18, Nur Falahi, 14, dan Ismail Izzani, 10.

Kebahagiaan itu lebih bermakna apabila melihat ketiga-tiga permata hati membesar dengan penuh kasih sayang seorang ibu.

Masih terbayang di ruang fikiran Suliza atau lebih mesra dikenali sebagai Sue ketika ramai yang bertanya padanya tidakkah dia menyesal meninggalkan bidang seni sesudah berkahwin.

"Bagi Sue, setiap keputusan yang Sue ambil akan Sue hadapi. Sue tidak mahu berkongsi masa antara karier seni dan rumah tangga kerana bagi Sue kebahagiaan rumah tangga memerlukan pengorbanan.

"Disebabkan abang (panggilan buat suami) sebagai ketua rumah tangga sibuk dengan perniagaannya, maka Sue lebih selesa menanti kepulangan suami di rumah dan menguruskan apa yang perlu untuk suami dan anak-anak. Suami dan anak-anak adalah syurga hidup Sue," luah Suliza pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Ketika orang lain gembira memberi sokongan kepada anak-anak aktif dalam gelanggang seni, lain pula halnya dengan Suliza.

Sebagai ibu, hati Suliza berbunga keriangan kerana anak-anak menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang pelajaran.

Anak sulung penyanyi ini, Nur Izzati yang merupakan bekas pelajar Kolej Yayasan Saad, Melaka dijangka melanjutkan pelajaran di Univercity of Melbourne, Australia dalam bidang perakaunan dan kewangan selama tiga tahun, tidak lama lagi.

Sementara Nur Falahi dan Nur Ismail Izzani masing-masing yang bersekolah di Sekolah Taman Ilmu dan Budi di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak pula sentiasa menunjukkan prestasi yang membanggakan.

Suliza mengakui, beliau memberi perhatian yang sangat mendalam terhadap pengurusan anak-anaknya kerana hatinya sentiasa gusar melihat krisis moral di kalangan remaja selain nilai-nilai kemanusiaan yang semakin menipis di kalangan masyarakat.

Justeru, Suliza sentiasa memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama dan pelajaran yang mencukup demi masa depan mereka.

"Sejak kecil Sue belai mereka dengan penuh kasih sayang, walaupun mereka tahu kehidupan kami amat stabil tetapi Sue tidak pernah memanjakan mereka dengan wang ringgit.

"Sue mahu mereka hidup sederhana dan tahu susah senang sebuah kehidupan. Di samping itu Sue juga menitik beratkan adab sopan kerana tidak mahu mereka menjadi anak yang kurang ajar," kata Sue sambil memandang anak-anak dengan penuh kasih.

Kasih sayang yang penuh ikhlas daripada seorang ibu dan perhatian tak berbelah bahagi terhadap mereka menjadikan hubungan ibu dan tiga anak ini bagaikan kakak dan adik-adik.

Justeru, tidak hairanlah ketika sesi fotografi di rumah banglo tiga tingkat mereka di Taman TAR, Ampang, Selangor sebelum ini, anak bongsu penyanyi itu, Ismail yang peka dengan kecantikan ibunya sentiasa memastikan Suliza sentiasa anggun.

Bahkan, keakraban Suliza dengan anak-anaknya begitu terserlah. Semua itu dapat dilihat pada pertuturan antara mereka serta panggilan sayang yang tidak pernah lekang dari bibir Suliza buat anak-anaknya.

Penyanyi mata kucing

Mengimbas kembali sejarah seni Suliza, kepada yang pernah membesar di zaman penyanyi itu pastinya tidak akan melupakan lagu nyanyiannya, Untuk Sekali Lagi pada tahun 1984.

Ketika itu, Suliza yang bernaung di bawah syarikat rakaman, Titra Rekod menempa kemasyhuran sebaris dengan penyanyi-penyanyi ternama yang lain seperti Ramlah Ram, Nassier Wahab dan Noraniza Idris.

Lagu ciptaan Othman Mohamad itu juga telah melonjakkan nama Suliza dalam bidang seni suara dan sekali gus menjadikan dia antara artis remaja yang cukup popular ketika itu.

Dengan perwatakannya yang lemah lembut dan berbudi bahasa, Suliza bukan sahaja telah mencuri hati para peminatnya dengan suara merdunya, malah sesuatu yang tidak boleh dinafikan sepasang matanya yang sering menjadi perhatian.

Sepasang mata Suliza yang unik membuatkan juruhebah Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) ketika itu, Noramin menggelarnya sebagai penyanyi bermata kucing!

"Sue pun tak tahu kenapa Noramin memanggil begitu. Seingat Sue gelaran itu diberikan pada tahun 1985 ketika dia ke udara dan memutarkan lagu Sue dan memberi gelaran itu.

"Sedikitpun Sue tak kecil hati, malah sampai hari ini apabila bertembung dengan peminat yang seusia Sue, ada yang bertanya dan memanggil dengan nama itu," cerita Suliza sambil ketawa mengenangkan momen itu.

Kejayaan album pertama, memberi peluang Suliza muncul dengan album kedua Cinta Di Hatiku pada tahun 1989.

Biarpun album berkenaan merupakan titik tolak puncak kejayaannya, selepas dua tahun album itu diedarkan, Suliza mengambil keputusan menerima lamaran suaminya, Zainal yang juga usahawan syarikat Pengedar Utama Sdn. Bhd. yang pernah menerbitkan filem Pelumba Malam dan Isabella (1988).

Bermula dari situ, kehidupan Suliza berubah daripada artis popular kepada surirumah.

Aktif kerja amal

Selang masa berlalu, selepas anak- anak semakin dewasa, Suliza memberanikan diri menceburi bidang perniagaan dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

Bermula pada tahun 2004, Suliza memulakan langkah dalam bidang perniagaan dan konsultan untuk kem-kem motivasi.

Melalui PDSB Consultant, syarikat kendalian Suliza memberi tumpuan kepada membekalkan perunding berpengalaman kepada pusat-pusat pengajian tinggi.

Rutin hidup Suliza sebagai usahawan bermula pukul 10 pagi. Pada jam itu, dia akan berada di pejabatnya yang terletak di Ampang City, Ampang, Selangor.

Bukan saja memberi tumpuan pada perniagaan, sebaliknya, Suliza juga aktif dengan aktiviti-aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya beliau merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita Bukit Antarabangsa dan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Kebangsaan Wanita.

"Tugas Sue lebih kepada memantau golongan mualaf dan anak-anak yatim. Pengalaman sebagai penyanyi pada tahun 1984 memberi keyakinan pada Sue dalam usaha mengutip dana untuk tabung kebajikan mereka dengan menganjurkan persembahan.

"Alhamdulillah, walaupun ada yang beranggapan kerja ini tidak glamor, tapi bukan glamor yang Sue cari. Sue rasa tersangat bahagia apabila dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya terus-terang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.