VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 21/02/2010

Artis jadi ikon?




BOLEHKAH seseorang artis menjadi ikon dalam masyarakat? Apakah golongan yang kehidupan mereka menjadi sorotan lampu limpah itu patut diangkat menjadi contoh dan teladan untuk diikuti lebih-lebih lagi oleh generasi muda?

Tidak payah, tidak payah, tidak payah! Itu saranan berulang kali, ironiknya daripada seorang pelakon dan pengacara terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot ketika menjadi ahli panel dalam program bual bicara di ruang legar pusat beli belah KB Mall, Kota Bharu, Ahad lalu.

Wardina yang bercakap menerusi pengalamannya sendiri berkata dunia artis adalah dunia yang lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan banyak bersandarkan kepada keseronokan.

Katanya ada kalangan artis menghabiskan masa di kelab-kelab malam, mengambil dadah, minum arak dan terdedah kepada pergaulan bebas di luar batasan.

Malah katanya, budaya tidak solat dan berpuasa adalah 'standard' biasa bagi kebanyakan mereka termasuk dirinya yang merupakan kaki kelab malam satu ketika dahulu.

Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.

"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.

"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.

Wardina berkata dia bukan mahu mendabik dirinya sebagai yang terbaik tetapi dia sentiasa mendoakan kebaikan untuk dirinya kerana dia adalah contoh dan idola untuk anak-anaknya sendiri.

Katanya, apa yang merisaukan dirinya tentang kehidupan artis di Malaysia hari ini adalah apabila ada di kalangan mereka yang sering mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama tetapi tiada yang menegur.

"Saya takut bila perkara salah yang artis lalukan tidak menjadi salah lagi, perkara yang salah tidak ditegur para ustaz dan ulama, artis-artis jahil dan mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama. Tetapi tidak ada orang tegur, artis berbaju separuh bogel tidak ada orang tegur dan hiburan terlalu banyak dan melalaikan. Ini yang saya risau sebenarnya," katanya.

Program anjuran kerajaan negeri Kelantan itu telah mengupas tajuk Selebriti Sebagai Ikon Masyarakat dan turut mengundang novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy dan personaliti TV9, Farrah Adeeba Mohd. Ashraf sebagai ahli panel dengan dipengerusikan oleh pakar motivasi, Amin Idris.

Wardina berkata dia mula tersedar akan khilaf yang dilakukan dahulu apabila ditinggalkan bekas teman lelakinya yang mahu layanan lebih daripada seorang kawan.

Kata wanita ini, walaupun ketika itu kehidupannya agak bebas tetapi dia sentiasa mengingati pesan ibu bahawa seorang perempuan hanya boleh 'disentuh' oleh suami sendiri.

"Satu hari selepas boyfriend saya tinggalkan saya, saya terkapai-kapai. Dia kata sayang saya tetapi saya ditinggalkan, saya tanya diri sendiri, apa saya nak buat ni? Saya ni nak jadi apa? Saya tak tahu saya nak jadi apa, saya tak tahu.

"Setiap hari makan bangun tidur, malam pergi kelab malam, enjoy, balik rumah, itukah tujuan hidup kita? Saya terdiam dan saya cakap dekat mak saya mahu menunaikan umrah.

"Saya pergi Makkah dengan niat, Ya Allah, tolonglah bagi saya hidayah Ya Allah, saya amat memerlukan kasih daripada Allah, kalau Allah tidak sayang saya, tidak ada gunanya saya hidup.

"Orang lain tidak sayang saya, orang lain tidak suka saya, saya tidak kisah, tapi kalau Allah tidak sayang saya, saya tidak boleh hidup," katanya.

Ketika berada di Tanah Suci Mekah, Wardina berkata, dia terpaksa membawa buku panduan solat dan bacaan doa kerana sudah lupa cara menunaikan ibadat akibat kehidupan sebelum ini.

Katanya, perubahan itu juga berlaku kerana dia berusaha mencari ilmu dan kawan yang baik yang boleh membimbingnya ke arah kebaikan.

"Selepas saya bertudung ramai yang berkata saya tidak akan menjadi popular lagi dan tidak ada yang akan mengambil saya berlakon lagi.

"Tetapi apa yang terjadi? Iklan syampu pertama di dunia yang menampilkan wanita bertudung adalah iklan saya, pertama dalam dunia.

''Kemudian iklan itu dibawa ke luar negara, sebab apa? Iklan syampu itu selepas ia dikeluarkan, jualannya berkali-kali ganda. Terkejut semua orang," ujarnya.

Farah Adeeba pula berkata, dia tidak memilih untuk menjadi seorang selebriti tetapi sifat kerjanya sebagai wartawan penyiaran yang menuntut dia ke hadapan membuatkan dirinya dikenali ramai.

Katanya, walaupun kehidupan sebagai selebriti seolah-olah menjanjikan kehidupan yang istimewa, semua yang terlibat mestilah berhati-hati dan tidak meletakkan niat yang salah.

"Tidak salah menjadi selebriti tetapi kita hidup di dunia bukanlah untuk berseronok sahaja.

"Kita mesti letakkan niat yang betul dan tanamkan dalam jiwa untuk menjadi penyalur dakwah Rasulullah.

"Sentiasa bersifat rendah diri dan majukan diri dengan ilmu. Individu yang mahu martabatkan Islam mesti sentiasa berusaha mencari ilmu," katanya yang menasihatkan remaja yang hadir agar berusaha menguasai bahasa Inggeris.

Sementara itu, Habiburrahman pula berkata, bukan setakat artis sahaja yang boleh diistilahkan sebagai selebriti.

Penulis novel 'bestseller' Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih itu berkata, personaliti sukan, politik dan apa saja bidang juga tergolong dalam kelompok itu jika diri mereka terkenal dan kehidupannya sentiasa dibicarakan dan menjadi pusat tumpuan walaupun menjadi 'selebriti' itu bukan pilihan mereka.

Jelasnya, apa yang penting bagi seorang selebriti terutamanya artis adalah untuk menganggap semua perkara yang dilakukan adalah ibadah kepada Allah.

Ujarnya, pengaruh artis adalah besar dan berbeza impaknya daripada orang biasa dan setiap sisi yang baik mesti dimanfaatkan.

"Menjadi seorang selebriti sebenarnya membolehkan kita mendapat pahala yang berganda kerana apa yang kita lakukan biasanya akan mendapat liputan dan kemungkinan dicontohi orang lain.

"Misalnya, jika berita infotainmen memaparkan kisah seorang artis yang bersolat tahajud atau menghafal al-Quran, artis itu akan mendapat lebih pahala jika ada peminat yang mengambil teladannnya.

"Kisah begini sudah tentu lebih baik daripada cerita artis yang tiba-tiba hamil sebelum kahwin yang banyak berlaku di Indonesia," katanya.

Habiburrahman memberi contoh tentang salah seorang pelakon wanita dalam filem Bila Cinta Bertasbih, Alyss Norin yang baru masuk Islam terpaksa mencari guru untuk mengajarnya mengaji kerana kehendak wataknya sebagai Ilyana.

Katanya kisah Alyss mencari guru al-Quran menjadi bahan utama dalam slot-slot infotainmen di 11 stesen televisyen di negara tersebut.

"Ini sudah tentunya lebih baik daripada cerita negatif artis ditangkap kerana dadah," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.