VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 09/02/2010

Sarawak kaya warisan sejarah


SEBAHAGIAN tembikar serta barang-barang yang diperbuat daripada batu yang digunakan pada zaman purba ditemui dalam hutan di Miri, Sarawak.


MIRI 8 Feb. – Sarawak bukan sahaja dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli dan keindahan alam semula jadi, tetapi juga kaya dengan warisan sejarah dan budaya yang tinggi nilainya.

Muzium Sarawak mencatatkan sekurang-kurangnya 30 tapak arkeologi hasil penemuan artifak-artifak termasuk tugu-tugu dan pelbagai barangan lain.

Sebahagian daripada penemuan itu seperti seni kraf, tembikar, tengkorak dan peralatan yang digunakan pada zaman dulu kini dikumpul dan disimpan di Muzium Sarawak, Kuching untuk tujuan kajian dan dokumentasi.

Kebanyakan tapak budaya ini terletak di utara Sarawak, meliputi tanah tinggi Maligan di Ba’ Kelalan dan menganjur ke tanah tinggi Kelabit atau Bario, Banjaran Tamabu dan Gunung Murud, puncak tertinggi di Sarawak dengan ketinggian 2,424 meter.

Tanah tinggi Maligan yang terletak di sempadan Indonesia dihuni oleh masyarakat Lun Bawang meliputi beberapa kawasan perkampungan Long Semadoh hingga Long Sukang.

Penempatan ini mempunyai kira-kira 16,000 penduduk.

Manakala di Bario, kebanyakannya didiami oleh masyarakat Kelabit dengan kira-kira 14 kampung antaranya Long Lellang, Pa Dalih, Long Seridan.

Perkampungan ini mempunyai dua sungai iaitu Sungai Kelapang dan Sungai Depur.

Di Long Semadoh misalnya, terdapat lima tempat perkuburan lama yang mengandungi seramik-seramik pada zaman dinasti Ming serta tempayan yang mempunyai penutup dari kurun ke-18 dan ke-19.

Terdapat juga empat batu di Daerah Long Semadoh, satu di Long Rapuak dan tiga di Long Lapukan.

Batu-batu ini dipercayai digunakan untuk menanam barangan berharga.

Pengkaji sejarah, Tom Harrison pada 1973 mengenal pasti 110 perkuburan megalit manusia purba di Pa Main dan Palih, 38 tiang batu (Pa Lungan dan Pa Repun) dan 145 batu ukiran di Pa Umor dan Pa Dalih di Bario.

Selain itu Muzium Sarawak turut meninjau tapak budaya itu pada 1986 dan 2004 diikuti dengan kerja dokumentasi oleh Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) mulai 2004 hingga 2006.

Dalam pada itu, Kajian ITTO mengenal pasti 88 tapak budaya meliputi 41 tempat perkuburan purba, 37 batu megalit dan lima batu dipercayai sumpahan, telaga air panas dan telaga garam bukit.

Namun, peninggalan seperti tapak warisan budaya kini menghadapi pelbagai ancaman kemusnahan dan pupus selama-lamanya daripada muka bumi.


PENYELIDIK sejarah, Sarah Hitchner melakukan kajian di salah sebuah tapak budaya di Bario di Miri, baru-baru ini.


Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, tapak warisan tersebut kini diancam kemusnahan berikutan pendedahan terhadap cuaca global dan pembukaan lebih banyak kawasan hutan untuk tujuan pembangunan dan pertanian.

“Sebahagian daripada tapak budaya ini terdedah dengan elemen cuaca seperti tanah runtuh menyebabkan ia runtuh.

“Selain itu kedudukan yang terlalu jauh di pedalaman menyukarkan usaha memulihara.

“Pembangunan seperti pembukaan kawasan baru untuk jalan, pembalakan, lapangan terbang dan pembinaan rumah turut turut menjejaskan tapak budaya di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Miri baru-baru ini.

Tapak budaya tersebut turut terdedah dengan gejala laku kemusnahan oleh pihak yang tidak menghormati budaya dan adat resam masyarakat di situ.

Menurut Ipoi, kebanyakan tapak budaya ini terletak dalam kawasan ITTO.

Penyelidikan mendapati bahawa tradisi megalit di Bario dipercayai berlaku sejak 300 tahun lampau dan diamalkan sehingga 1949.

Katanya, dengan pembukaan kawasan tanah tinggi Bario dan Ba’ Kelalan untuk pembangunan, satu strategi seimbang perlu dilaksanakan bagi memelihara, membangun dan mempromosikan tapak budaya itu.

Dalam hal ini, Muzium Sarawak memainkan peranan penting bagi memastikan tapak budaya tersebut tidak terjejas termasuk memperkenalkan sistem dokumentasi menggunakan peranti sistem penentu global (GPS).

“Sistem ini dibangunkan dengan kerjasama ITTO, Hitchner dan Muzium Sarawak bagi mengelakkan kawasan itu diganggu oleh aktiviti pembangunan.

“Selain itu, kita menubuhkan Jawatankuasa Tapak Budaya Kampung bagi membantu ketua kampung dan komuniti tempatan untuk menjaga, menyelia dan melakukan kempen kesedaran termasuk mengedarkan poster dan dialog,” kata Datan.

Muzium Sarawak turut melaksanakan strategi pemuliharaan termasuk memohon agar kawasan liputan Taman Negara Pulong Tau diperluaskan untuk melindungi lebih semua tapak budaya di situ dipelihara dan dilindungi.

Menurut Datan, Muzium Sarawak turut bercadang untuk menyenarai dan mewartakan sebanyak mungkin tapak budaya tersebut di bawah Ordinan Warisan Kebudayaan Sarawak 1993 serta meletakkan papan tanda.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu masih banyak tapak budaya belum lagi diselidiki sepenuhnya iaitu di Long Banga dan Long Peluan di Ulu Baram serta Mulu dan Pa Adang di Ulu Limbang.

“Muzium Sarawak komited untuk memulihara dan melindungi tapak budaya ini agar ia tidak hilang ditelan zaman.

“Selain itu usaha ini diharap dapat mempromosikannya sebagai tempat pelancongan baru,” ujarnya.

Selain itu, jabatan akan mendapatkan kerjasama World Wide Fund for Nature (WWF) untuk membincangkan isu pemuliharaan tapak budaya di kawasan persempadanan Brunei, Sabah dan Kalimantan Timur.

“Kebanyakan tapak budaya di Sarawak terletak di tanah tinggi Bario dan Ba’ Kelalan yang mana sebahagian daripadanya sukar dihubungi menyebabkan usaha melindungi tempat ini sukar dilaksanakan.

“Namun dengan kerjasama semua pihak termasuk Muzim Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ITTO dan WWF, usaha melindungi tapak budaya ini tidak mustahil.

“Melalui kerjasama dan komitmen semua pihak, kita yakin dapat ‘menyelamatkan’ lebih banyak tapak budaya yang berharga ini untuk tatapan generasi akan datang,” jelasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.