EKONOMI

ARKIB : 02/02/2010
Industri insurans hadapi tahun mencabar

Industri insurans hadapi tahun mencabar

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Tokio Marine Insurans (M) Bhd. (TMIM) meramalkan tahun 2010 merupakan tahun mencabar untuk industri insurans tempatan berikutan masih wujudnya ketidaktentuan ekonomi.

Selain itu, TMIM turut menjangka persaingan sengit akan dihadapi peserta industri insurans pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Micheal Heng Kiah Ngan berkata, walaupun bakal menghadapi persaingan sengit, syarikat masih mampu bertahan dan mengekalkan pertumbuhan dalam perniagaan sepanjang tahun ini.

Malah, katanya, premium insuransnya juga dijangka mampu tumbuh lima hingga 10 peratus pada tahun ini.

“Kami meramalkan ekonomi pada tahun ini masih lagi tidak menentu dan masih banyak pelanggan di kalangan pengilang dan sektor perindustrian masih belum keluar dari kemelut krisis ekonomi.

“Dagangan eksport juga masih bergerak perlahan, namun ekonomi tempatan akan menunjukkan pertumbuhan kukuh,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas sidang akhbar yang diadakan di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, S. Jayakumar dan Ketua Pegawai Kewangan serta Pengurus Besar TMIM, Hasliza Hashim.

Kiah Ngan baru sahaja memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif TMIM pada 1 Januari lalu.

Beliau menggantikan Phang Kwang Chee yang telah berpindah ke anak syarikat TMIM.

Kiah Ngan menyertai TMIM sejak 3 Disember 2007 lalu dengan jawatan awalnya Pengurus Besar Kanan.

TMIM merupakan syarikat insurans kelima terbesar di Malaysia.

Ketika ditanya misi beliau dalam menerajui syarikat, Kiah Ngan berkata, beliau berhasrat memperkukuhkan pasukan pengurusan selain berazam mengekalkan keuntungan syarikat.

Beliau turut merancang untuk menstruktur semula beberapa perniagaan yang dijalankan selain menaik taraf sistem infrastruktur TMIM.

Pada tahun ini, jelasnya, TMIM memperuntukkan antara RM2 juta hingga RM5 juta untuk menaiktaraf sistem sedia ada.

Kos pelaburan itu adalah untuk kerja-kerja menaiktaraf sistem berkenaan bermula tahun ini hingga beberapa tahun akan datang.

Beliau juga menyasarkan premium insurans keseluruhan TMIM mampu mencapai lebih RM710 juta berbanding RM701 juta pada tahun lalu.

Katanya, walaupun pertumbuhan premium itu kecil namun ia menunjukkan syarikat masih mampu bertahan dalam industri pada tahun ini.

Perniagaan insurans motor merupakan penyumbang premium utama kepada TMIM dengan 58 peratus diikuti insurans kebakaran (16 peratus), kargo (tujuh peratus) dan kemalangan peribadi (tiga peratus).

TMIM turut menawarkan perkhidmatan insurans risiko projek, liabiliti, perubatan dan pelbagai lagi.

Syarikat turut merancang untuk membuka dua buah cawangan pada bulan ini, masing-masing di Butterworth, Pulau Pinang dan Mersing di Johor.

TMIM kini mempunyai 22 buah cawangan.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook