VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 25/01/2010

Rosnah tercari-cari Rosnah


ROSNAH Mohd. Noor bersama dua daripada tiga orang anaknya, Wan Ramada Agus Putra (tengah) dan Wan Syahira Putri Aprena (kiri).


SAMA ada sedar atau tidak, ketika aktres ini menempa kemasyhuran di era 1980-an, kekeliruan sering tercetus di kalangan peminat seni.

Ketika era berkenaan, industri perfileman tanah air menyaksikan kehadiran dua aktres yang memiliki permulaan nama yang serupa.

Seorang Rosnah Mohd. Noor dan seorang lagi Rosnah Abdul Rahman.

Lalu, tidak hairanlah kenapa aktres, Rosnah Mohd. Noor yang kini berusia 49 tahun sering membuatkan peminat-peminatnya keliru.

Antara peristiwa yang masih tersimpan rapi di kotak fikirannya ialah pada awal tahun 1982 ketika dia membintangi filem Ribut di Hujung Senja bersama Allahyarham Ed Osmera, Ismail Mahmud dan Gaya Zakry.

Meskipun dalam filem sulung lakonannya itu, Rosnah memegang watak pembantu namun popularitinya melonjak dalam sekelip mata.

Semuanya gara-gara ramai yang menyangka dia Rosnah Abdul Rahman.

"Ketika tahun yang sama Rosnah Abdul Rahman sangat popular menerusi filem Kisah Seorang Biduan jadi orang ramai mula keliru.

"Sebetulnya saya sendiri hairan macam mana peminat boleh keliru sebab kami berdua mempunyai personaliti dan fizikal yang berbeza.

"Saya agak rendah dan berambut pendek sementara Rosnah Abdul Rahman pula tinggi lampai orangnya dan berambut panjang," kata Rosnah penuh kehairanan.

Biarpun kekeliruan sering berlaku, namun Rosnah tidak pernah menyesal bahkan sesekali berasa begitu seronok.

Cuma kini apa yang menjadi tanda tanya dalam dirinya ialah ke mana menghilang 'kembarnya'.

"Sudah lama kami tidak bersua. Saya tercari-cari di mana agaknya Rosnah Abdul Rahman berada. Rindu benar padanya.

"Puas saya mencari dia. Ada yang memberitahu, Rosnah kini di Melaka," jelasnya menceritakan kerinduannya pada teman baiknya pada pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Mengimbas kerjaya seni pelakon itu, biarpun Ribut Di Hujung Senja filem yang memperkenalkan Rosnah dalam gelanggang perfileman, namun lakonannya dalam filem Di Ambang Kasih paling diingati ramai.

Dalam filem yang diterbitkan pada tahun 1985 itu, lakonannya sebagai Ayu, isteri muda kepada Yusof Haslam, benar-benar meruntun hari dan jiwa seorang wanita bergelar isteri.

Betapa tidak, Ayu yang berkahwin dengan abang iparnya (Yusof Haslam) sehingga mempunyai anak, setelah kakaknya (Rubiah Suparman) hilang ingatan terpaksa membuat pilihan antara kasih suami dan kasih seorang adik terhadap kakaknya.

"Saya sendiri tidak sangka watak Ayu bukan sahaja telah meletakkan nama saya di bibir para peminat malah kerana filem itulah saya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia pada tahun 1986," cerita Rosnah betapa berkesannya watak Ayu dalam kariernya sebagai pelakon.

Filem itu bukan sahaja menjadi titik tolak nama Rosnah terus kukuh di persada seni tanah air malah ia juga menjadi rebutan penerbit filem dan drama.

Antara filem lain lakonannya ialah Hantu Siang dan Aku Yang Berhormat.

Sementara Sentuhan Kasih dan Jauh Dikenang, Dekat Disayang merupakan antara dua drama RTM arahan Allahyarham Roslee Jalil yang membuatkan Rosnah mendapat perhatian daripada para peminatnya.

Bagaimanapun, apabila menyedari peluang menerbitkan drama untuk TV semakin terbuka, Rosnah yang memang meminati bidang terbitan menubuhkan syarikat penerbitan sendiri RMN Production Sdn. Bhd., pada tahun 1988.

Racun Bulan Madu untuk slot Cerekarama TV3 arahan Datuk Aziz Sattar bukan sahaja menjadi drama pertama terbitan syarikatnya malah ia juga menjadi drama pertama lakonan Rosnah dan suaminya ketika itu, penyanyi Iwan.

"Setelah berkahwin pada Disember 1988, syarikat saya menerbitkan drama itu dan apabila menyedari Iwan minat berlakon , Aziz Sattar memberi ruang kepadanya berlakon. Itulah drama pertama dan terakhir kami berlakon berdua," cerita Rosnah sambil ketawa.

Namun begitu, ibu kepada tiga anak hasil perkahwinannya dengan bekas suaminya Iwan iaitu Wan Ramada Agus Putra, 20, (baru menamatkan pengajian di Australia), Wan Shamira Putri Octavia, 18, dan Wan Syahira Putri Aprena,17, tiada jawapan ketika ditanya apa alasan Racun Bulan Madu menjadi drama terakhir lakonan mereka berdua.

Sebaik menceburi bidang penerbitan, Rosnah mengambil keputusan berhenti berlakon kerana mahu memberi tumpuan pada RMN.

"Bagaimanapun apabila negara dilanda gawat pada tahun 1997, RMN terus menyerikan diri dan saya menumpukan perhatian pada perniagaan lain," akui Rosnah.

Menurut Rosnah, apabila RMN tidak aktif, dia menumpukan perhatian kepada syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan.

Namun begitu, minat dan kecenderungan pada kerja-kerja penerbitan program televisyen masih lagi ada dalam dirinya.

"Insya-Allah saya akan menerbitkan drama-drama berdasarkan kisah benar daripada Anti Dadah Kebangsaan," kata pelakon itu lagi.

Dalam kerancakan bercerita mengenai perihal kerjayanya, hati kecil Rosnah bagaimanapun terusik ketika ditanya mengenai perkahwinan keduanya pada tahun 1998 dengan Kazmin Kuzi, 46.

"Bagi saya hidup dalam sebuah rumah tangga keikhlasan, kasih sayang dan kejujuran itu penting.

"Walau apa yang terjadi dalam kehidupan rumah tangga saya, saya masih ada anak-anak yang perlu saya tanggung dan diberi perhatian serta kasih sayang," kata Rosnah yang mengakui sudah enam bulan tidak sebumbung dengan Kazmin.

Biar kekecewaan bersarang di jiwa, namun suatu yang pasti, wajah Rosnah tetap ceria melayan temu bual dengan Hits.

Barangkali juga, Rosnah terbayang-bayang momen-momen manis ketika namanya berada di puncak.

Dan penulis merupakan antara wartawan yang melihat dari dekat perkembangan kerjaya pelakon putih gebu itu.

Yang pasti juga, keramahan dan kemesraan Rosnah di mata penulis masih tidak berubah seperti juga ketika di zaman anak daranya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.