VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 September 2014 / 5 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 19/01/2010

Bersama memelihara seni tarian - Sasha


SASHA kini bahagia di samping suami, Yani Hijjas .


UNTUK memelihara dan mengangkat sesuatu seni tarian tradisional, ia perlu ada guru, pelajar dan audiens. Jika salah satunya tidak ada, seni tarian itu pasti akan pupus.''

Itu jelas pengacara terkenal, Sasha Bashir yang begitu mengagumi seni tarian tradisional tatkala diberikan peluang mengacara program dokumentari Dansa yang memaparkan tarian-tarian tradisional di sekitar Malaysia serta beberapa negara luar.

Kata Sasha, tarian tradisional sememangnya unik dan kaya dengan sejarahnya yang tersendiri.

Turut terhimpun di dalamnya koleksi busana yang sering kali digayakan ketika menari, jelasnya, seni tarian diakui mampu memupuk semangat setiakawan.

Atas dasar keunikan-keunikan itu, ujarnya, seni tarian tradisional perlu dipertahankan agar ia terus relevan sepanjang zaman.

''Saya meminati tarian sejak kecil. Tetapi, sebelum mempelajari sesuatu tarian, kita harus kenal sejarahnya terlebih dahulu.

''Kalau menyebut tentang tarian tradisional, negara kita amat kaya dengan seni tersebut dan ada juga tarian yang sebelum ini tidak pernah saya dengar.

''Untuk itu, peluang menjadi hos Dansa membolehkan saya mendekati tarian berkenaan,'' katanya ketika ditemui pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Dokumentari Dansa sebelum ini pernah disiarkan di dalam bahasa Melayu di TV3. Bagi mengembangkan lagi pengetahuan masyarakat Malaysia terhadap seni tarian tradisional, Dansa kini bersiaran pula di ntv7 dalam format bahasa Inggeris.

Mengekalkan Sasha selaku hos, Dansa menjadi harapan ntv7 akan terus menambat hati penonton setianya yang hadir daripada golongan urban dan pelbagai kaum.

Dansa membawa penonton melihat bagaimana Sasha mempelajari sesuatu tarian tempatan dalam masa tiga hari sebelum disiarkan ke kaca televisyen.

Dokumentari ini turut menawarkan pandangan yang lebih mendalam mengenai keunikan budaya dan tradisi yang diwakili oleh setiap jenis tarian.

Untuk itu, Sasha menjelajah ke beberapa tempat seperti Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sementara negara luar pula, Sasha berkesempatan mempelajari tarian tradisional masyarakat di Jepun, Thailand, Indonesia dan Australia.

Terbit buku

Mengulas lanjut, Sasha berkata, selain berpeluang menjadi hos dan mempelajari teknik-teknik tarian, dia melihat peluang itu untuk tidak hanya terhenti memartabatkan tarian tradisional setakat di kaca televisyen sahaja.

Justeru, graduan West Australian Academy of Performing Arts ini mengambil kesempatan itu untuk menerbitkan sebuah buku berjudul Dansa: A Dance Journey.

Buku yang mengandungi 200 halaman ini menghidangkan lebih 250 keping visual yang tidak pernah didedahkan dalam rancangan termasuklah saat-saat di belakang tabir yang berjaya dirakamkan oleh Sasha dan krew di 13 lokasi menarik tersebut.

Antara jenis tarian yang dimuatkan di dalam buku tersebut adalah Joget Serampang Laut, Zapin Pulau, Randai, Poja dan Petenun, Dabus, Pelanduk, Saba, Sumayau, Ngajat Lesung, Kecak, Fawn Leb, Ougi Odori dan Australian Aboriginal.

Berharga RM130, ia telah pun dipasarkan beberapa bulan lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta seni tanah air.

''Ia ditulis dalam bahasa Inggeris agar dapat dipasarkan ke luar,'' tambahnya.

Tidak sorok cerita kahwin

Sementara itu, bertukar kepada topik lain, Sasha diajukan persoalan mengenai sikapnya yang bertindak menyorok majlis pernikahannya kepada pihak media.

Menjawab mengenai dakwaan berkenaan, Sasha bagaimanapun berkata, dia tidak berniat untuk berbuat demikian.

''Saya tidak merahsiakannya. Cuma, saya dan keluarga hanya mahu membuat majlis secara kecil-kecilan sahaja.

''Saya dan Yani Hijjas bernikah 18 Oktober lalu. Ia hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja,'' katanya.

Ditanya tentang detik-detik perkenalannya bersama Yani, Sasha menjelaskan, semuanya bermula lima tahun lalu.

''Ketika itu saya dan Yani bertemu di sebuah pameran kesenian.

''Dia pun minat seni. Lima tahun berkenalan, dia melamar saya beberapa bulan sebelum kami bernikah.

''Dia juga memberi saya semangat untuk menghasilkan buku Dansa : A Dance Journey. Dia menjadi sumber rujukan saya,'' jelasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:08
Isyak 8:17


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.