VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 05/01/2010

Melatih bilal muda


Mohd. Zaki Arshad menunjukkan cara yang betul melaungkan azan pada sesi bengkel Kursus Bilal Muda 2009, baru-baru ini.


Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Azan dari segi bahasa ialah al-i'lam (pemberitahuan) atau an-nida (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Pemberitahuan daripada Allah dan Rasul-Nya kepada sekelian manusia. (at-Taubah: 3)

Rasulullah SAW bersabda: Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Iqamat pula bermaksud sebutan tertentu untuk membangkitkan para hadirin mengerjakan sembahyang.

Antara individu penting yang bertanggungjawab melaungkan azan ialah muazin atau lebih dikenali sebagai bilal.

Ia mengambil sempena sama sahabat Nabi SAW iaitu saidina Bilal ibn Rabah iaitu salah seorang yang dijamin masuk syurga.

Menyedari hakikat itu, Masjid An-Nur, Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor dengan kerjasama Maulana Edutainment menganjurkan Kursus Bilal Muda 2009 sempena musim cuti persekolahan baru-baru ini.

Program separuh hari itu dikendalikan oleh Hazizul Masdin dari Maulana Edutainment. Beliau bertugas di Unit Pengurusan Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selagor.

Hazizul dibantu oleh Bilal Masjid Negeri Selangor, Shah Alam iaitu Mohd. Zaki Arshad. Seramai 18 remaja berusia 11 hingga 16 tahun menyertainya.

Program dibahagikan kepada dua sesi iaitu ceramah tentang adab, syarat dan kaedah sebagai bilal. Sesi kedua adalah bengkel azan dan iqamat.

Pada sesi pertama, para peserta diberitahu tentang kelebihan menjadi muazin. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

* Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu. (riwayat Muttafaq 'Alaih)

* Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada hari akhirat. (riwayat Bukhari)

lTukang azan adalah orang yang paling panjang leher di hari akhirat. (riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

lBarang siapa azan tujuh tahun dengan ikhlas kerana Allah SWT, nescaya wajib baginya lepas dari api neraka. (riwayat at-Tirmizi)

Menurut pendapat yang sahih daripada ulama Syafie dan Hanbali, azan beserta iqamat adalah lebih baik daripada menjadi Imam.

Ini bersandarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal soleh. (Fussilat: 33)

Saidatina Aisyah berkata: "Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan".

Di dalam hadis lain ada juga menyebut: "Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan". (riwayat Syafie, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Sementara itu, Nazir masjid, Harun Abd. Rahman berkata, kursus begini adalah antara aktiviti yang dirancang untuk menarik golongan remaja berjinak-jinak di masjid.

Katanya, selain membentuk dan melatih mereka menjadi bilal, kursus begini dapat memberi lebih keyakinan kepada mereka untuk menjadi muazin.

"Ini adalah kumpulan perintis. Jika berjaya, kita akan teruskan lagi dan akan memperluaskannya kepada golongan dewasa pula," katanya semasa berucap merasmikan penutupan kursus.

Pada majlis itu, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing. Pihak masjid turut menaja sarapan pagi dan makan tengah hari untuk peserta serta tenaga pengajar kursus.

Dari segi sejarah, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Hal ini terkandung dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r.a. Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya.

Pada suatu hari baginda SAW telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.

Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera telah berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai.

Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi.

Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani.

Mimpi yang benar

Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.

Semua usul yang diajukan itu ditolak oleh Nabi SAW. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: "Telah datang waktu solat".

Usul beliau ini telah diterima oleh Nabi SAW tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz assolatu jami'ah yang bererti "marilah solat berjemaah".

Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi tentang seorang lelaki yang datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: "Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?"

Abdullah menjawab: "Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai".

Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata: "Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?"

Abdullah menjawab: "Itu baik sekali". Lalu pembawa loceng itu berkata: "Kumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)".

Pada esok paginya, Abdullah bin Zaid menemui Nabi SAW yang bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar".

Nabi SAW memerintahkan Bilal mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada nabi dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh Abdullah bin Zaid.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.