VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 03/01/2010

Bahaya herba tradisi pada ibu


Dr. Azriani Ab.Rahman Pensyarah PerubatanJabatan Perubatan MasyarakatPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia, Kelantan.


ADAKAH anda peminat setia ubatan tradisional? Anda perlu befikir dengan berhati-hati sebelum meneruskan niat untuk mengambil ubatan herba tradisional terutamanya jika anda disahkan berbadan dua.

Ubatan tradisional adalah ubatan yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada bahan aktifnya bersumber daripada tumbuhan ubatan (herba). Ia digunakan dengan tujuan untuk menghalang atau merawat penyakit atau juga untuk meningkatkan tahap kesihatan.

Ubatan herba diambil sama ada dalam bentuk asal bahagian tumbuhan tersebut seperti buah, bunga, rizom (ubi) atau dalam bentuk air rebusan seperti rebusan akar, batang atau daun atau juga dalam keadaan yang telah diproses di kilang ubatan sama ada dalam bentuk serbuk, ekstrak air atau ekstrak pelarut kimia yang dikeringkan dan dijadikan kapsul, pil herba atau bentuk cecair.

Kajian yang dijalankan oleh para penyelidik daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (PPSP, USM) menunjukkan bahawa pengambilan ubatan tradisional yang mengandungi tumbuhan herba adalah popular di kalangan wanita hamil di negara ini. Kajian yang dijalankan di sebuah daerah di Kelantan pada 2005 ini menunjukkan 51 peratus daripada 316 wanita yang disoal selidik mengakui mereka mengambil ubatan herba semasa hamil.

Dalam satu kajian berbeza, dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) oleh Puan Law KS dan rakan-rakan antara bulan September dan Disember 2007 menunjukkan 34.3 peratus wanita Melayu yang dimasukkan ke wad antenatal HUSM mengakui mengambil ubatan herba semasa hamil dan 73 peratus daripada mereka mengambilnya semasa bersalin.

Kajian yang dijalankan oleh penulis dan rakan-rakan pada 2005 telah cuba menyelidiki tujuan utama pengambilan ubatan herba tradisional oleh golongan wanita tersebut. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, wanita mengambil ubatan herba tradisional boleh dibahagi kepada dua golongan.

Golongan pertama ialah wanita yang mengambil herba sebelum mereka hamil. Hasil kajian menunjukkan bahawa tujuan golongan ini mengambil ubatan herba adalah untuk menjarakkan kelahiran, mengatasi masalah sakit-sakit badan serta membantu meningkatkan kepuasan hubungan kelamin. Di antara herba yang dilaporkan popular untuk memenuhi keperluan tersebut adalah manjakani, kacip fatimah dan mas cotet.

Walaupun mereka mula mengambil ubatan herba sebelum disahkan hamil lagi, ramai yang dengan tidak sengaja telah meneruskan pengambilan ubat herba tanpa menyedari yang mereka telah hamil disebabkan tidak merancang kehamilan. Apabila disahkan hamil, ada yang segera berhenti daripada mengambil ubatan herba. Namun begitu, ketika mereka membuat keputusan untuk berhenti, usia kehamilan telah mencecah beberapa minggu atau bulan.

Golongan wanita yang kedua adalah wanita yang memang mengetahui bahawa diri mereka hamil dan sengaja mengambil ubatan herba khas untuk kehamilan. Di antara ubatan herba tradisional yang menjadi pilihan golongan ini adalah sanggul fatimah, bunga kembang semangkuk yang direbus dan diminum airnya atau minyak kelapa yang dibacakan doa atau disebut 'minyak selusuh' untuk mempermudahkan proses kelahiran.

Ada juga yang beranggapan ubatan herba dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdikan janin serta mengatasi masalah lekat uri (retained placenta). Di samping itu, ada juga segelintir wanita yang mengakui pernah mengambil tumbuhan dikenali sebagai pokok celaka untuk menggugurkan kandungan atau melawaskan haid.

Persoalannya, apakah ada kajian yang telah membuktikan keberkesanan ubatan herba untuk tujuan tersebut?

Kesan


PENGAMBILAN ubat moden dan tradisional perlu dipantau bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan ibu dan juga janin yang dikandung.


Setakat ini tiada lagi kajian yang dijalankan di kalangan wanita hamil di negara kita untuk membuktikan keberkesanan herba tempatan dalam memenuhi keperluan dan hasrat tersebut kerana kajian sebegini agak berisiko.

Selain daripada keberkesanan, persoalan yang jauh lebih penting adalah tahap keselamatan ubatan herba tempatan! Jika anda beranggapan bahawa ubatan herba ini sudah tentu selamat daripada kesan sampingan kerana ia adalah daripada tumbuh-tumbuhan semulajadi, anda tersilap.

Menurut hasil tulisan saudara Husin, A dalam artikelnya bertajuk Adverse effects of herbs and drug-herbal interactions yang diterbitkan di dalam Malaysian Journal of Pharmacy pada 2001, keracunan dan kesan sampingan herba yang pernah dilaporkan kepada Pusat Racun Negara di antara tahun 1995 hingga tahun 2000 meliputi lapan kes pada 1995, tiga kes (1996), lima kes (1997), 11 kes (1998), tujuh kes (1999) dan sembilan kes (sehingga tahun 2000).

Di antara herba terlibat adalah jering, kulat kayu, kecubong, ubi kayu, daun mambu dan 'gel pelangsing'. Kementerian kesihatan Malaysia melaporkan 37 peratus daripada 5,000 pesakit buah pinggang di Malaysia turut dikaitkan dengan penggunaan ubatan tradisional dalam jangka masa panjang.

Walaupun bersumberkan tumbuh-tumbuhan, ubatan herba juga tidak terkecuali daripada kesan yang membahayakan kesihatan kerana beberapa faktor seperti:

l tumbuhan itu sendiri mempunyai bahan aktif yang kadang kala boleh memberi kesan toksik atau bahaya kepada ibu mahupun janin. Misalnya, Jus mengkudu dilaporkan mengandungi kandungan garam kalium yang tinggi yang membahayakan sesiapa yang mempunyai masalah buah pinggang. Garam kalium yang tinggi dalam darah juga boleh mengganggu proses denyutan jantung.

l ubatan herba itu boleh tercemar dengan kuman atau logam berat seperti plumbum semasa proses pengambilan, penyimpanan atau proses pemprosesan ubat itu sendiri.

l Kementerian Kesihatan melaporkan 95 peratus produk ubatan herba tradisional yang tidak berdaftar mengandungi steroids

l Interaksi di antara ubatan herba dan ubatan moden jika diambil pada masa yang sama boleh mengganggu proses penyerapan dan perkumuhan ubatan moden. Misalnya, ubatan tradisional yang mengandungi salicylic acid boleh berinteraksi dengan ubat aspirin yang diambil oleh pesakit jantung untuk menghalang pembekuan darah. Ini boleh mengakibatkan risiko perdarahan terutama jika pesakit mengalami luka atau menjalani pembedahan.

Sebenarnya tidak banyak kajian yang telah dilakukan terutamanya keatas herba-herba tempatan untuk menentukan kesannya kepada janin jika diambil semasa mengandung. Tumbuhan herba mengandungi bahan-bahan aktif yang boleh menyeberangi uri (plasenta) dan seterusnya meninggalkan kesan kepada janin.

l Keguguran - Kajian ke atas tikus hamil yang dijalankan oleh Profesor Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di PPSP, USM menggunakan herba yang biasa diambil oleh Komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan sebagai herba perancang keluarga mendapati herba tersebut boleh menyebabkan keguguran janin kerana bahan aktifnya menyebabkan ketidakseimbangan hormon estrogen dan progestron yang penting dalam mengekalkan kehamilan .

l Kecacatan - Ada wanita yang mengambil herba jika terlewat datang haid dengan tujuan untuk menggugurkan kandungan mereka. Ada yang berjaya, iaitu kandungan tersebut gugur. Namun begitu, tidak kurang juga yang gagal - keguguran tidak berlaku. Janin akan terus hidup dalam rahim ibu dengan pelbagai risiko akibat daripada kesan ubatan herba yang diambil tadi. Salah satu daripadanya ialah risiko kecacatan. Sekiranya ubatan herba diambil dalam tempoh awal kehamilan (3 bulan pertama), bayi yang dilahirkan mungkin akan mengalami kecacatan teruk kerana tempoh 3 bulan pertama ini adalah tempoh di mana anggota utama janin terbentuk. Bahan aktif atau toksik daripada sesetengah ubatan herba boleh mengganggu proses pembentukan anggota janin. Hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Siti Amrah ke atas tikus hamil turut menunjukkan sejenis herba tempatan yang begitu popular digunakan untuk rawatan darah tinggi, kencing manis dan jantung menyebabkan janin tikus cacat dengan dagu bawah yang kecil (micrognathia) dan kecacatan pada tempurung kepala janin tikus.

l Bayi lemas - Ada wanita yang mengambil produk herba tempatan untuk mempercepatkan proses kelahiran bayi. Biasanya mereka akan mengambil herba ini selepas usia kehamilan mencecah 6 bulan ke atas kerana percaya herba ini boleh membantu mempercepatkan bukaan pangkal rahim. Setakat ini, tiada lagi kajian ke atas herba tempatan untuk membuktikan fakta tersebut! Namun begitu, kajian di negara lain ke atas produk ubatan herba tempatan mereka menunjukkan tumbuhan yang diambil dan dipercayai boleh mempercepatkan proses kelahiran ini memang terbukti mengandungi bahan aktif yang meningkatkan pengecutan rahim yang seterusnya membantu bukaan pangkal rahim. Bagaimanapun, pengambilan herba secara berlebihan berisiko menyebabkan peningkatan pengecutan rahim yang berlebihan dan boleh menyebabkan janin lemas kerana kekurangan oksigen. Jika pengecutan rahim yang berlebihan ini berlaku sebelum kandungan cukup matang, kelahiran 'tidak cukup bulan' boleh berlaku yang akan menimbulkan banyak masalah kepada bayi.

l Kematian janin - Mengikut kajian oleh penulis sendiri dan rakan-rakan di sebuah daerah di Kelantan, pengambilan ubatan herba dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan menunjukkan ada kaitan dengan kadar kematian bayi semasa di dalam kandungan atau dalam tempoh 6 hari kelahiran (kematian awal bayi - early neonatal death). Namun begitu, kajian kami turut mendapati pengambilan herba seperti 'minyak kelapa' yang lebih dikenali sebagai 'selusuh' oleh ibu hamil dalam tempoh 3 bulan terakhir kehamilan (trimester ketiga) menunjukkan kaitan pengurangan kadar risiko kematian awal bayi. Walaubagaimanapun kedua-dua penemuan di atas memerlukan kajian lanjutan untuk menentukan kandungan sebenar herba tersebut dan memastikan kesannya ke atas janin.

Waspada


CONTOH herba yang biasa digunakan wanita tempatan ketika mengandung.


Memastikan sesuatu ubatan tradisional adalah benar-benar selamat sebelum mengambilnya adalah penting kerana kebanyakan ubatan tradisional boleh dibeli di kedai, farmasi atau dipesan daripada bidan kampung atau dibuat sendiri tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Sebelum membeli atau mengambil sebarang Ubatan Tradisional, semak maklumat berikut:

l perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia

l maklumat tentang kesan sampingan

l maklumat tentang kesan kepada janin

l boleh atau tidak boleh diambil oleh ibu hamil

Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian kesihatan untuk memastikan ubatan herba selamat kepada pengguna meliputi:

l Pendaftaran ubat-ubatan - Di bawah peraturan Kawalan dadah & kosmetik (Control of drugs and cosmetics regulation), sebelum boleh didaftarkan, kementerian telah menetapkan kriteria bahawa produk hendaklah telah diuji dan dipastikan selamat daripada pencemaran kuman, logam berat dan mempunyai label. Pendaftaran adalah penting kerana jika berlaku sebarang kesan sampingan, mudah bagi pihak kementerian untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap produk dan juga pengeluar produk tersebut.

l Pemantauan - Bahagian penguatkuasa kawalan dadah (Drug Control Authority) adalah badan yang bertanggungjawab memantau keselamatan ubatan moden (farmaseutikal) atau pun ubatan tradisional. Anda hendaklah memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan jika berlaku. Maklumkan kepada Doktor jika anda mengalami sebarang kesan sampingan daripada Ubatan Tradisional. Doktor akan melakukan pemeriksaan dan membuat pengesahan mengenai kemungkinan kesan sampingan tersebut. Doktor juga akan membuat laporan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dengan mengisi borang khas yang terdapat di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

Kesimpulannya, keselamatan ubatan herba tempatan masih lagi menjadi tanda tanya kerana hanya sedikit kajian yang telah dijalankan untuk menentukan sama ada ubatan herba tempatan selamat kepada janin. Kajian yang sedia ada, walaupun dijalankan ke atas tikus, telah menunjukkan risiko kecacatan kepada janin. Oleh itu, berhati-hatilah dan ikutilah nasihat berikut:

l seboleh-bolehnya, elakkan mengambil ubatan herba semasa hamil

l jika anda masih hendak mengambilnya, pastikan anda mengambil produk yang diiktiraf oleh kementerian kesihatan, ada maklumat yang sahih tentang kesan kepada kehamilan

l jika anda mengambilnya dalam keadaan anda tidak hamil, pastikan anda betul-betul merancang kehamilan anda supaya dapat berhenti mengambil sebarang ubat sebelum anda hamil.

l Berbincang dan dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil sebarang Ubatan Tradisional semasa hamil

n Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Prof Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di Jabatan Farmakologi, PPSP, USM.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.