VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 30/12/2009

Penentu kelangsungan hidup di belantara


Seorang anggota tentera menerangkan sesuatu kepada rombongan wakil media tentang cara memasak haiwan yang ditangkap semasa taklimat Perkampungan 'Survival' pada program ATM bersama media di kawasan operasi, Gerik, Perak.


DALAM melaksanakan tugas sebagai seorang anggota tentera di perbatasan negara, pelbagai elemen bahaya dan risiko perlu dihadapi.

Baik bahaya diserang pihak musuh, binatang buas, mahupun tersesat, ia tetap mendatangkan satu impak negatif hatta sehingga kehilangan nyawa kepada seseorang anggota tentera.

Justeru, sebelum seseorang anggota tentera diatur gerak ke medan perang, mereka akan dilatih dengan pelbagai kemahiran dan ilmu yang mendalam bagi menghadapi musuh negara.

Salah satu kemahiran yang perlu ada pada setiap anggota tentera adalah 'Survival' atau ikhtiar hidup yang membawa makna apa sahaja perkara, perbuatan serta tindakan yang berkaitan untuk meneruskan hidup apabila keadaan sekeliling boleh menyebabkan kematian.

Tiada siapa mampu meneka bila mereka akan menghadapi keadaan terdesak yang memerlukan mereka melakukan apa sahaja demi memastikan kelangsungan hidup dan di mana mati bukan menjadi satu pilihan.

Apatah lagi bagi anggota tentera yang terpaksa bertugas di tengah-tengah belantara yang kita sedia maklum penuh dengan pelbagai risiko yang berbahaya.

Justeru, dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ikhtiar hidup merupakan salah satu subjek yang wajib dipelajari dan dikuasai oleh setiap anggotanya sebelum bertugas di mana-mana kawasan operasi.

Ia bertujuan memastikan setiap anggota yang di hantar ke perbatasan mampu bersedia dan meneruskan hidup sekiranya keadaan menjadi teruk dan mendesak.

Menurut Staf Sarjan Zulkiflee Surahman, 40, dari Batalion ke-16, Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD), keadaan teruk dan mendesak yang dimaksudkan termasuklah apabila seseorang anggota mahupun pasukan menghadapi situasi terputus bekalan makanan.

"Banyak kes seperti itu terjadi apabila pesawat seperti helikopter Nuri tidak dapat menghantar bekalan makanan ke kawasan operasi akibat cuaca buruk mahupun menghadapi sebarang permasalahan.

"Jadi, sebagai anggota tentera, pada waktu beginilah kemahiran ikhtiar hidup dipraktikkan," katanya ketika ditemui semasa penulis mengikuti Program ATM bersama media di Gerik, Perak baru-baru ini.

Beliau dan pasukannya kini sedang bertugas di salah sebuah kawasan operasi di Gerik yang berpangkalan di Markas Taktikal 749 yang dahulunya dikenali sebagai Kem Banding.

Katanya, setiap anggota tentera yang bertugas di kawasan operasi khususnya di sempadan negara perlu sentiasa bersiap sedia kerana keadaan boleh bertukar menjadi buruk tanpa dijangka.

Selain terputus bekalan makanan, antara sebab lain yang boleh menyebabkan seseorang anggota itu mempraktikkan kemahiran 'survival' nya apabila berlakunya kejadian seperti tersesat ketika menjalankan rondaan tempur, tertinggal daripada pergerakan kumpulan, terlepas daripada tawanan musuh dan terselamat daripada nahas pesawat.

"Dalam keadaan sebegini, kemahiran serta pengalaman serta ilmu ikhtiar hidup yang dipelajari menjadi 'aset' yang amat penting bagi seseorang anggota tentera untuk meneruskan kehidupan sebelum ditemui atau menerima bantuan," katanya.

Ikhtiar hidup boleh diertikan sebagai sebarang usaha atau ikhtiar yang harus dilakukan oleh seseorang agar berupaya untuk meneruskan hidup ketika menghadapi sesuatu ancaman.

Namun, sudah pasti apa yang terlintas di fikiran kebanyakan kita ia hanya tertumpu pada usaha mendapatkan makanan yang berasal daripada pohon-pohon atau buah-buahan hutan mahupun hidupan liar yang boleh dimakan.

Hakikatnya ikhtiar hidup merangkumi keseluruhan aspek terhadap usaha meneruskan hidup melalui beberapa keperluan asas seperti tempat perlindungan, makanan serta haba untuk memanaskan badan.

Kemahiran itu juga membolehkan seseorang anggota tentera melindungi mereka daripada kesejukan, kelaparan, keletihan mahupun serangan binatang buas.

Sentiasa bersiap sedia

Jadi mereka perlu mahir dan sentiasa bersedia daripada segi mental, fizikal, teknikal dan material apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Selain itu anggota tentera juga perlu berfikir secara bijak dalam membuat sebarang keputusan dan perkara yang paling penting adalah tidak sesekali berputus asa untuk terus berusaha.

Dalam perkhidmatan Tentera Darat (TD), terdapat sebuah unit ditubuhkan khas bagi melatih anggota mendalami ilmu 'survival' iaitu Unit Survival Tentera Darat dan ia juga dikenali sebagai Cawangan Peperangan Hutan berpangkalan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Ditubuhkan sejak tahun 1948 oleh tentera British di Tanah Melayu pada ketika itu, ia bertujuan melatih anggota tentera dalam bidang yang khusus iaitu melaksanakan jejak tempur musuh serta menghindari diri daripada perangkap.

Pada 1971 unit berkenaan telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan dikenali sebagai Cawangan Peperangan Hutan.

Bagi setiap peserta mahupun anggota yang dihantar untuk berlatih di pusat itu, persediaan daripada segi mental dan fizikal perlu dimantapkan kerana terpaksa menghadapi kenyataan mereka perlu menelan daging ular salai, monyet hatta buaya sekalipun.

Pelbagai aspek akan ditekankan dalam memastikan setiap latihan dapat dikuasai sepenuhnya oleh setiap anggota sebagai persediaan menghadapi pelbagai bentuk cabaran sama ada dari udara, laut mahupun daratan.

Selain itu, fokus utama unit berkenaan adalah pada aktiviti latihan bertujuan mendedahkan anggota dengan keadaan sebenar apabila berlaku peperangan.

Aspek teori serta pengetahuan asas lain turut diajar kepada mereka.

Terbahagi pada dua kumpulan iaitu 'Combat Tracking' dan 'Combat Survival', anggota tentera yang dihantar berkursus di unit itu akan menjalani latihan selama lima hingga enam minggu.

Bagi anggota yang menjalani latihan tersebut, tiada istilah gentar serta jijik melainkan ungkapan sentiasa bersiap sedia apabila menghadapi sebarang keadaan yang paling kritikal.

Menurut Zulkiflee, jika di hutan, pelbagai sumber yang terdiri daripada tumbuhan seperti umbut serta buah-buahan hutan boleh didapati untuk dijadikan makanan.

Sebagai contoh katanya, kebanyakan umbut tumbuhan boleh dijadikan makanan seperti umbut daripada pokok tepus, bayas dan palas, namun perlu berhati-hati kerana ada sesetengahnya amat beracun seperti umbut pokok pinang hutan.

"Ketika sesat mahupun lari daripada tahanan perang berkemungkinan kita juga mengalami kecederaan mahupun sakit dan pelbagai tumbuhan herba boleh kita gunakan untuk merawat kesakitan dan kecederaan yang dialami.

"Tumbuhan herba yang mudah diperolehi adalah seperti tongkat ali, di mana air rebusan akarnya boleh diminum untuk memanaskan badan.

"Herba lain adalah seperti kacip fatimah, ganda rusa, akar mempelas, akar dawai dan pelbagai lagi," katanya.

Katanya, setiap daripada tumbuhan herba tersebut memiliki khasiat dan kegunaan tertentu.

Kemahiran ikhtiar hidup

Tambahnya, selain mampu mengenali pelbagai jenis tumbuhan, kemahiran membuat jerat mahupun lukah juga perlu bagi menangkap hidupan liar seperti ayam hutan, monyet, ular dan ikan untuk dijadikan santapan.

Biarpun sesetengah hidangan demikian kelihatan menjijikkan, namun ia mampu menyelamatkan nyawa anggota tentera serta memastikan seluruh pasukan dapat melaksanakan misi dengan jayanya.

Selain daripada makanan serta tumbuhan ubatan, anggota tentera juga perlu mahir untuk menyediakan tempat berteduh dan menghidupkan api bagi memanaskan badan.

Asas bagi tempat perlindungan atau berteduh terbahagi kepada beberapa jenis antaranya pondok paya bagi kawasan yang berair atau berpaya, pondok jangka masa panjang bagi keadaan hutan biasa dan pondok sementara jika seseorang itu akan bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain.

Membina tempat berlindung juga bergantung pada keadaan kawasan hutan yang memiliki sumber yang boleh diguna pakai seperti anak-anak pokok berkayu untuk dijadikan tiang serta lantai dan daun daripada pokok bertam yang boleh dijalin untuk dijadikan bumbung.

Menurut Zulkiflee, selain tempat perlindungan, apa yang paling penting adalah api bagi memanaskan badan serta memasak makanan.

"Selain untuk memanaskan badan serta memasak mahupun memanggang, api juga dapat mengelakkan kita daripada diganggu binatang buas," katanya.

Bagi mendapatkan api di dalam hutan belantara katanya, tanpa bantuan mancis ataupun alatan lain mungkin dilihat agak mustahil, namun terdapat pelbagai teknik untuk menghidupkannya.

Tegas beliau, apa yang penting adalah kesabaran serta kesungguhan dalam melakukan apa jua teknik serta kemahiran ikhtiar hidup yang dipelajari atau dimiliki seseorang itu.

Dalam pada itu, di sebalik segala kemahiran serta ilmu yang dituntut, setiap anggota tentera juga perlu memantapkan mental serta fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan perkara yang buruk dan boleh mendatangkan bahaya ketika bertugas.

Justeru itu, biar di mana jua anggota tentera diatur gerak, dengan ilmu serta kemahiran yang diberikan, penulis percaya mereka sentiasa bersedia sepenuhnya dalam usaha mempertahankan agama, bangsa dan negara demi harga sebuah keamanan yang dikecapi kita hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.