VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 25/12/2009

Pulihara segera alam sekitar, selamatkan bumi

KEGAGALAN persidangan mengenai iklim di Copenhagen, Denmark memang sangat mengecewakan. Ramai yang mengharapkan ia mampu menghasilkan resolusi terbaik untuk menyelamatkan iklim dunia.

Bagaimanapun kegagalan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berbuat apa-apa.

Kita sedia maklum bahawa keperluan pembangunan untuk kesejahteraan manusia sama pentingnya dengan tanggungjawab mengekalkan kesejahteraan alam sekitar. Ia merupakan satu tuntutan.

Jika ditinjau dengan lebih mendalam, sebenarnya keperluan kesejahteraan manusia perlu didokong oleh usaha mengekalkan kesejahteraan alam sekitar dan bukan sebaliknya. Ini bermakna kualiti alam sekitar yang merosot akan membawa kepada kemusnahan sumber alam dan akhirnya mengancam kesejahteraan manusia.

Bagi umat Islam, kita seharusnya lebih terkehadapan dan menjadi wira dalam menyelamatkan alam. Ini kerana kitalah yang sepatutnya lebih memahami bahawa ajaran Islam memberi keutamaan dan mesra terhadap alam sekitar.

Jika kita meneliti kefahaman terhadap alam sekitar, ia boleh ditakrifkan dalam pelbagai perspektif.

Namun dari sudut mana sekalipun alam sekitar itu difahami, ia tetap dianggap sesuatu yang penting.

Kemelut yang melanda antara usaha memulihara alam sekitar dengan aktiviti memugar dan memusnahkan alam menjadi lebih meruncing apabila kita telah meletakkan tahun 2020 sebagai tarikh akhir untuk mencapai status negara maju.

Ini bermakna kita hanya mempunyai sekitar 10 sahaja untuk merancang strategi pembangunan negara dan alam sekitar serta memperbaiki apa yang telah rosak dan lemah sebelum ini. Apakah mungkin bagi kita mencapai status tersebut dengan tidak mengorbankan kepentingan alam sekitar? Ini adalah persoalan yang perlu diberi perhatian serius.

Pastinya penekanan pembangunan yang dicita-citakan itu akan tertumpu kepada kepelbagaian guna tanah, perhutanan, pertanian dan sebagainya. Semuanya membabitkan alam sekitar. Apakah kita memiliki keupayaan untuk mengimbangi arus pembangunan ini?

Memang kita tidak dapat menafikan bahawa pembangunan ekonomi perlu untuk membasmi kemiskinan, membentuk kesejahteraan masyarakat dan memperkukuhkan keadilan sosial. Bagaimanapun, usaha menterjemahkan dasar ekonomi negara kepada masyarakat dan individu tidak selalunya terjadi seperti yang diharapkan. Pembangunan industri tidak lagi dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk membangunkan negara tetapi sebagai usaha kelompok atau individu memperoleh pengaruh dan kekayaan.

Sikap begini mendorong pemikiran bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar dianggap sebagai halangan kepada proses pertumbuhan ekonomi. Inilah punca utama konflik berterusan antara tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar; pertembungan fahaman antara golongan pencinta alam dan ahli industri atau usahawan!

Maka untuk menangani konflik tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar, maka fahaman kita terhadap alam sekitar juga perlu seluas mungkin. Ia mesti merangkumi bumi dan penghuninya, sistem dan proses-prosesnya.

Pengetahuan manusia mengenai kepentingan alam sekitar untuk lanjutan hidup perlu dijadikan asas dalam usaha mengimbangi pembangunan dan alam sekitar.

Manusia adalah elemen alam sekitar terpenting yang dapat mencorakkan masa depan alam sekitar itu sendiri.

Ini adalah kerana pengetahuan, pengalaman, kepercayaan dan nilai-nilai positif yang dimiliki dan dihayati oleh manusia adalah penentu nasib alam sekitar itu sendiri.

Sementara amalan dan kepercayaan negatif sesuatu masyarakat pula lazimnya dikaitkan dengan ketidaksempurnaan tamadun bangsa iaitu pengetahuan yang terbatas, kelemahan mengurus, rendah mutu kebanggaan bangsa dan nilai etika yang masih boleh dipersoalkan.

Gagasan pemikiran negatif sebegini hanya memberikan tumpuan mengenai kehendak jangka pendek yang tertumpu kepada membina kekuasaan dan kekayaan. Inilah intipati kelemahan manusia yang sering menimbulkan konflik antara pembangunan dan alam sekitar.

Hal ini wujud kerana alam sekitar sentiasa dilihat sebagai sumber yang boleh dieksploitasi sesuka hati dan kepentingannya pula boleh diabaikan.

Selain itu beberapa sikap negatif manusia seperti tamak haloba, egoisme dan materialisme merupakan kelemahan asas ke arah kemusnahan alam sekitar secara sewenang-wenangnya.

Sikap tamak merupakan musuh alam sekitar. Dalam keghairahan mengaut untung, peraturan diketepikan, kelemahan perundangan dieksploitasi dan kepentingan umum serta bahaya tidak diambil kira.

Sesungguhnya penghayatan nilai-nilai positif dan negatif oleh sesuatu budaya masyarakat dan sikap manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan konflik pembangunan dan alam sekitarnya.

Maka amat wajar bagi kita kembali menilai sejauh mana kefahaman terhadap falsafah pemuliharaan alam sekitar menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Falsafah pemuliharaan sebenar ialah usaha mengurus alam sekitar untuk kepentingan masyarakat dengan tidak mengabaikan kepentingannya untuk generasi akan datang.

Ini bererti seseorang itu bukannya menolak pembangunan sepenuhnya tetapi secara bijaksana mengimbangi antara tuntutan pembangunan dengan kepentingan memulihara alam sekitar.

Sekiranya ilmu pengetahuan dan pengalaman lepas telah mengajar kita bahawa banyak sudah spesies pupus disebabkan malapetaka, maka tidak mustahil spesies manusia juga boleh pupus hanya disebabkan oleh bencana yang dicipta oleh tangan manusia sendiri!

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.