VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 21/12/2009

Masalah pernafasan punca dengkur


Jika penat, kadang-kadang Zahrullail Rohsely terlelap di atas sofa dan berdengkur.


TIDUR berdengkur kebiasaannya dikaitkan dengan kaum lelaki lebih-lebih lagi jika seseorang itu memiliki tubuh yang gemuk. Penyebab lain yang dikatakan mengenai seseorang yang berdengkur ialah terlalu penat, terlalu kenyang atau mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun ini tidak seratus peratus benar kerana terdapat juga orang yang tidak gemuk yang tidur berdengkur.

Bagi Zahrullail Rohsely, 25, yang memiliki susuk tubuh biasa bagi lelaki Melayu, iaitu tidak gemuk dan tidak kurus tetap mengalami tidur berdengkur.

Bagaimanapun, dia tidak menganggap dengkur itu sebagai satu masalah kerana dia tahu punca kepada dengkur yang dialaminya dan bagaimana hendak mengatasinya.

Kata Zahrullail, dia sudah terbiasa dengan bunyi dengkur kerana bapa dan abangnya juga tidur berdengkur.

''Saya sendiri pun tidak menyedari bahawa saya juga tidur berdengkur sehinggalah kawan sebilik semasa saya menuntut dahulu memberitahu bahawa saya tidur berdengkur.

''Kata kawan saya, saya selalu tidur berdengkur bagaimanapun tidaklah kuat sangat dan mengganggu tidurnya,'' kata Zahrullail yang berkelulusan Diploma Pengurusan Pejabat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Tambahnya, kemudian baru dia menyedari bahawa jika dia balik kelas lewat malam dan kemudiannya tertidur, pasti dia akan berdengkur. Ini kemungkinan kerana terlalu letih sehingga tertidur nyenyak lalu menyebabkan berdengkur. Jika tidak penat, dia tidak akan berdengkur.

Menurut Pegawai Perhubungan Korporat Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak ini lagi, selain terlalu letih, dia juga akan berdengkur jika posisi tidurnya tidak betul dan mengganggu pernafasan.

''Kadang-kadang semasa waktu rehat di tempat kerja, saya akan terlelap seketika di atas sofa. Tidak disedari saya berdengkur. Bila kawan mencuit, saya sedar bahawa saya berdengkur. Jadi saya akan membetulkan duduk bagi membetulkan saluran pernafasan yang tertekan dan menyebabkan dengkur.

''Tetapi adakalanya terasa segan juga bila tidur di rumah orang, menghadiri seminar atau pergi berkhemah. Kalau tidur berdengkur nanti orang akan marah pula. Biasanya saya akan berpesan kepada kawan supaya menggerakkan saya jika saya berdengkur,'' ujar Zahrullail yang masih bujang ini.

Sementara itu, seorang teman menceritakan kisah kawan baiknya yang mengalami masalah dengkur yang boleh dikatakan serius.

Kawannya yang bernama Jamilah merupakan rakan sekuliah semasa menuntut di sebuah universiti tempatan.

''Selepas tamat pengajian dan mengikuti latihan praktikal, kami serta beberapa orang kawan lain menyewa rumah. Semasa tinggal bersama inilah saya menyedari bahawa Jamilah mengalami dengkur yang teruk.

''Setiap hari bila balik sahaja kerja, dia akan terus merebahkan diri di atas sofa di ruang tamu. Sekejap sahaja dia akan berdengkur. Dengkurnya pula bukan sikit-sikit tetapi kuat sangat sehingga boleh didengar oleh rumah orang bujang di sebelah.

''Malu juga bila orang bujang tu jalan di tepi tingkap di luar rumah. Mereka akan ketawa dan menyindir siapa yang berdengkur kuat tu,'' cerita teman itu lagi.

Tambahnya, kawan-kawan serumah yang lain tidak berani memberitahunya kerana bimbang Jamilah akan berkecil hati.

Bagaimanapun lambat-laun Jamilah harus diberitahu kerana dengkurnya menyebabkan seisi rumah tidak boleh tidur walaupun mereka 'lari' ke bilik lain dengan telinga bersumbat kapas.

Kalau dia penat atau demam, dengkurnya makin kuat dan menakutkan. Tutup pintu masih boleh mendengar dengkurnya yang boleh diibaratkan seperti kerbau kena sembelih.

Suatu hari, Jamilah memberitahu dia akan bertunang dengan lelaki yang dikenalinya melalui Internet. Teman ini memberitahu Jamilah agar berterus-terang dengan bakal tunangnnya mengenai masalah dengkurnya.

Teman ini juga menyuruh Jamilah berjumpa doktor pakar mengenai masalah dengkurnya kerana mungkin ia disebabkan oleh penyakit namun Jamilah enggan.

Bagaimanapun Jamilah berkata, dengkurnya itu adalah anugerah Tuhan dan bakal tunangnya harus menerima dirinya seadanya.

Setahun berkahwin, teman ini bertemu semula dengan Jamilah. Dia menangis menceritakan walaupun sudah setahun mendirikan rumahtangga namun suaminya tidak pernah menyentuhnya.

''Jamilah benar-benar sedih. Saya tanya dia jika dia ada apa-apa masalah dengan suaminya. Namun katanya, suaminya tidak pernah berkata apa-apa. Saya fikir mungkin kerana masalah dengkur Jamilah.

''Akhirnya Jamilah bercerai juga. Kini Jamilah telah pun berkahwin kali kedua.

"Kata Jamilah, suaminya kini tidak pernah merungut mengenai masalah dengkurnya dan boleh menerima dirinya seadanya. Atau mungkin juga kedua-duanya sama berdengkur bila tidur,'' jelas teman ini lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.