VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 September 2014 / 22 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 21/12/2009

Gema variasi zapin di IB


RAMLI Sarip (tiga dari kiri) dan Rahim Razali (dua dari kiri) bersama para tenaga kerja serta penari yang terbabit dalam Gema Zafana 2009 selepas pelancaran persembahan itu di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MUNGKIN tidak ramai yang mengetahui irama zapin yang cukup popular dan sinonim di negeri Johor mempunyai pelbagai variasi alunan nadanya selepas hampir 500 tahun ia diperluaskan oleh para pedagang dari Timur Tengah.

Sehingga kini terdapat lebih 14 jenis alunan zapin yang berbeza latar rentaknya yang kebanyakannya dikutip daripada pelbagai daerah di Johor sehingga menjadikannya unik dan semakin diterima ramai termasuklah oleh generasi muda.

Ekoran sambutan itu, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Jama Johan berkata, pihaknya akan mementaskan lagu-lagu zapin menerusi persembahan Gema Zafana 2009 yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur 26 hingga 29 Disember ini.

Menurut beliau, pementasan kali ini merupakan kesinambungan daripada Persembahan Gema Zafana - Sebuah Persembahan Zapin Johor yang mereka anjurkan di IB pada 3 hingga 7 Disember 2004.

"Persembahan ini diadakan semula selepas lima tahun kejayaan pementasan itu yang terbukti mampu menarik perhatian bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja. Cuma bezanya, lima tahun lalu ia dijayakan oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Azlee Senario sebagai artis utamanya.

"Sementara untuk persembahan kali ini kami akan menampilkan persembahan Datuk Rahim Razali, Ramli Sarip dan Azlina Aziz sebagai artis undangan. Pada persembahan itu, kita akan persembahkan lebih 14 jenis irama zapin yang didatangkan khas dari Johor," katanya di IB baru-baru ini.

Pada sidang akhbar pementasan Gema Zafana 2009 itu, Jama menjelaskan, kepelbagaian irama zapin yang akan diketengahkan itu mampu memikat hati para peminat lagu-lagu tradisional dan irama Malaysia yang terus bertahan sehingga kini.

Malah, beliau yang juga penerbit Gema Zafana 2009 yakin persembahan irama lagu-lagu zapin yang semakin berkembang dari semasa ke semasa bukan setakat diminati oleh masyarakat Melayu di Johor tetapi ia juga mudah dihayati oleh pendengar bukan Melayu.

"Jangan terkejut kalau saya katakan ramai orang Cina dan India di Johor yang meminati lagu-lagu zapin. Mereka bukan sahaja boleh menyanyikan lagu-lagu zapin tetapi turut menari tarian tersebut. Ramai yang kurang menyedari bahawa lagu-lagu zapin amat pelbagai dan sesuai untuk semua golongan pendengar.

"Sehingga kini Yayasan Warisan Johor berjaya memugar, menghimpun dan mengiktiraf sebanyak 14 variasi zapin menerusi kaji selidik yang dijalankan oleh Bahagian Pengembangan Budaya, Yayasan Warisan Johor di daerah-daerah di seluruh Johor sejak tahun 1996," jelasnya.

Antara jenis zapin yang akan dipersembahkan pada Gema Zapin 2009 ialah Zapin Pekajang, Zapin Tenglu, Zapin Kores, Zapin Lenga, Zapin Putar Alam, Zapin Mahpom, Zapin Seri Bunian, Zapin Pak Lipat dan Zapin Duyung.

Jipin, Jepin, Dana atau Zafin merupakan gelaran-gelaran yang sama bagi tarian zapin di mana berdasarkan sejarah ia telah di bawa oleh para pedagang Islam dari Parsi, India dan Semenanjung Arab mula mengasimilasi dalam Alam Melayu dari abad ke-16 hingga 19.

Untuk persembahan Gema Zafana 2009, Yayasan Warisan Johor sekali lagi akan menggunakan khidmat On Jaafar selaku Pengarah Persembahan Artistik, manakala Jaffar Abdul Rahman (Jari) pula bertindak sebagai Pengarah Muziknya.

Jelas On Jaafar, pementasan kali ini cukup berbeza daripada lima tahun lalu dan beliau menjangkakan ia lebih meriah dengan rangkuman pelbagai elemen termasuklah suntikan kontemporari bagi berjalan seiring dengan trend serta keperluan semasa.

"Pementasan kali ini lebih besar iaitu dengan menampilkan kira-kira 250 peserta hasil gabungan artis-artis budaya Yayasan Warisan Johor, kumpulan Swatari, Duaspace Dance Theatre selain tiga artis undangan kami iaitu Datuk Rahim Razali, Ramli Sarip dan Azlina Aziz.

"Walaupun Datuk Rahim bukan penyanyi tetapi beliau akan melakonkan sketsa yang disulami dengan alunan lagu dan tarian zapin. Turut mewarnai persembahan itu nanti ialah seramai 40 penari dan pemuzik daripada Yayasan Warisan Johor," katanya.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani pula berkata, persembahan Gema Zafana 2009 merupakan salah satu tanggungjawab sosial panggung bertaraf dunia itu dalam mempromosikan seni budaya tempatan.

Katanya, IB berharap pementasan yang bertunjangkan seni dan budaya warisan bangsa itu akan mendapat sambutan sama seperti persembahan kontemporari atau komersial yang banyak mereka anjurkan selama ini.

"Kita berharap agar sambutan kali ini sama atau lebih hebat lagi daripada pementasan lima tahun yang lalu. Kalau sambutannya bagus, tidak mustahil kita akan sambung waktu pementasannya kelak," ujarnya penuh optimis.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung pementasan Gema Zafana 2009 sila hubungi talian 03-40265635 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.