VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
REKREASI

ARKIB : 12/12/2009

Peta dan kompas


ARAH tuju yang tepat hanya boleh diperoleh dengan membaca kompas dengan cara yang betul.


MALU bertanya sesat jalan', ada kebenaran di sebalik kata-kata pepatah itu. Tetapi bagaimana pula keadaannya jika seseorang itu berada jauh di dalam hutan dan orang yang ada di sekeliling pula tidak dapat menunjukkan arah yang betul.

Berdepan dengan risiko sesat sememangnya menakutkan tetapi keadaan mungkin lebih terkawal jika ada yang membawa peta, kompas dan juga tahu menggunakannya.

Masih ingatkah bila kali terakhir kita merujuk perjalanan pada sesebuah peta dan lebih penting lagi masih fahamkah kita dengan cara-cara penggunaannya.

Kemahiran membaca peta melengkapkan seseorang pengembara dengan teknik pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan tepat.

Hakikatnya kini, masih ramai yang melakukan aktiviti riadah di hutan tanpa dua 'sahabat baik' si pengembara itu. Bahkan, khidmat pemandu pelancong dan sistem penentu kedudukan global (GPS) lebih menjadi pilihan.

Tetapi apakah jaminan yang dimiliki sekiranya alat yang dibawa itu gagal berfungsi ataupun pemandu pelancong yang diupah hanya arif mengenai laluan yang biasa digunakan?

Bertempat di kaki Gunung Nuang, Ulu Langat, Komuniti Radio Amatur Alam Damai (ADARC 47) baru-baru ini menganjurkan Kursus Asas Pandu Arah dan Orientasi Peta.

Pensyarah Kursus, Kapten Aswadi Norman Safeie berkata, peta bukan sahaja memberi tunjuk arah malah menceritakan maklumat secara terperinci mengenai bentuk muka bumi di sesuatu kawasan.

"Berpandukan peta sesuatu kawasan kita dapat mengenal pasti bentuk kawasan dan membuat persediaan perjalanan dengan lebih teratur.

"Peta adalah aset terpenting bagi setiap pengembara," katanya yang mencurahkan pengalaman dalam bidang itu dari Sekolah Latihan Peperangan Pulada (Pusat Latihan Darat), Tentera Darat Malaysia.

Kursus melibatkan 20 peserta itu bermula dengan pengenalan tiga alat utama dalam kursus asas pandu arah iaitu peta, kompas dan jangka sudut peta (protector).

Pembelajaran bermula dengan pengenalan jenis-jenis peta seperti peta topografi, peta planimetri dan peta jasad timbul. Peta topografi adalah peta yang biasa digunakan. Ia dibezakan dengan kategori peta terhad (bergrid) dan tidak terhad.

Melalui maklumat pada bingkai peta pula, peserta diajar cara-cara membaca arah, kontur, tafsiran gambar, nisbah dan skala sehinggalah panduan yang betul meletakkan peta semasa dibaca.

"Posisi membaca peta juga perlu sejajar bagi mengelakkan kekeliruan. "Sebaik-baiknya peta dibaca di atas permukaan yang rata," jelas Aswadi.

Tambah beliau, dengan kebolehan mentafsir maklumat muka bumi pada peta, seseorang mungkin mengambil kira soal beban yang dibawa, jarak perjalanan dan merancang tapak penempatan semasa bermalam.

Selepas pengenalan asas membaca peta dan cara penggunaan jangka sudut, peserta mengeluarkan kompas yang disediakan oleh penganjur dan bersedia untuk pembelajaran seterusnya.

Tiga kegunaan utama kompas yang diajar pada hari itu adalah kaedah mencari bearing sesuatu objek yang terdapat di muka bumi, meletakkan arah bearing dan menggunakan bearing dalam orientasi peta.

Dengan menggabungkan semua peralatan yang diberikan, peserta kemudiannya diuji mengukur jarak dari satu titik ke titik yang lain dan menentukan arah tuju dengan tepat.

Malah hanya selepas mengikuti sendiri kursus itu baru sahaja penulis mengetahui tata-tertib penggunaan dan penjagaan kompas yang sebenarnya begitu teliti dan rapi.

Aswadi berkata, objektif kursus adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai terutama kepada pemegang-pemegang lesen radio amatur dalam pengetahuan pandu arah.

Katanya, orientasi peta bukan sahaja penting untuk mereka yang selalu melakukan aktiviti hutan malah diperlukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang biasa disertai ahli kelab radio amatur.

Sementara itu, ahli jawatan kuasa ADARC 47, Mohd. Nizam Abrahim berkata, walaupun baru pertama kali diadakan acara itu akan dijadikan acara tahunan untuk memberi lebih kesedaran kepada umum.

Katanya, selain kursus pandu arah dan orientasi peta, kursus turut menerapkan kemahiran ikhtiar hidup seperti panduan menyelamatkan diri di dalam hutan, membuat api, teknik ikatan dan simpulan serta bahasa isyarat kecemasan.

"Sebagai permulaan kita memilih Gunung Nuang sebagai lokasi kursus untuk memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti hutan,"jelasnya.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti kelab boleh diperolehi dari laman www.adarc47.blogspot.com.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.