VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 11/12/2009

Idea Ahmad Merican di usia 85


DR. RAIS YATIM (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Ahmad Merican pada majlis hari kelahiran Ahmad Merican baru-baru ini.


TIDAK dinafikan industri muzik di negara ini lebih banyak dibolosi oleh para penyanyi dan pemuzik dari Indonesia bagi mempromosikan album-album ataupun persembahan-persembahan pentas yang mereka adakan terutamanya sejak sedekad kebelakangan ini.

Sayangnya, pada masa sama peluang itu kurang dinikmati oleh para penyanyi dan pemuzik di negara ini yang sepatutnya meneroka ruang yang sama kerana Indonesia mempunyai banyak kelebihan termasuklah jumlah penduduknya yang ramai selain menggunakan bahasa serumpun.

Menyedari senario itu, Tokoh Muzik Tanah Air, Tan Sri Ahmad Othman Merican berpendapat, peluang dan ruang itu sepatutnya boleh diperolehi antaranya dengan menggunakan dunia penyiaran seperti radio serta televisyen (TV) di Indonesia dan Indonesia melalui pertukaran artis-artis di kedua belah buah negara.

Menurut Tokoh Penyiar 1994 ini, pertukaran artis dari kedua negara itu mampu untuk mempromosi serta memperkenalkan lagi artis-artis tempatan yang kini semakin kurang mendapat peluang bagi memperkenalkan diri dan album-album mereka di negara seberang tersebut.

"Peranan itu boleh dilakukan oleh stesen-stesen TV dan radio kita dengan stesen-stesen penyiaran di Indonesia. Cara ini bukan sahaja adil, malah ia juga akan membuka peluang untuk artis-artis kita lebih dikenali di kalangan para peminat di sana. Sebabnya, selama ini kita selalu mengeluh apabila artis-artis Malaysia tidak diberi peluang tersebut.

"Untuk itu, stesen-stesen radio dan TV kita kenalah bekerjasama bagi mewujudkan program-program yang boleh dijayakan secara bersama-sama pada masa depan," katanya kepada Hits selepas majlis hari lahirnya yang ke-85 yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan khusus untuk Ahmad Merican dan isterinya, Puan Sri Mahani Abdullah itu dianjurkan atas inisiatif anak-anak, menantu dan cucu-cucu serta sahabat handai beliau dalam dewan yang memuatkan hampir 500 tetamu pada malam itu.

Pengasas Pertandingan Bintang RTM ini menjelaskan, selain menjalankan pertukaran artis, beliau turut mencadangkan agar diadakan pertandingan nyanyian dan kerjasama dalam penerbitan drama membabitkan pelakon dari kedua-dua negara.

"Stesen-stesen TV kita misalnya, boleh menganjurkan pertandingan lagu-lagu Malaysia dan Indonesia di mana para pemenangnya dipilih oleh juri profesional atau SMS (khidmat pesanan ringkas). Saya yakin, program seperti itu tentunya akan ditonton oleh rakyat kedua-dua buah negara.

"Ini kerana, di Malaysia sahaja ada lebih sejuta rakyat Indonesia sama ada mereka yang menetap ataupun bekerja di sini. Apatah lagi, kita mempunyai bahasa serumpun yang boleh difahami bersama. Secara tidak langsung, pendekatan ini akan merapatkan lagi hubungan sesama kita," ujarnya yang masih sihat dan ceria dengan cetusan ideanya itu.

Idea serta cadangan Ahmad Merican itu memang sepatutnya boleh diperpanjangkan oleh stesen-stesen TV dan radio di negara ini kerana cara itu juga secara tidak langsung akan merapatkan lagi hubungan Malaysia dan Indonesia yang sedikit kurang harmoni sejak akhir-akhir ini.

Sindrom yang kurang sihat itu contohnya timbul ekoran isu tarian pendet, dasar tutup pintu industri muzik Indonesia terhadap karyawan muzik Malaysia dan juga kebanjiran artis-artis dari negara seberang itu yang telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Bapa kepada enam anak dan serta datuk kepada 12 cucu ini turut mencadangkan agar lebih banyak berita berkaitan politik, ekonomi dan isu-isu semasa yang berlaku di kedua buah negara terbabit dikongsi oleh rakyat masing-masing yang sememangnya sudah rapat daripada segi pertalian bahasa, agama dan bangsa.

"Selain pertukaran artis, mengadakan rancangan dan juga pertandingan nyanyian secara bersama-sama, saya juga mahu mencadangkan agar stesen-stesen penyiaran tidak kiralah kerajaan atau swasta supaya menyiarkan berita yang berlaku di kedua-dua buah negara dengan lebih banyak.

"Kita dengan Indonesia berjiran sudah lama, malah ramai juga saudara mara kita yang masih mempunyai pertalian keluarga dengan sanak saudara mereka di Indonesia. Jadi, kita pastinya sama-sama mahu mengetahui apakah perkembangan yang berlaku di kedua negara.

"Sepatutnya, kita lebih utamakan negara jiran seperti Indonesia daripada segi penyiaran berita mahupun lagu-lagu dari kedua belah negara. Ini tidak, kita lebih utamakan artis-artis atau berita dari negara-negara yang jauh daripada kita.

"Dalam hal ini, kita kenalah lebih prihatin dengan jiran tetangga kita terlebih dahulu," katanya yang merupakan pencipta lagu klasik Tanah Pusaka dan liriknya yang ditulis oleh Tan Sri Dol Ramli yang masih diminati sehingga kini sebagai lagu malar segar.

Pada majlis hari lahir Ahmad Merican yang turut dihadiri oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu, cucu-cucu beliau turut mengadakan persembahan termasuklah mendeklamasikan puisi.

Turut sama memeriahkan majlis anak seni yang berasal dari Pulau Pinang ini ialah anak-anak didik beliau seperti Datuk Jamali Shadat, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Faridah Hashim dan Salamiah Hassan yang mengadakan persembahan sambil diiringi oleh Kombo RTM di bawah pimpinan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.