|
CAPE TOWN, Afrika Selatan – Ireland tidak akan `dijemput’ ke Piala Dunia 2010 sebagai pasukan ke-33 walaupun jaringan kontroversi Thierry Henry memegang bola membantu Perancis menyingkirkan Ireland pada perlawanan playoff, kata FIFA semalam.
Setiausaha Agung badan bola sepak dunia itu Jerome Valcke berkata, adalah mustahil untuk mengubah struktur kejohanan dan jika Ireland dibenarkan, ia akan mengundang rungutan dari pasukan yang merasakan mereka juga tertipu ketika pusingan kelayakan.
“Kami perlu jelaskan bahawa Ireland tidak akan dijemput ke Piala Dunia. Saya tidak akan kata ini mengarut, tetapi maksud saya ia mustahil.
“Ia bukan soal tiada peluang untuk memberikan mereka tempat atau terpaksa membenarkan kepada mereka ke Afrika selatan, tetapi ia adalah kerana akan ada lebih 32 pasukan yang beraksi pada Piala Dunia 2010,’’ kata Valcke.
Kelmarin, presiden FIFA Sepp Blatter berkata, pasukan Ireland meminta badan bola sepak dunia itu membenarkan mereka ke Piala Dunia 2010 kerana kalah akibat Henry memegang bola.
Valcke berkata, pegawai persatuan bola sepak Ireland bertemu dengan Blatter di ibu pejabat FIFA di Zurich, beberapa hari lalu.
“Presiden FIFA secara jelas berkata bahawa ini semua mustahil, kerana jika kami melakukannya, mengapa tidak Costa Rica dan lain-lainnya,’’ kata Valcke pada mesyuarat FIFA menjelang undian Piala Dunia Jumaat ini.
Costa Rica juga membuat aduan kepada FIFA bahawa jaringan Uruguay ketika memenangi perlawanan playoff adalah ofsaid.
Valcke berkata, Blatter berjanji akan membentang permintaan Ireland itu sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA yang mengadakan pertemuan hari ini.
Jawatankuasa yang terdiri daripada 24 panel itu dijangka akan membincangkan isu yang dibangkitkan selepas perlawanan playoff di zon Eropah, Afrika dan Amerika Latin bulan lalu - termasuk insiden Henry memegang bola. - AP
IKLAN@UTUSAN
|