Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 01/12/2009
Akta Persaingan cegah monopoli akan dibentang di Dewan Rakyat Mac

Akta Persaingan cegah monopoli akan dibentang di Dewan Rakyat Mac

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Akta Persaingan bagi mencegah amalan monopoli dan penentuan harga oleh kartel akan dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta itu kini sedang diteliti Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan semula di peringkat Kabinet.

"Dalam Akta Persaingan itu, kita sudah masukkan perlindungan sama ada daripada segi kartel, kita tidak akan benarkan mereka guna kuasa dominan untuk menentukan harga.

"Kita tahu ini akan membebankan pengguna dan sebab itu akta ini telah disiapkan," katanya sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, syarat-syarat untuk memulakan operasi yang dikenakan kepada pasar raya besar asing di negara ini adalah paling ketat di rantau ASEAN.

Katanya, dasar yang bertujuan melindungi industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera itu akan dikekalkan walaupun kerajaan menerima pelbagai tekanan daripada pasar raya besar.

Beliau berkata, tekanan itu antaranya adalah untuk mengurangkan kadar nisbah penduduk dari 250,000 kepada 100,000 untuk sebuah pasar raya dan permohonan untuk membuka kedai serbaneka serta memperkenalkan program francais di seluruh negara.

Bagaimanapun beliau meminta semua pihak memikirkan berapa lama kerajaan perlu meneruskan dasar itu kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan usahawan bumiputera apabila pasaran dibuka kelak.

"Adakah kita akan terus dengan dasar perlindungan ini atau kita bangunkan bumiputera untuk mengeluarkan produk yang berkualiti dengan penjenamaan dan pembungkusan yang baik.

"Adakah kita ke arah itu atau kita bergantung kepada kuota ini yang akhirnya menyebabkan kita tidak mampu bersaing apabila kita membuka pasaran kepada dunia," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN