|
PAPAR 29 Nov. – Parti keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR Sabah, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali mengisytihar keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Keputusan itu turut diikuti hampir 200 ahli PKR Sabah cawangan Kampung Benoni dan Kampung Buang Sayang, dekat sini, akibat hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Borang kemasukan ahli UMNO diserahkan oleh Faizal Julaili selaku wakil kepada Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail dalam satu majlis di Kampung Buang Sayang, malam tadi.
Faizal yang juga Ketua Pemuda PKR Papar ketika ditemui berkata, hatinya terbuka untuk menyertai UMNO setelah pulang dari menunaikan umrah baru-baru ini.
Katanya, keputusan tersebut dibuat kerana melihat UMNO lebih banyak mendekati rakyat di sini berbanding PKR yang hanya tahu bercakap dan mengkritik.
“Sebelum ini saya menyertai PKR untuk membela rakyat di kampung ini, bagaimanapun setelah sekian lama perubahan untuk membela rakyat tidak pernah kelihatan,” katanya.
Sementara Awang Mumin pula berkata, tindakan itu dibuat selepas melihat PKR tidak melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat di kawasan mereka.
“Ingin kami tegaskan PKR hanya pandai berjanji tetapi tidak tahu melaksanakannya. Isu yang dimainkan PKR hanya untuk kepentingan pemimpinnya dan bukan untuk rakyat,” ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|