|
JOHOR BAHRU 29 Nov. - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T. Murugiah agar melepaskan jawatan dalam tempoh dua minggu bermula esok.
Beliau berkata, Murugiah memegang jawatan tersebut di atas tiket parti dan kini harus melepaskan jawatan dalam kerajaan kerana sudah dipecat daripada parti.
"Mengikut Artikel 6.10 Perlembagaan PPP, seseorang ahli yang menyandang jawatan dalam kerajaan harus meletakkan jawatan sekiranya meninggalkan parti,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda PPP di sini hari ini.
Kayveas berkata, Murugiah juga turut memberi tempoh dua minggu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjawab surat rayuan beliau berhubung kesahihan pemecatannya daripada PPP.
"Memandangkan beliau memberi tempoh dua minggu kepada ROS, jadi kita juga turut memberikan tempoh yang sama kepadanya untuk meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, PPP akan terus menggiatkan usaha menjenamakan semula parti supaya lebih relevan untuk semua terutama golongan muda.
Beliau berkata, hampir 70 peratus ahli PPP terdiri daripada golongan muda dan pihaknya akan terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih ramai ahli di kalangan belia untuk menyertai parti itu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PPP akan menganjurkan pertandingan mencipta logo parti dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pertandingan itu menyediakan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 untuk pemenang dan bagi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web parti, www.ppp.org bermula 7 Disember ini.
IKLAN@UTUSAN
|